webnovel

Kejatuhannya

Editor: EndlessFantasy Translation

Tang Mengqing menyedari semua orang memandangnya dengan wajah tidak percaya. Dia berasa seperti mahu menangis. Dia memandang Su Qianci dan menjerit, "Kau sengaja lakukannya! Kau kejam! Sial kau, perempuan jalang!"

Su Qianci berasa dirinya dipersalahkan. "Bagaimana tangan saya boleh sebegitu panjang untuk capai bawah skirt kamu?"

Sebenarnya dia benar-benar tiada niat untuk mencederakan Tang Mengqing. Tetapi nampaknya apa yang berlaku bagus juga.

Qin Shuhua mengangguk. Walaupun Su Qianci bukan menantu pilihannya, tetapi dia tetap ahli keluarganya sekarang, dan walaupun keluarga Tang sudah berkawan lama dengan keluarga Li, ternyata mereka cuba untuk membuli Su Qianci. Sebaik mendengar kata-kata Tang Mengqing, Qin Shuhua berkata dengan sinis, "Walaupun kita tidak dapat memastikan apa-apa, jelas menyumpah bukan sikap seorang wanita yang berpelajaran."

Wajah Tang Zhenghao terasa bagaikan terbakar. Reputasi yang telah dibina sejak bergenerasi telah dimusnahkan dengan mudah oleh anak perempuannya itu. Tang Zhenghao yang berasa amat marah memegang lengan Tang Mengqing dan menjerit, "Minta maaf!"

Tang Mengqing mula menangis, "Saya tak buat apa-apa yang salah. Dia layak menerimanya. Jika bukan kerana dia, pasti kakak yang akan berkahwin dengan Li Sicheng. Dia perempuan pembawa sial yang tak tahu malu."

Pada kehidupannya yang lalu, Su Qianci selalu dituduh sebagai perempuan pembawa sial. Jika bukan kerana dia, Tang Mengying pasti sudah menjadi isteri Li Sicheng. Tanpa sedar, Su Qianci menoleh ke arah Kapten Li.

Kapten Li yang sedar Su Qianci memandangnya terus berkata, "Encik Tang, saya rasa kamu tidak ada hak untuk beri pendapat mengenai perkahwinan cucu saya."

Mendengar kata-kata tersebut, Tang Zhenghao bertambah malu. Jelas sekali Tang Mengying dan isterinya telah bercerita bukan-bukan kepada Tang Mengqing. Tang Zhenghao menampar muka anaknya itu dan berkata, "Siapa yang beritahu kamu begitu?!"

Setelah ditampar, Tang Mengqing menangis dengan lebih kuat. "Tapi ia betul. Su Qianci tiada apa-apa. Dia hanya perempuan murahan dan anak yatim. Bagaimana dia boleh berkahwin dengan Li Sicheng…"

Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Tang Mengying menutup mulut adiknya itu dengan tangannya lalu memandang ayah mereka dan merayu, "Ayah, jangan pukul dia. Dia masih terlalu muda." Kemudian dia berkata kepada Tang Mengqing, "Tang Mengqing, minta maaf kepada Su Qianci, kemudian kita boleh balik rumah. Jaga kelakuan kamu."

Air mata Tang Mengqing terus mengalir bagaikan hujan.

Walau bagaimanapun, Su Qianci telah berpusing ke belakang untuk kembali ke biliknya. Ini kejatuhannya. Pada kehidupannya sebelum ini, kesemua mereka di situ sering menyebabkan dia berasa rendah diri dengan menghinanya berulang kali. Mereka sering mengingatkan betapa hinanya dirinya. Kemudian dia telah belajar pelbagai perkara, namun dia tetap gagal untuk mengubah tanggapan mereka terhadapnya. Tetapi pada kehidupan ini, Su Qianci berjaya mengubahnya. Walau bagaimanapun, apabila mendengar kata-kata hinaan yang sering didengarinya dulu itu, dia tidak dapat berpura-pura seolah-olah kata-kata itu tidak memberi sebarang kesan terhadapnya.

Menyedari bagaimana kata-kata tersebut memberi kesan kepada Su Qianci, Li Sicheng segera memegang tangan Su Qianci sewaktu dia mula berjalan dan berkata, "Saya tak peduli." Suaranya yang lembut seperti secawan kopi yang menenangkan, dan membuatkan langkah Su Qianci terhenti. "Jadi kamu sepatutnya tak peduli juga."