webnovel

Profesor Kardiff

Marina dan Inspektor David menaiki sebuah kereta menuju ke Gasso Height. Inspektor David mencadangkan Marina ikut sekali ke Gasso Height untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai surat dan buku catitan ayahnya yang masih lagi menjadi tanda tanya.

Tujuan mereka ke Gasso Height adalah untuk bertemu dengan Profesor Kardiff. Profesor Kardiff mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Inspektor David. Setiap kali Inspektor David menghadapi kesulitan dalam melakukan siasatannya terutama sekali apabila ia melibatkan perkara-perkara yang berada di luar bidangnya, dia akan merujuk kepada Profesor Kardiff.

Marina hanya mendiamkan diri. Dia merenung jauh ke luar tingkap kereta. Bulan terang menerangi malam. Namun, ia tidak mampu membuatnya tersenyum. Terlalu banyak perkara yang bersarang dalam benak fikirannya. Inspektor David yang menyedari akan keadaan itu menggerakkan tangannya menekan punat 'buka' bagi menghidupkan radio keretanya itu. Marina menoleh ke arah Inspektor David.

"Bosan?" tanya Inspektor David.

"Tak lah" jawab Marina ringkas.

"Habis kenapa termenung aje?"

"Bukan termenung tapi berfikir"

"Berfikir pasal surat dan buku catitan tu?" Marina hanya menganggukkan kepalanya. Dia terus menikmati pemandangan di luar.

"Inspektor… kamu yakin yang Profesor Kardiff boleh menolong kita?" tiba-tiba Marina bertanya.

"Awak ni macam tak percaya aje dengan saya. Kenapa? Awak takut?"

"Bukan apa. Saja nak tanya. Dah lama awak kenal dia?"

"Em… lama juga. Sejak lapan tahun yang dulu"

"Lama juga tu" kata Marina sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Memang lama dan dalam tempoh itu dia telah banyak menolong saya dalam melakukan siasatan. Awak faham-faham sahajalah, saya selalunya ditugaskan di luar Pasadianka. Di sini, manalah ada banyak sangat kerja. Kes-kes jenayah pun jarang berlaku. Dia memang banyak pengetahuan dalam pelbagai perkara. Jadi untuk mengetahui sesuatu mengenai sesebuah negara, saya akan minta pendapat dan petunjuk daripada dia." Terang Inspektor David. Dia mula bercerita mengenai lelaki itu kepada Marina. Daripada apa yang dikatakan oleh Inspektor David, amat jelas sekali yang dia menaruh kepercayaan yang tak berbelah bagi kepada Profesor Kardiff.

Marina pula yang selama ini mengenali Profesor Kardiff hanya melalui media massa amat teruja untuk berjumpa dengan tokoh terkenal itu hari ini. Semoga pertemuannya itu nanti akan dapat membantunya memahami isi kandungan surat dan buku catitan itu.