webnovel

Dia Cuba Bunuh Ibu Bapa Kamu

Editor: EndlessFantasy Translation

Musim sejuk di bahagian selatan tidak sesejuk bahagian utara. Walaupun seluruh bandar diliputi salji, matahari masih memancar di Kingstown. Ini kali kedua Rong Haiyue datang ke Sungai Kingstown. Kali pertama adalah dua belas tahun yang lalu ketika dia merayu kepada wanita itu untuk menerimanya kembali. Wanita itu menangis, memanggilnya abang dan menjerit jangan, tetapi dia hilang pertimbangan kerana amarahnya dan akhirnya melakukan sesuatu yang tidak mungkin dimaafkan. Selama dua puluh dua tahun, wanita itu kelihatan senyap dan tenang, tetapi Rong Haiyue tahu wanita itu tidak pernah memaafkannya.

Dadanya terasa sesak ketika dia berjalan di tempat yang pernah dilaluinya itu. Lebih dua puluh tahun lalu, tiada lampu di situ dan rumputnya sangat panjang hingga boleh menyembunyikan sesiapa sahaja dengan mudah.

"Ahhh!" satu jeritan yang tiba-tiba kedengaran membuatkan Rong Haiyue tersedar daripada imbauan masa lalunya.

Dia membuka pintu dan keluar dari kereta. Angin sejuk dari sungai terus menyapanya. Dia menoleh ke arah jeritan itu datang. Dia tidak dapat melihat apa-apa dan jeritan itu tidak lagi kedengaran. Rong Haiyue berjalan ke hadapan tanpa membuat sebarang bunyi.

"Tolong!! Ahh!! Sesiapa tolong saya!"

Fikiran Rong Haiyue terganggu sebaik mendengar jeritan itu. Dia segera berlari ke arah suara itu dan melihat beberapa orang sedang berdiri. Dia menjerkah mereka, "Apa kamu buat?"

Suaranya kedengaran seperti suara malaikat bagi Su Qianci.

Su Qianci terus menendang-nendangkan kakinya dan bergelut. "Tolong, tolong!"

Rong Haiyue mengenali suaranya. Itu… anak Song Yifan?

Itu adalah budak perempuan yang bercakap manja dengan budak Li di restoran tempoh hari! Darah terus mencanak naik ke kepala Rong Haiyue. Dia berlari ke arah mereka dan menjerit, "Lepaskan dia!"

"Tak guna, ada orang tua nak jadi hero pula?" Dua orang anak buah Puan Tang menghampiri Rong Haiyue.

Puan Tang membentak dan menendang Monyet. "Cepatlah!"

Monyet yang ketakutan menggumam, "Tunggu… sekejap. Suasana ini tak begitu selesa untuk saya…"

Rong Haiyue menumbuk salah seorang lelaki tadi sehingga rebah ke tanah. Kemudian dia menendang seorang lagi dengan mudah. Pergerakannya sangat lincah dan pantas, jelas menunjukkan dia adalah seorang yang sudah biasa berlawan.

Monyet menjadi bertambah takut. Puan Tang melihatnya dan membentak, "Fokus dengan kerja kau! Aku akan uruskan dia."

Sebaik sahaja berkata begitu, dia menghampiri Rong Rui dan mengacukan pistolnya. "Jangan bergerak."

Melihat pistol itu, Rong Haiyue menolak lelaki yang sedang dilawannya dan mengangkat kedua-dua belah tangan.

Su Qianci menyedari dia adalah Rong Rui dan terkejut. Walau bagaimanapun, dia tiada masa untuk perkara lain. Melihat Monyet yang sedang ghairah, dia mengetapkan giginya dan berbisik dengan air mata yang masih mengalir, "Kamu nak wang? Saya boleh beri kamu satu juta. Cukup?"

Monyet tertarik mendengarnya dan bertanya, "Betulkah?"

Su Qianci gembira dengan reaksi itu dan menyambung, "Suami saya Li Sicheng, dia sangat kaya. Kamu tahu kan dia lelaki terkaya di Kingstown? Lepaskan saya dan saya akan beri kamu wang yang sangat banyak. Kalau satu juta tak cukup, saya boleh beri kamu lima juta. Itu akan cukup untuk sepanjang hayat kamu. Bagaimana?"

"Tak guna kau perempuan sial!" jerit Puan Tang sebaik mendengarnya lalu memijak kaki Su Qianci dengan kuat.

"Ah!!" jerit Su Qianci. Walaupun kesakitan, dia tetap cuba bercakap dengan Monyet, "Seseorang yang cuba halang kamu dapat wang sama seperti cuba bunuh ibu bapa kamu. Monyet, perempuan ini sedang cuba bunuh ibu bapa kamu!"