Nada Li Sicheng kedengaran tenang seolah-olah dia menyatakan sesuatu yang biasa. Namun, sebaik sahaja mereka di situ mendengarnya, suasana terus menjadi riuh rendah.
"Apa??"
"Oh Tuhan! Cik Su isteri Li Sicheng?"
"Mereka dua pasangan suami isteri?"
"Biar betul?"
Mendengar pertanyaan-pertanyaan yang berbaur nada tidak percaya itu, Su Qianci berasa terkejut dengan lelaki yang kelihatan dingin di hadapannya ini. Dia telah memutuskan untuk membuang perasaannya, tetapi kata-kata itu dengan mudah menembusi perlindungannya dan seolah membuka hatinya, membuatkan ia berisiko untuk disakiti lagi…
"Encik Li, semua yang kamu katakan itu benar?"
"Encik Li, kamu tahu Cik Su ada kehidupan peribadi yang bermasalah?"
"Isteri kamu ada banyak hubungan dengan lelaki lain. Kamu ada apa-apa mahu cakap sebagai suami?"
Wartawan terus mengasak Li Sicheng dengan soalan-soalan panas. Wajah Li Sicheng semakin tegang. Kemudian, dia memandang sekelilingnya dan membuatkan semua wartawan terdiam. Mereka seolah-olah dapat menghidu bahaya. Tiada sesiapa dapat menjangka apa yang difikirkan oleh Li Sicheng.
Su Qianci berada di belakangnya dengan perasaan gementar bercampur marah. Dia menarik baju Li Sicheng dan berbisik, "Jom pergi. Mereka semua teruk. Kita tak tahu apa lagi yang akan keluar daripada mulut mereka."
Tangan Li Sicheng yang kasar menggenggam tangannya. Jantung Su Qianci terasa seakan terhenti apabila merasakan kehangatan tangan lelaki itu. Li Sicheng memegang tangannya? Dan di hadapan semua wartawan ini pula. Tambahan lagi, seseorang sedang menyiarkannya secara langsung. Su Qianci berasa terkejut dan sedikit gerun. Pada kehidupan lalu, Li Sicheng sangat benci apabila Su Qianci mengaku sebagai isterinya di hadapan ramai. Tetapi apa yang lelaki ini sedang lakukan sekarang? Su Qianci cuba menarik kembali tangannya, tetapi Li Sicheng menggenggamnya lebih erat.
Tanpa menoleh ke belakang, Li Sicheng menarik Su Qianci yang berada di belakangnya dan memaut bahunya. Situasi yang mengujakan itu membuatkan wartawan segera merakam dan mengambil gambar mereka. Li Sicheng kelihatan tenang, seolah-olah tidak menyedari keterujaan yang terpancar pada wajah wartawan-wartawan itu. Dia berkata dengan nada yang dingin, "Sekarang saya akan cuba buat kamu semua faham." Dia memegang telefonnya dan menunjukkan gambar Su Qianci dan Kapten Li, lalu berkata, "Orang tua dalam gambar ini datuk saya."
Di rumah lama, Kapten Li yang berada di hadapan TV berasa marah. "Kamu panggil saya orang tua, budak?"
Tanpa mengetahui datuknya sedang marah, Li Sicheng menyambung, "Su Zhengguo ialah bapa saudara Su Qianci."
Mendengar penjelasan itu, penyunting berita tersebut menelan air liurnya. Makan malam bersama saudara ialah perkara biasa.
"Ini bekas rakan sekelasnya, CEO muda dalam perniagaan keluarga Fu. Mereka di majlis pertemuan semula sekolah."
Fu Lengbing sememangnya dikenali dan ramai di antara wartawan tahu tentang majlis pertemuan semula itu. Mereka semua mengangguk.
"Bagaimana dengan gambar yang terakhir itu?"
Lelaki terakhir itu yang paling banyak gambarnya diambil bersama Su Qianci! Pasti ada sesuatu antara mereka! Li Sicheng mengecilkan matanya, berfikir seketika sebelum berkata, "Ini sepupu Su Qianci. Dia ada masalah perkembangan mental sejak kecil. Pendek kata, dia terencat akal."