webnovel

Mencium Bibirnya

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci merenungnya seperti anak patung yang tidak bernyawa.

Li Sicheng mengerutkan dahi dan tertanya-tanya sama ada wanita itu telah hilang akal akibat kecederaannya. Tiba-tiba Su Quanci memegang wajahnya.

Kulitnya lembut dan sejuk. Wajah sempurna itu berada di depan matanya. Lelaki itu bukan khayalan, dan begitu dekat dengannya...

Ini bukan mimpi. Dia benar-benar Li Sicheng! Namun, bukankah lelaki itu membencinya? Mengapa...

Su Qianci tiba-tiba tersedar sesuatu dan memegang perutnya.

Wajah Li Sicheng berubah apabila menyedari perlakuannya itu. "Siapa beritahu kamu?" Li Sicheng duduk di sebelahnya dan merungut. "Mereka bersetuju dia tidak patut diberitahu. Minum air!" arahnya dan kelihatan tidak mahu menerima sebarang bantahan.

Su Qianci meneguk sedikit air suam itu dalam keadaan terkejut. Hatinya terasa amat pedih. Air matanya mula berguguran seperti hujan.

Li Sicheng mengambil gelas di tangan Su Qianci dan merangkul bahunya. Ketika isterinya itu bersandar pada tubuhnya, Li Sicheng merasakan sesuatu sedang mekar dalam hatinya. Su Qianci terus menangis teresak-esak, bahunya menggigil. "Anak kita... anak kita dah tak ada..."

Li Sicheng memeluk bahunya erat. Hatinya turut remuk. Dia menepuk-nepuk belakang tubuh Su Qianci dan berbisik, "Jangan menangis. Kita masih muda dan boleh ada bayi lagi."

Su Qianci menangis lebih kuat sebaik mendengar kata-kata itu. Mereka memang muda, tetapi mereka tidak akan ada bayi lagi. Li Sicheng sangat membencinya, jadi bagaimana dia boleh mengandungkan anaknya lagi? Lelaki itu pasti berharap Su Qianci menjauhkan diri daripadanya supaya dia boleh menghabiskan sisa hidupnya bersama Tang Mengying.

Walau bagaimanapun, pada saat ini, dia mahu percaya lelaki itu... Dia mahu percaya Li Sicheng bukan cuma mahu menenangkannya, tetapi benar-benar memaksudkan apa yang dikatakan. Buat seketika, Su Qianci mahu menganggap suaminya tidak membencinya… dan menikmatinya buat masa sekarang.

Li Sicheng masih menepuk-nepuk perlahan belakang tubuh Su Qianci. Hatinya turut berasa sedih. "Jangan menangis," pujuknya kepada Su Qianci.

Air mata Su Qianci masih mengalir, tetapi dia berhenti menangis teresak-esak. Dia memandang wajah suaminya yang tiada cacat cela itu.

Li Sicheng turut memandangnya lalu berkata, "Jika kamu menangis, kamu tak akan nampak cantik. Tengok mata kamu."

"Kamu kata saya cantik?" Su Qianci terkejut dan berkata tanpa sedar.

Li Sicheng berasa lega melihat isterinya berhenti menangis, dan mengangguk.

"Betul."

Su Qianci memandang suaminya itu seperti telah melihat hantu. Li Sicheng tidak pernah memujinya cantik. 'Saya mesti sedang bermimpi yang kelihatan benar?' fikirnya bingung. Su Qianci melihat sekelilingnya dan ia masih gelap.

Walaupun semuanya kelihatan benar, Su Qianci percaya dia masih bermimpi. Dia tidak percaya... Li Sicheng akan melayannya dengan baik.

Dia tersenyum pahit, dan berasa simpati kepada dirinya sendiri. 'Tapi, sebabkan ini cuma mimpi, bolehkah saya lakukan sesuatu yang saya selalu mahu lakukan tetapi tidak berani?' Su Qianci berfikir sebelum memeluk pinggang Li Sicheng dan memanggil, "Li Sicheng."

"Ya?"

Su Qianci mendongak ke wajah tampan itu, meletakkan satu lengannya di leher Li Sicheng dan menciumnya di bibir... dan mata lelaki itu terbeliak dengan wajah yang tidak percaya.