webnovel

Fikiran Jahat

Editor: EndlessFantasy Translation

Hati Su Qianci berasa girang ketika mereka keluar dari kereta itu. Dia hanya diam dan membiarkan Li Sicheng memegang tangannya. Pandangan mata Li Sicheng yang sentiasa dingin kelihatan lembut ketika dia memandang pipi Su Qianci yang merah jambu.

"Encik Li," kedengaran satu suara wanita yang dikenali. Su Qianci menoleh dan melihat Cheng You. Dia hanya tersenyum melihat wajah Su Qianci yang terkejut. "Lama tak jumpa, Puan Li."

Su Qianci membalas senyumannya dan menoleh ke arah Li Sicheng.

"Hai, Cheng You. Dah selesai?"

"Ya, saya dah dapat maklumat tentangnya. Ia tidak jauh daripada sangkaan Encik Li. Tapi…" Cheng You terhenti dan memandang Su Qianci dengan teragak-agak.

Su Qianci menyedarinya dan berkata, "Saya naik ke bilik dulu untuk tukar baju."

"Okey." Li Sicheng menggosok rambut Su Qianci dan menyambung, "Hati-hati."

Su Qianci mengangguk dan berasa sedikit kecewa. Walaupun dia sendiri yang menawarkan untuk pergi, dia berasa kecewa apabila Li Sicheng terus bersetuju. Dia dapat merasakan mereka akan berbincang tentang suatu rahsia besar di belakangnya.

"Jom pergi ke kafe itu, Encik Li."

"Okey."

Apabila Su Qianci tiba di bilik, dia tidak bergegas menukar baju tetapi mengambil telefonnya dan membuka laman media sosial. Selepas seketika, dia mula berasa bosan. Tiba-tiba dia mendapat satu idea dan menaip "Li Sicheng" di enjin carian. Tajuk pertama adalah "Li Sicheng akan mengadakan parti persendirian dengan menjemput semua orang kaya dan berpengaruh, dan semuanya adalah untuk si dia."

Su Qianci melihat masa artikel itu dimuatnaik, dan ia adalah pada tiga hari yang lalu. Dan dia hanya mendapat tahu tentang parti itu semalam. Adakah Li Sicheng mahu membuat kejutan? Su Qianci berasa gembira dan dia bergolek di atas katil sambil memegang telefonnya. Dia teringat bagaimana Li Sicheng menciumnya di atas katil ini, dan wajahnya terus menjadi kemerahan. Dan juga, petang semalam, dia membantu Li Sicheng…

Su Qianci tidak dapat menghilangkan bayangan nakal itu dari fikirannya. Dia menggosok-gosokkan tangannya dan membenamkan muka ke atas bantal bagi cuba melupakan apa yang telah dilihatnya.

Tiba-tiba dia menerima mesej daripada Yu Lili. Yu Lili menghantar gambar dia bersama Lu Yihan sedang makan bersama. Yu Lili sedang tersenyum gembira, manakala Lu Yihan kelihatan agak muram. Apa yang perempuan ini cuba buktikan? Adakah Yu Lili sedang cuba menakut-nakutkannya? Bagaimana dengan Ou Ming? Su Qianci merenung gambar itu dan berasa tidak sedap hati. Yu Lili mungkin akan menerima pengakhiran yang buruk.

Seseorang mengetuk pintu dan Su Qianci pergi membukanya. Walau bagaimanapun, orang di hadapan pintu itu bukan Li Sicheng, tetapi seorang wanita berambut pendek yang memegang satu kotak besar. Dia kelihatan berfesyen dan agak mirip dengan Cheng You.

Su Qianci tidak kecewa tetapi terkejut. "Kamu… Sunny?"

"Ya betul." Sunny terkejut apabila Puan Li mengenalinya, kerana bosnya adalah Li Sicheng. Jika apa yang diingati Su Qianci betul, wanita ini akan menjadi jurusolek terkenal dalam masa tiga hingga empat tahun lagi. Sunny masuk ke dalam bilik itu sambil tersenyum dan berkata, "Encik Li minta saya solekkan Puan. Mari kita mulakan, Puan Li."