webnovel

Maya Adelle

Maya Adelle, sewaktu dahulu dikenali sebagai wanita yang bebas pergaulan dan penampilannya sentiasa mengikut trend terkini. Yang pasti, kalau orang tua-tua lihat dirinya pasti sakit mata mereka dibuatnya. Walaupun dia seorang wanita berkaliber dan berjaya namun tiada seorang lelaki pun yang jujur mendampinginya. Malah lelaki yang dikagumi dalam diam tidak sanggup memperisterikannya. Kini usianya semakin hampir ke angka 30-an. Maya Adelle tidak kisah kalau dia menjadi andartu dan meneruskan kehidupan bebasnya tetapi desakan demi desakan menyebabkan dia tersepit. Tiada cara lain, dia perlu juga mencari seorang lelaki untuk dijadikan suami. Tapi bolehkah lelaki yang jauh lebih muda dari usianya memainkan peranan seorang suami yang dimahukan? Mikael lelaki berumur awal 20-an yang baru berjinak-jinak untuk membina kerjaya di awal usia mudanya. Tetapi pencapaian akademiknya yang sekadar peringkat SPM tidak memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan sebuah kerjaya yang menjaminkan kestabilan ekonomi sesebuah keluarga. Jadi motto kehidupannya adalah, mengumpul duit sebanyak yang mungkin demi kepentingan orang tersayang. Tapi permintaan Maya Adelle memang gila!!! Mikael memang tidak boleh terima. Tapi kerana ketamakan orang disekelilingnya Mikael menjadi korban. Dia tiada pilihan, permintaan Maya Adelle yang gila diturutkan. Mula: 6 Jan 2020 Tamat: -

ZienDarwisy · Urban
Not enough ratings
4 Chs

Gara-gara Maya Adelle

Mikael menyentuh tayar motosikal yang berada di hadapannya. Tayar itu diputarkan berkali-kali tanpa ingin meneruskan niat untuk menanggalkan tayar tersebut dari badan utama motosikal itu. Fikirannya mula menerawang memikirkan hal semalam. Kedudukan tayar yang statik dan berpusing tanpa henti direnungnya. Pusingan roda itu seolah-olah memberi pantulan kepada keadaannya yang sekarang ini. Dia hanya mampu bergerak dalam bulatan yang sama tanpa boleh keluar dari bulatan itu.

Apa yang harus dia lakukan sekarang ini? Dia tidak boleh biarkan wanita itu buat sesuka hatinya. Sebenarnya, dia juga bersyukur dengan ruang masa yang ada ini. Sekurang-kurangnya dia masih boleh mencari ikhtiar untuk dapatkan RM30 ribu.

Dia sudah tekad. Walau apapun cara, dia perlu dapatkan duit tersebut dengan segera dan jika dia dapat pulangkan duit tersebut dalam masa terdekat ini pasti wanita itu tidak boleh lakukan apa-apa terhadap dirinya. Dia tidak rela menjadi hamba kepada wanita itu.

Mikael mula tersedar apabila dia terasa wajahnya seperti dicalit-calit dengan sesuatu. Mikael menyentuh pipinya.

"Kurang asam punya kawan!" jerit Mikael bila melihat kesan hitam yang berminyak ditangannya.

Amar sudah ketawa berdekah-dekah dan dengan tangkas Mikael melemparkan kain buruk ke wajah Amar. Tepat mengena wajah lelaki itu.

"Sampai  hati kau lempar kain buruk tu kat muka aku. Kotor tu…" rajuk Amar.

"Tau pun kotor. Kau calit minyak hitam kat muka aku tu, tak kotor? Sajalah tu nak cari penyakit," templak Mikael bersahaja sambil tangannya kembali tangkas membuat kerja yang sebentar tadi diabaikan.

"Kau ni, aku bergurau je tadi. Dah-dah lah tu. Tak payah nak berlakon kau tengah sibuk nak buat kerja. Tu kat luar sana ada awek cun tengah tunggu," usik Amar sambil tersengih.

"Siapa?" Tanya Mikael dalam kebingungan.

"Eh! Kau ada ramai awek ke selain Arissa?" Tanya Amar dalam perlian.

"Mana ada!" Cepat Mikael menjawab. Hampir terlupa dia tentang Arissa gara-gara memikirkan cara untuk dapatkan duit RM30 ribu.

"Habis tu yang kau blur semacam hari ni kenapa? Sebelum ni kalau aku sebut awek laju je kau pergi. Hari ni lain pula aku tengok. Kau bergaduh?" Tanya Amar cuba mengorek rahsia.

"Tak ada lah! Memandai je kau ni. Aku pergi dulu," ujar Mikael lalu dia terus melangkah pergi. Amar hanya menggelengkan kepala melihat gelagat temannya.

"Nasib baik kau kawan aku dan aku ni seorang sahabat yang baik hati kalau tak dah lama aku pecat kau sebab bercekerama kat tempat kerja. Tapi kalau aku pecat kau, aku juga yang rugi…"bisik Amar kepada dirinya sendiri.

Dia ketawa sendirian. Nak cari pekerja yang rajin dan berkemahiran seperti Mikael sangat susah pada zaman sekarang ni. Pekerjanya yang lain semua macam biskut. Kalau kerja lebih masa sikit berkira. Bisik hati Amar.

Lima belas minit kemudian, Mikael kembali masuk ke dalam bengkel dengan wajah yang sunggul.

"Aik! Sekejapnya. Selalunya berjam-jam," perli Amar sambil tangannya ligat membuat kerja.

"Kenapa monyok je muka kau? Selalunya aku tengok muka kau berseri-seri lepas berjumpa dengan Arissa. Ada masalah ke?" Tanya Amar mula prihatin apabila tiada balasan dari Kael.

"Arissa minta putus," sayu Mikael membalasnya. Tercenggang Amar mendengarnya.

"Kau biar betul! Angin, ribut, taufan tak ada. Tiba-tiba minta putus. Apekehal nya? Cuba ate cerita ke kome ni. Mana tahu kome boleh tolong kawan," kata Amar dalam loghat yang dipijam entah dari mana-mana pun dia tak tahu. Dia cuma ingin menceriakan suasana saja.

"Ada taufan sebab tu jadi macam ni. Aku tahu siapa punya angkara ni. Siap lah dia aku kerjakan," ujar Mikael dengan penuh kegeraman. Wajahnya mula masam mencuka.

"Eh! Sabar Kael. Jangan bertumbuk atau bercakaran dengan orang kerana perempuan. Baik juga kau tinggalkan Arissa tu. Cari je lah perempuan lain. Bunga bukan sekuntum, kubang pun bukan seekor. Hehehe…," pujuk Amar dalam bercanda. Diusap perlahan-lahan bahu sahabatnya itu.

"Apa yang kau merepek ni? Masa bila pula aku nak bertumbuk?" Tanya Mikael kehairanan.

"Bukan tadi kau cakap nak 'kerjakan dia' ke? Aku fikir kau nak belasah sebab Arissa ada lelaki lain," jawab Amar dalam kebingungan.

"Apa maksud kau ni Amar? Arissa ada lelaki lain?" Soal Mikael dengan sedikit keras.

Tidak suka dengan gaya percakapan sahabatnya itu. Dia mula mengesyaki sesuatu. Amar ada tahu sesuatu yang dia tidak tahu?

"Tak ada lah. Mana ada aku kata Arissa ada lelaki lain. Aku serkap jarang je tadi," dalih Amar. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. 'Aku ada salah cakap ke?' Desis Amar. Mikael mengeluh kelegaan.

"Kau ni…kalau tak tahu pangkal cerita jangan suka nak serkap jarang je. Tak baik kau cakap Arissa macam tu. Arissa mana ada lelaki lain. Kau pun tahu aku memang dengan dia," kata Mikael dengan penuh yakin.

"Maaflah…aku tengok hari ni wajah kau macam ada masalah je. Pastu tiba-tiba Arissa minta putus. Aku tak fikir lain dah. Mesti sebab cliché macam tu. Sebab aku tahu kau orangnya setia pada yang satu. Hehehe…" Ucap Amar dalam sengihan.

Mikael ketawa perlahan mendengar jawapan Amar. Setia? Ya, dia sangat setia pada Arissa tapi ada sesuatu yang telah mengugat kesetiaan dia pada gadis itu.

"Amar kau kena tolong aku. Masa depan aku terletak kat tangan kau. Kalau kau tak tolong aku, aku terpaksa tinggalkan Arissa," rayu Mikael. Dia merenung Amar dengan penuh harapan.

"Jangan tenung aku macam tu. Rimas lah," tolak Amar.

Dia sudah kebingungan. Tadi kata Arissa minta putus dan sekarang ini Mikael pula kata dia kena tinggalkan Arissa. Hah! Pening sudah.

"Berbelitlah ayat kau. Cuba kau cerita dengan aku, apa yang sebenarnya yang sudah berlaku? Mana yang boleh aku tolong, aku tolong." Ujar Amar.

"Macam ni…" Mikael pun berceritalah mengenai masalahnya kepada Amar tanpa tertinggal satu perkara. Kepada Amar sajalah tempat dia bergantung.

Amar hanya mendengar dengan penuh khusyuk. Dia hanya mengagukkan kepalanya, tanda dia mengerti jalan permasalahan yang dialami oleh Mikael. Rumit juga masalah Mikael ni tapi kalau ada wang semua ini akan selesai dalam sekelip mata saja. Fikir Amar.

"Aku rasa Arissa kena ugut dengan perempuan tu," teka Mikael. Firasatnya mengatakan Arissa diugut untuk tinggalkan dia dengan ancaman yang mungkin membahayakan hidup buah hatinya.

"Aku tak rasa macam tulah Kael. Kalau kena ugut pelik-pelik, baik report je pada polis. Biar undang-undang yang selesaikan hal ni tapi aku rasa ada sesuatu yang mungkin Arissa cuba sembunyikan," tembak Amar. Berkerut dahi Mikael mendengar kata-kata Amar.

"Apa dia? Tak mungkin Arissa sanggup khianat aku, Amar. Lagipun perempuan tu dah janji nak hapuskan Arissa dalam hidup aku," kata Kael dengan penuh rasa bimbang.

"Entahlah, aku pun tak tahu. Dahlah jangan fikirkan sangat. 'Hapus Arissa' tak semestinya guna kekerasan," ucap Amar dengan penuh makna.

"Lain macam je bunyimya. Kau ada tahu sesuatu yang aku tak tahu ke?" Tanya Mikael.

Akhirnya, pertanyaan itu terkeluar juga. Dari tadi dipendamkan saja. Amar seolah-olah prejudis terhadap buah hatinya.

"Tak adalah. Benda tak sahih. Kau pun ada cakap jangan serkap jarang. Kau pun jangan main serkap jarang je. Baik kau tanya Arissa tu betul-betul. Fasal duit tu, aku boleh bantu kau. Tapi tak banyak sebab duit aku habis digunakan untuk buka bengkel ni. Kau pun tahu masa aku baru nak buka bengkel ni dulu pun aku ada meminjam duit orang juga," ulas Amar tidak mahu memanjangkan soal Arissa. Lebih elok dia tumpukan masalah utama sahabatnya itu.

"Tak apalah, Amar. Asalkan ada. Aku akan cuba pinjam duit dengan orang lain juga. Terima kasih tau. Kau lah sahabat dunia akhirat aku,"ujar Mikael sambil tersenyum pahit.

Amar yang melihatnya juga tersenyum pahit. Dia bersimpati terhadap nasib Mikael. Muda-muda lagi dah kena paksa kahwin. Kalau Mikael seorang perempuan dia tidak hairan sangat. Perkara sebegitu sudah sinonim kalau anak-anak muda perempuan yang sudah tidak mahu sambung belajar baik dikahwinkan saja tapi sahabatnya itu laki-laki. Ada juga kes kahwin paksa. 

"Sama-sama. Aku doakan supaya Allah permudahkan urusan kau. Kalau kau tak cukup duit cuba kau pinjam dengan bekas bos kita dulu, manalah tau dia boleh tolong kau kan? Aku pun akan cuba tanya dengan pak cik aku. Mana lah tau dia boleh bantu apa yang patut." Cadang Amar pula.

"A'ah lah. Nanti aku cuba tanya En.Tan. Dia pun orangnya baik. Amar, terima kasih banyak. Aku tak tahu macam mana nak balas budi kau. Banyak kau tolong aku," ucap Mikael. Wajahnya mula ceria.

"Alah…aku dah kata. Mana yang boleh aku bantu, aku bantu. Apa gunanya ada kawan. Mungkin hari ini adalah hari kau, hari aku belum tahu lagi. Kita umat Islam kena saling tolong-menolong." Amar menepuk bahu sahabatnya itu.

Walaupun Mikael lebih muda dua tahun darinya, dia tidak pernah menganggap Mikael sebagai adiknya tetapi sebagai sahabat yang selalu berkongsi suka dan duka.

Mikael tersenyum mendengar kata-kata Amar. Dia pasti bahawa dia mampu mengumpul sejumlah wang yang dipinta oleh Maya. Biarlah dia sengsara meminjam wang dengan orang  lain berbanding dia akan sengsara seumur hidup menjadi suami kepada perempuan yang tidak dicintainya. Selepas ini, dia tidak akan ada apa-apa kaitan dengan perempuan yang bernama Maya itu lagi.

MAYA ADELLE hanya tersenyum manis di atas kerusi empuknya apabila melihat insan yang dinanti-nantikan olehnya berada di hadapan mata. Dia pasti manusia ini telah melakukan tugasnya dengan baik dan lancar. 

"Aku dah buat semua apa yang kau suruh. Mana upah aku?" Tanya gadis itu dengan agak tergesa-gesa.

"Sabar…jangan gelojoh sangat," kata Maya dengan sinis. Gadis itu mengetapkan bibirnya. Geram dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Maya.

"Nah! Ni duitnya." Maya melemparkan sekeping sampul surat yang agak tebal isinya di hadapan gadis itu. Gadis itu dengan segera mengambil sampul surat tersebut dan membukanya. Dia meneliti isi di dalamnya. Dia tersenyum bahagia.

"Jangan nak seronok sangat. Kau jangan lupa janji kau pada aku. Kalau tidak nahas kau, aku kerjakan," ugut Maya dengan tegas. Mata gadis itu direnung tajam.

"Aku tahulah! Tak cakap pun memang aku dah lama berniat nak tinggalkan dia. Lelaki macam tu tak dapat pun tak apa," kata gadis itu dengan penuh angkuh.

"Kau jangan menyesal pula. Ingat janji-janji kau." Maya memberi amaran.

"Aku tak akan menyesal. Aku lagi menyesal kalau aku tak tinggalkan dia," ujar gadis itu lagi lalu dia terus melangkah pergi dari bilik tersebut.

Maya tersenyum sinis. Ini perempuan yang diagung-agungkan sangat oleh Mikael? Memang tak ada kelas langsung! Manusia semua sama. Cemuh hati Maya.

Maya mula terbayangkan wajah Mikael. Lelaki itu sangat baik tapi sayang, dia hanya dikelilingi dengan manusia yang pentingkan diri sendiri dan tidak berhati perut. Untuk misinya, Mikael adalah pilihan yang terbaik berbanding dengan lelaki-lelaki lain di luar sana. Itu firasatnya. Jika Mikael terlepas ke tangan Arissa atau perempuan lain, rugilah dia.

Dia tersenyum puas. Walaupun banyak wang yang telah dihabiskan untuk dapatkan seorang lelaki, dia sudah tidak kisah. Apa yang telah dirancangkan perlu diteruskan. Sekarang ini, sudah tiada halangan untuk dia miliki lelaki itu. Mikael tetap akan menjadi miliknya. Siapa kata masalah tak boleh selesai dengan wang? Manusia penuh dengan ketamakkan. Campak saje duit pada mereka, hati mereka akan goyah. Maya Adelle tersenyum penuh makna. Mikael...Mikael...seru hati Maya Adelle.