webnovel

Maya Adelle

Maya Adelle, sewaktu dahulu dikenali sebagai wanita yang bebas pergaulan dan penampilannya sentiasa mengikut trend terkini. Yang pasti, kalau orang tua-tua lihat dirinya pasti sakit mata mereka dibuatnya. Walaupun dia seorang wanita berkaliber dan berjaya namun tiada seorang lelaki pun yang jujur mendampinginya. Malah lelaki yang dikagumi dalam diam tidak sanggup memperisterikannya. Kini usianya semakin hampir ke angka 30-an. Maya Adelle tidak kisah kalau dia menjadi andartu dan meneruskan kehidupan bebasnya tetapi desakan demi desakan menyebabkan dia tersepit. Tiada cara lain, dia perlu juga mencari seorang lelaki untuk dijadikan suami. Tapi bolehkah lelaki yang jauh lebih muda dari usianya memainkan peranan seorang suami yang dimahukan? Mikael lelaki berumur awal 20-an yang baru berjinak-jinak untuk membina kerjaya di awal usia mudanya. Tetapi pencapaian akademiknya yang sekadar peringkat SPM tidak memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan sebuah kerjaya yang menjaminkan kestabilan ekonomi sesebuah keluarga. Jadi motto kehidupannya adalah, mengumpul duit sebanyak yang mungkin demi kepentingan orang tersayang. Tapi permintaan Maya Adelle memang gila!!! Mikael memang tidak boleh terima. Tapi kerana ketamakan orang disekelilingnya Mikael menjadi korban. Dia tiada pilihan, permintaan Maya Adelle yang gila diturutkan. Mula: 6 Jan 2020 Tamat: -

ZienDarwisy · Ciudad
Sin suficientes valoraciones
4 Chs

Tetamu yang tidak diundang

"Apa semua ni?!" Marah Mikael. Dia memandang wajah Puan Ema dengan rasa tidak puas hati. Dia sudah tidak peduli pandangan wanita di hadapannya. Sekarang ini, kenapa dia yang jadi mangsa keadaan???

"Tolonglah, Kael. Niat Cik Maya baik. Kael terimalah pinangan dia," pujuk Puan Ema lagi. Entah pujukan yang ke berapa kali pun dia sudah tidak tahu tapi anaknya masih berdegil.

"Baik apanya mak kalau ada udang di sebalik batu. Mak berterus-teranglah dengan Kael. Kenapa mak nak sangat Kael kahwin dengan Cik Maya? Apa yang Cik Maya dah bagi pada mak?" Tanya Mikael tidak puas hati. Wajah Maya Adelle ditenung tajam. Wanita itu hanya diam sahaja apabila dia berkata begitu. Riak wajahnya juga tidak menunjukkan dia terasa dengan kata-kata Kael sebentar tadi.

"Atau mak jual Kael pada dia?" Tanya Mikael mula curiga. Dia sangat arif dengan sikap Puan Ema yang sanggup lakukan apa saja untuk dapatkan duit.

Puan Ema hanya menundukkan wajahnya. Tidak berani bertentang mata dengan anak lelakinya.

"Mak cakaplah. Kael tanya ni!" Desak Mikael lagi.

"Kamu kahwin je lah dengan Cik Maya. Bukan susah pun," kata Puan Ema dengan tegas cuba mengelak dari pertanyaan anaknya itu.

"Nak kahwin apanya, Kael tak kenal dia. Lagipun dia tua 5 tahun dari Kael. Memang tak masuk akal Kael kena kahwin dengan dia. Kalau Cik Maya nak kahwin sangat cari je lelaki yang sebaya dengan dia," ucap Mikael kepada Puan Ema dan pada masa yang sama cuba menyakiti hati Maya Adelle dengan kata-katanya.

"En. Mikael tak kenal saya tapi saya kenal En, Mikael. Usia bukan penghalang dan lelaki seusia saya ramai yang dah kahwin. Saya tak nak jadi perampas," balas Maya Adelle dengan tenang dan bersahaja.

Geram pula Mikael melihat gelagat wanita ini. Tak nak jadi perampas konon. Di hadapan kau ni teman lelaki orang lah!!! Jerit hati Mikael.

"Baguslah kalau tak nak jadi perampas. Untuk pengetahuan Cik, saya ni dah ada girlfriend. Nama dia Arissa. Jadi saya rasa elok Cik…"

"Girlfriend je kan? Bukan isteri atau tunang? En.Mikael boleh putus dengan dia. Berapa yang Encik minta saya boleh bayar, asal kan Encik putus hubungan dengan dia," potong Maya Adelle dengan tegas.

Tercengang Mikael mendengarnya. Geram di hatinya hanya Tuhan saja yang tahu. Kalau boleh ingin ditumbuk-tumbuk wajah wanita itu. Biar dia tahu sakitnya hati dia mendengar kata-kata wanita itu. Dia ingat semua benda boleh selesai dengan menabur sejumlah wang?

"Awak ni memang dah hilang akal. Awak ingat teman wanita saya tu barang mainan? Awak ingat dengan tabur duit awak, Arissa akan terima? Saya couple dengan dia dah 5 tahun. Nak bandingkan awak dengan dia. Dia lagi baik lah!" Kata Mikael dengan penuh amarah. Hilang sudah panggilan 'Cik' kepada wanita itu.

Sakit pula hati Maya Adelle mendengarnya. Apa yang bagus sangat dengan perempuan yang bernama Arissa itu? Kalau nak dibandingkan Arissa dengan dirinya, dia jauh lebih baik kalau Mikael pilih untuk hidup bersama dengannya. Dia ada segala yang Arissa tiada. Dia boleh penuhi segala keperluan Mikael. Tidak perlu meminta, dia boleh bagi semuanya asalkan Mikael terima lamarannya.

"En. Mikael tak kenal saya. Macam mana En. Mikael boleh nilai diri saya macam tu?" Marah Maya Adelle.

Dia datang secara elok dan beradab untuk melamar lelaki itu sebagai suaminya tetapi begini pula dia dilayan oleh lelaki itu.

"Saya tak peduli En. Mikael. Sama ada En.Mikael terima pinangan saya atau En.Mikael kena bayar RM30 ribu pada saya hari ni juga!" Gertak Maya Adelle dengan tegas.

"Kenapa saya kena bayar RM30 ribu pada awak?" Tanya Mikael dengan nada yang terkejut.

"Itu hutang Puan Ema pada saya," kata Maya Adelle lagi sambil berpeluk tubuh.

Terkejut Mikael mendengarnya. Emaknya ada hutang dengan perempuan ni?? Kenapa banyak sangat? Banyak pula persoalan yang timbul. Kepalanya sudah mula berasa pening. Baru tadi dia dikejutkan dengan berita dia perlu mengahwini seorang wanita yang usianya jauh lebih tua daripadanya. Wanita ini entah dari mana datangnya, tidak dia ketahui. Tahu-tahu sahaja emaknya memaksa dia menerima lamaran wanita ini. Rupa-rupanya ada sebab di sebalik semua ini.

"Mak…apa yang mak dah buat ni? Jadi betul lah mak jual Kael pada dia?" Tanya Mikael dengan nada yang kesal.

Dia tahu maknya seorang yang boros dan sukakan hidup yang mewah. Bukan emaknya saja tapi adik perempuan dan adik lelakinya juga. Tapi tak akan sanggup berhutang mak…Patutlah semenjak kebelakangan ini dia nampak keluarganya agak mewah berbelanja. Bila ditanya, kata dari Kak Long.

Hidup mereka memanglah tidak mewah dan serba kekurangan tapi kalau nak kata mereka susah sangat tak ada lah sampai merempat. Cukup makan, pakai dan ada tempat berteduh sudah memadai baginya.

Kerjanya sebagai seorang mekanik di bengkel cukup kalau sekadar untuk menampung hidup dia sekeluarga. Kak Long dah kahwin dengan seorang ahli perniagaan. Jadi kuranglah sedikit tanggungan yang perlu dia galas. Kadang-kadang ada juga Kak Longnya hulurkan duit tapi tidaklah selalu sebab abang iparnya masih baru dalam dunia perniagaan. Adik lelakinya masih menganggur dan adik perempuannya masih belajar di kolej tapi itu bukanlah satu sebab untuk mereka berhutang.

"Mak minta maaf Kael. Mak tak jual Kael. Mak cuma tak sengaja pinjam duit dengan Cik Maya. Cik Maya bos kat tempat kerja mak. Hari tu mak ada buat silap sampai klien Cik Maya minta ganti rugi. Banyak juga dalam RM10 ribu macam tu…" jelas Puan Ema.

Mikael tahu emaknya bekerja sebangai cleaner di Resort Angsana Anggun tapi baru hari ni dia diperkenalkan dengan majikan emaknya. Berhutang tanpa pengetahuannya malahan berhutang dengan majikan sendiri yang buruk perangai memang dia tidak boleh terima. Seksi pula tu! Sempat lagi matanya menilik penampilan Maya Adelle.

Mikael mengeluh dalam diam. Teruk sangatkah kehidupan mereka sampai perlu berhutang sebanyak itu? Masalah ganti rugi, kenapa mak perlu pendam masalah tersebut? Dari dulu lagi dia suruh Puan Ema berhenti berkerja sebagai cleaner di resort itu tapi Puan Ema berkeras mahu bekerja di situ juga. Katanya, biarlah duit kerja yang diperoleh itu dibuat belanja untuk dirinya sendiri. Mendengar alasan itu Mikael tidak melarang memandangkan sikap maknya suka berbelanja sukar ditahan.

"Kalau betul hutang mak RM10 ribu, lagi RM20 ribu mak buat apa?" Tanya Mikael menahan amarah.

Dia boleh mengagak jawapan yang akan diberikan oleh emaknya tapi dia mahu tahu juga ke mana semua wang tersebut pergi.

"M..mak bagi pada Zyad sikit. Dia asyik minta duit dengan mak. Mak tertekan Kael. Lela pun macam tu. Tak habis-habis minta duit. Katanya duit loan tak cukup. Dia mahukan sebuah motosikal jadi mak belikan untuk dia tanpa pengetahuan kamu. Katanya kemudahan dia nak ke sana ke mari. Mak fikir alang-alang mak dah berhutang dengan Cik Maya biarlah mak berhutang lebih sikit…" Kata Puan Ema tanpa rasa bersalah. Nadanya beransur perlahan. Sebenarnya ada lagi satu rahsia yang tidak diceritakan kepada anaknya itu, tapi dipendamkan sahaja.

"Mak…Kenapa mak tak bagi tahu Kael semua perkara ni? Mak pendam sorang-sorang. Sekarang ni siapa yang susah?" Lirih saja dia bertanya. Nak marah pun tiada guna. Perkara sudah jadi.

"Kalau mak bagitahu Kael, Kael boleh bantu mak? Kael pun tak ada duit nak bantu mak. Kael kahwin je lah dengan Cik Maya. Selesai masalah kita." Ucap Puan Ema tanpa perasaan. Nadanya juga mula mengeras.

Mikael sudah menggelengkan kepala. Belakang tengkuknya diusap perlahan. Senangnya emak berkata-kata, yang menanggung azabnya hanya dia seorang.

"Mak, kalau hal Zyad tu biarlah dia hidup berdikari mak. Dia bukan budak-budak lagi. Fasal Lela pula janganlah mak manjakan sangat dia. Kael memang tak ada duit sebanyak RM10 ribu tapi Kael masih ada simpanan. Walaupun tak banyak, Kael masih boleh bantu mak. Boleh pinjam dengan Kak Long sikit tapi sekarang mak ambil jalan singkat. Mak buat sesuka hati mak tanpa fikirkan perasaan Kael," luah Mikael dengan nada yang sayu.

Dia kesal dengan tindakan emaknya. Sekarang ni apa pilihan yang dia ada? Mana nak cari duit RM30 ribu dalam masa yang singkat. Nak pinjam duit Kak Long? Tak mungkin. Nanti bising pula mulut Abang Long. Nak pinjam dengan teman-teman? Rakan-rakannya juga kebanyakkannya seperti dia. Tidak mahu lah dia menyusahkan orang lain.

Puan Ema terdiam mendengar luahan hati anaknya. Bukan niatnya mahu berlaku kejam terhadap Mikael tapi kalau anaknya kahwin dengan Maya Adelle lagi senang hidup mereka. Dia pun tak perlu bersusah-payah lagi. Ini untuk kebaikkan Kael juga.

Maya Adelle hanya mendengar pertelingkahan yang berlaku antara dua anak-beranak tersebut. Dia sebenarnya dalam diam memerhati gelagat bakal suaminya itu. Sebentar tadi memang dia agak marah dengan kata-kata Kael yang membandingkan dirinya dengan teman wanita lelaki itu tetapi dalam diam dia sebenarnya kasihan juga melihat keadaan lelaki itu. Kalau tidak kerana agendanya yang tersendiri dia juga tidak begitu kejam untuk libatkan diri lelaki itu dalam masalah ini.

"Jadi sekarang ni, bagaimana En.Mikael?" Maya Adelle mula bersuara setelah sekian lama berdiam diri. Dia sudah tidak sabar untuk menerima keputusan yang memihak kepadanya.

Puan Ema hanya memasang telinga menanti balasan daripada anaknya. Mikael merenung wajah Maya Adelle. Dia kelu untuk berkata-kata. Apa lah yang ada di dalam fikiran Maya Adelle sehingga mahu jadikan dia suami wanita itu. Fikir Mikael. Dia mengeluh kecil.

"Awak bagi saya masa?" Pinta Mikael. Cuba meminta simpati wanita itu.

"Masa? Untuk apa?" Tanya Maya Adelle dengan nada yang sarkastik. Dia tidak boleh bersabar lagi. Sudah terang lagi bersuluh lelaki ini memang tiada pilihan melainkan mengawini dirinya tetapi lelaki ini saja ingin membuang masanya. Dia bukan seorang wanita yang banyak masa untuk dibuang. Baginya masa itu emas.

"Masa untuk saya tenangkan diri dan selesaikan masalah saya. Kalau saya terima pinangan awak pun, macam mana dengan Arissa?" Tanya Mikael lagi.

Apa alasan yang perlu dia berikan pada Arissa jika Arissa perlu ditinggalkan? Dia masih mencintai gadis itu. Arissa adalah teman wanitanya sejak zaman persekolahan lagi. Dia bercinta dengan Arissa sudah hampir 5 tahun. Dari dia berusia 17 tahun hingga lah usianya sekarang yang sudah mencecah 22 tahun. Dia tidak pernah memandang gadis lain selain Arissa. Bagi dia, Arissa adalah segala-galanya. Dia setia dengan Arissa dan dia pernah berjanji untuk masuk meminang gadis itu.

Ohh…itu yang difikirkan. Dia tanya macam mana nak putus dengan Arissa? Jadi sekarang ni memang lelaki ini akan menjadi miliknya lah nanti? Hati Maya Adelle berbisik. Dia tersenyum sendirian tapi tiba-tiba senyumannya mati di situ. Kael yang melihatnya kehairanan.

"Kenapalah kau setia dengan perempuan macam tu?" Tanya Maya Adelle perlahan seolah-olah dia sedang berbicara sendirian.

Mikael tidak dapat mendengar butir bicara Maya dengan jelas tapi dia tahu Maya ada katakan sesuatu yang pastinya tidak enak didengari.

"Macam ni lah En. Mikael. I have a good deal to offer. If I can get rid of that girl in your life, will you marry me at the end of this months?" Tanya Maya dengan semangat yang tekad.

Akhir bulan ini? Bermakna, tidak sampai tiga minggu dia perlu jadi suami wanita ini. Mikael tidak terus memberi jawapan tetapi dia agak terganggu dengan kata-kata Maya Adelle. Walaupun Maya Adelle bercakap menggunakan bahasa asing tidak bermaksud dia tidak faham apa-apa. Dia juga tergolong dalam pelajar yang cemerlang di sekolah tapi nasib tidak menyebelahi dirinya untuk sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi. 

"I thought that you will get a plenty time to calm yourself until that day," sambungnya lagi.

Mikael mengetap bibirnya. Wanita ini memang sadis. Kata-katanya tidak pernah memikirkan perasaan orang lain.

"Apa maksud awak?" Mikael mengerti setiap apa yang diperkatakan oleh Maya Adelle tapi dia inginkan penjelasan.

"Maksud saya, saya putuskan hubungan awak dengan Arissa tanpa lukakan hati dia tapi mungkin melukakan hati awak," jawab Maya Adelle dengan selamba.

"Awak jangan nak berkias-kias dengan saya. Apa awak nak buat pada Arissa?!" Tanya Mikael dengan tegas. Nada suaranya sudah naik satu oktaf.

Dalam fikiran dia sudah mula timbul pelbagai kemungkinan yang negatif akan berlaku. Pada pandangan Kael, wanita di hadapan dia ini sekarang boleh lakukan apa sahaja yang boleh menyalahi undang-undang hatta hukum Tuhan sekalipun kerana dia mempunyai wang. Kalau nak tahu insan yang suka menyalahgunakan wang adalah seperti wanita di hadapannya ini. Begitu prejudisnya dia terhadap Maya Adelle.

"Rileks…Mikael." Sudah tiada panggilan 'Encik' buat Mikael. Lagipun Mikael sudah boleh dianggap sebagai seorang adik kepadanya. Beza umur mereka lima tahun.

"Tak perlu nak marah-marah. Tak berbaloi. So, what is your answer? Tell me?" Tanya Maya dengan nada yang menjengkelkan. Dia berjeda sebelum menyambung kembali kata-katanya. "Opps! Saya lupa pula. Awak memang tak ada pilihan kan? Mana-mana tawaran pun awak tetap kena pilih saya. So, the answer is yes. Right?" Kata  Maya tanpa mempedulikan reaksi Mikael.

Mikael mengetap bibirnya. Lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata. Hanya perasaan geram dan sebal yang menggunung di dalam hatinya. Dia kebinggungan dalam menyelesaikan masalah ini. Puan Ema pun tidak berkata apa-apa.

"Diam tandanya setuju. So, saya akan hubungi awak semula untuk bincangkan fasal perkahwinan kita. Sekarang ni saya ada hal jadi saya perlu pergi. Sampai berjumpa kembali." Seusai itu, Maya Adelle terus bersalaman dengan Puan Ema dan terus meninggalkan rumah flat tersebut.

Sejurus Maya Adelle keluar dari rumah mereka, Puan Ema terus bergegas masuk ke dalam bilik. Dia cuba mengelak dari berbicara dengan Kael. Dia tidak mahu berbincang apa-apa lagi dengan anaknya. Dia ingin lepas tangan dan biarkan semuanya diuruskan oleh anaknya. Jika anaknya seorang yang bijaksana, dia hanya perlu menuruti sahaja permintaan Maya. Sangat mudah. Mereka pun tak perlu peningkan kepala dan hidup mereka juga akan bertambah senang.

Mikael hanya tersandar lesu sambil memikirkan nasibnya yang malang. Dia kelelahan menanggung pelbagai perasaan dalam waktu yang singkat. Belum pernah dalam hidupnya dia menghadapi situasi yang membuatkan dirinya tersepit sehingga perlu mengorbankan masa depannya. Dia memejamkan matanya dan cuba untuk menenangkan hati serta fikirannya yang sudah semakin kusut. Akhirnya dia terlelap di situ apabila hanya jalan buntu yang ditemui.