webnovel

Cheng You hampir menangis. Dia mahu menghubungi Su Qianci tetapi Li Sicheng menghalangnya.

"Kalau kamu berani telefon dia, kamu tak perlu bekerja dengan saya lagi."

Jadi, Su Qianci masih tidak tahu suaminya cedera? Dia benar-benar menyangka Li Sicheng baru balik daripada 'trip perniagaan'? Ketika Cheng You berasa terkilan dan memutuskan untuk bekerja lebih masa, Li Sicheng menyuruhnya pulang. Sebelum dia beredar, Li Sicheng bertanya, "Mana telefon saya?"

"Ia rosak. Skrinnya pecah dan saya dah hantar untuk dibaiki," jawab Cheng You. "Saya dah dapatkan yang baru untuk Encik Li. Ini dia."

Li Sicheng memandang telefon itu sekilas dan berkata, "Okey. Kamu boleh pergi sekarang."

Ketika Cheng You baru sahaja mahu memusingkan tubuhnya ke belakang, Li Sicheng menghentikannya lagi.

"Tunggu."

"Ada apa-apa lagi?"

"Dia.. ada telefon?"

Dia?

Cheng You bingung seketika sebelum memahami siapa yang dimaksudkan. Dia menggeleng dan berkata, "Rasanya tak ada. Telefon lama Encik Li terus mati selepas terhempas. Tak ada panggilan daripada Puan Li di telefon baru ini."

Hanya ada beberapa panggilan daripada kliennya di telefon baru itu. Wajah Li Sicheng kelihatan berubah. Dia mengangguk dengan wajah berlagak tenang dan mengisyaratkan Cheng You untuk pergi sebelum berbaring di katilnya.

Rumah itu telah kosong selama hampir setengah bulan dan membuatkan Nenek Rong berasa risau. Akhirnya dia membuat panggilan ke rumah lama untuk melaporkan perihal pasangan yang dijaganya. Sebaik mendengar suara Kapten Li yang ceria, Nenek Rong tahu rumah lama belum mengetahui tentang pergaduhan pasangan itu. Nenek Rong cuba membuatkan situasi itu kedengaran tidak begitu buruk dengan berkata, "Mungkin mereka cuma tinggal berjauhan buat seketika. Lagipun Encik Li ada banyak rumah lagi selain rumah ini…"

"Mengarut. Mesti dia dah beritahu kamu kalau macam itu. Sesuatu pasti dah berlaku," Kapten Li berkata dengan marah. "Patutlah suara Qianqian kedengaran lain waktu dia telefon saya. Budak itu pasti dah buli Qianci!"

Nenek Rong terkedu. Dia merasakan Su Qianci seakan anak kandungnya sendiri manakala Li Sicheng daripada keluarga yang lain.

"Sekarang baru saya tahu. Kamu tak perlu risau. Saya akan uruskan perkara ini."

"Okey…"

Kapten Li terus memutuskan talian sebaik Nenek Rong menjawabnya.

Kapten Li menggunakan telefon rumah itu untuk menelefon Li Sicheng. Dia sudah bersedia untuk memarahi cucunya itu. Walau bagaimanapun, panggilannya tidak berjawab. Dia cuba menelefon sebanyak dua kali lagi, tetapi masih tiada sesiapa yang menerima panggilan itu. Selepas setengah jam, barulah Li Sicheng menelefon kembali. Kapten Li menahan dirinya daripada menyumpah dan terus menjawab panggilan itu lalu membentak, "Apa yang kamu fikir? Sengaja tak jawab panggilan Atuk?"

Li Sicheng diam seketika sebelum berkata, "Atuk, saya sedang dalam mesyuarat."

"Mesyuarat! Mesyuarat saja sepanjang hari! Setiap kali Atuk telefon, kamu sedang mesyuarat! Apa gunanya kumpul harta terlalu banyak? Kalau kamu ada masa, kamu sepatutnya luangkan masa dengan isteri kamu dan cuba gembirakan dia. Kalau tak, kamu akan ada banyak masa untuk menangis bila dia tinggalkan kamu!"

Li Sicheng tidak berkata apa-apa tetapi melihat kalendar di atas mejanya. Sudah tujuh hari berlalu sejak kali terakhir dia berjumpa Su Qianci.

"Cakaplah sesuatu!" kata Kapten Li dengan marah.

"Saya masih di sini. Atuk nak apa-apa?"

Kemarahan Kapten Li semakin memuncak dan dia terus membentak, "Kamu budak tak guna! Atuk cakap panjang lebar dan kamu tak dengar?"

"Saya dengar."

"Kalau kamu dengar, datang sini ke rumah lama dan bawa isteri kamu bersama!"