webnovel

Game Over, Mr. Panther!

“Kalau kita dapat bunga yang pengantin lambung, tu maknanya jodoh kita dah dekat. Hahaha! What a nonsensical fact is that?” – IZZ HANA Dia bagaikan air. Dan air selalu menang jika berlawan dengan api. Mempermainkan lelaki adalah satu hobi untuk Izz Hana. Seorang gadis periang dan selamba. Luarannya kelihatan ‘innocent’ tapi hakikatnya ‘killer’ dalam permainan cinta. Tapi, apa yang akan terjadi apabila ‘air’ tidak dapat mengalahkan ‘api’ itu? Dialah Shah Danish, seorang pemuda yang dingin dan senang naik angin. Juga digelar ‘Mr. Panther’ oleh Izz Hana. Dia bukanlah lelaki sempurna yang menjadi dambaan wanita. Tidak lagi sejak dia ditimpa kemalangan yang mengakibatkan kakinya lumpuh. Namun begitu, Izz Hana bukanlah gadis yang mudah bersimpati dengan orang lain. Shah Danish dijadikan peserta seterusnya. Peserta yang dijemput tanpa diundang ke dalam permainan cintanya. Setiap bait yang diucapkan gadis itu hanyalah poin untuk mendapat ganjaran. “Kau ni pekak ke apa? Aku dah cakap, aku tak ada selera nak makan. Itu pun susah sangat ke kau nak faham?” – SHAH DANISH “Encik Shah, tak payah nak berdalih sangatlah. Aku tahu kau suka kek ni kan? Sebab tulah aku buatkan khas untuk kau. Barulah manis sikit senyuman tu. Sejuk mata aku memandang.” – IZZ HANA Setiap kali gadis itu berkata-kata, kali itu jugalah lidahnya kelu. Walau sekeras mana hatinya, akhirnya Shah Danish kalah dalam permainan cinta Izz Hana. Kehadiran gadis itu sudah meniup semangatnya untuk berubah. Tapi, apa yang akan terjadi apabila rahsia gadis itu terbongkar? Selepas enam bulan berlalu, mereka berjumpa semula sebagai pesakit dan doktornya. “Kenapa Encik Shah pandang saya macam tu? Kalau awak tenung saya lagi, nanti saya suruh nurse siapkan pembedahan untuk awak. Daripada kaki tu baru nak elok, baik tak ada kaki terus.”

Sariel_Y · Adolescente
Sin suficientes valoraciones
6 Chs

BAB 3

JAM di pergelangan tangan menunjukkan pukul tujuh setengah pagi. Nampaknya hari ini aku datang awal. Nasib baik! Tidaklah aku perlu mendengar bebelan Cef Muaz setiap kali terlambat. Aku menghela nafas lega.

"Hana, buat apa tercegat kat situ? Pergi salin baju. Tak lama lagi waktu breakfast. Kau buat penkek dan wafel," arah Cef Muaz sebelum kembali ke dapur.

Aku berjalan pantas ke bilik persalinan. Loker dibuka. Baju kasual ditanggalkan dan disalin dengan baju tukang masak yang disediakan. Tidak lupa juga topi cef yang aku letak di dalam loker. Sebaik sahaja selesai, aku berlari anak ke dapur. Melakukan tugasan yang diberi tadi.

Mangkuk adunan penkek di dalam peti aku keluarkan. Adunan penkek yang manis aku gaul supaya tidak keras. Cef Muaz akan menyediakan hidangan yang paling penting. Ianya hidangan mewah yang hanya cef yang memasaknya saja yang tahu resepinya. Tukang masak yang lain menyediakan minuman dan hidangan yang ringan.

Nampaknya hari ini akan menjadi hari yang panjang. Menjadi cef di salah satu hotel terkenal di Malaysia tidaklah sepenat yang disangka. Bekerja sebagai doktor di hospital ayahanda lebih memenatkan walaupun aku sukakan kerja itu.

"Hana, penkek dah siap ke?"

"Dah. Banyak ni cukup tak, cef?"

Cef Muaz berjalan pantas ke arahku. "Setakat ni cukuplah. Pergi buat wafel pula."

Aku menurut. Salah seorang cef yang bekerja denganku sudah berada di tempat memasak wafel. Untuk hidangan wafel, kami perlu sediakan sebanyak yang boleh kerana wafel amat digemari pengunjung yang menginap di hotel ini. Kadangkala Shah akan bawa kliennya untuk bersarapan atau makan malam di sini. Jadi, kami perlu lakukan yang terbaik.

Pembetulan! Aku tiada masalah dibuang kerja tapi cef yang lain yang akan menanggungnya.

"Awak nak buat wafel biasa ke?" soalku kepada Suraya.

"Rasanya kali ni biar saya buat wafel ais krim. Awak buat wafel biasa," ujar Suraya lalu memulakan kerjanya.

Aku juga menuang adunan wafel ke dalam pembakar wafel.

"Hari ni Cef Muaz macam kalut aje, kan? Ada apa-apa ke?" tanyaku dengan nada berbisik.

Suraya memandangku. Riaknya seperti merisaukan sesuatu.

"Tadi cef cakap bos nak makan kat sini. Kiranya hari ni ada spot check lah. Kalau bos rasa makanan yang tak sedap, orang yang memasaknya akan dipecat." Suraya memberitahu.

Aku seakan tidak percaya. Baru saja semalam Shah bermurah hati untuk berikan peluang kepada tukang masak yang lain. Terutama sekali Cef Muaz. Cepat benar dia berubah fikiran.

Aku juga tidak boleh dipecat. Inilah satu-satunya jalan yang paling hampir untuk memikat Shah. Kalau aku gagal, pasti misiku tergendala.

"Alamak, banyak lagi hidangan yang kena disiapkan. Rasanya saya takkan sempat panggang daging. Hana, boleh awak uruskan wafel? Saya kena panggang daging tu," pinta Suraya.

Aku mengangguk bersama senyuman. "Okey, biar saya yang buat wafel."

Dengan masa yang ada, aku menyiapkan wafel yang banyak untuk dihidangkan. Shah akan sampai dalam dua puluh minit. Semua makanan harus disiapkan tepat pada masanya.

Tiba-tiba,

Kedengaran bunyi nyaring bergema di dapur. Ada barang yang terjatuh.

"Haiqal! Buat kerja tu elok-eloklah sikit. Kita dah tak ada masa," jerit Cef Muaz dengan tegas.

Aku letakkan wafel yang siap dimasak ke dalam pinggan. Bunyi pinggan jatuh membingitkan suasana dapur. Hari ini semua orang sangat kalut. Pasti hari ini sangat penting untuk kesemua tukang masak di hotel ini.

Kepingan wafel kesebelas aku letakkan ke dalam pinggan. Siap! Kami masih ada lima minit untuk siapkan hidangan masing-masing. Aku keluarkan bekas ais krim dari dalam peti sejuk. Ais krim coklat aku cedok dan letakkannya di atas wafel.

Poin nombor satu! Shah sukakan manisan terutama sekali ais krim coklat.

Ini akan menjadi langkah permulaan untuk aku lembutkan hati kerasnya. Siapa sangka, lelaki yang cukup dingin dan keras kepala itu sukakan manisan?

"Encik Shah dah sampai. Kita kena hidangkan sekarang juga!"

Semua cef melakukan sentuhan terakhir. Aku pula mengangkat pinggan dengan wafel ais krim coklat di atasnya. Aku dapat rasakan cef lain tidak merasakan apa yang aku alami sekarang. Mereka gementar. Walaupun hidangan yang mereka sediakan nampak mewah, tapi rasa makanan mereka mestilah mengikut citarasa Shah.

Lelaki itu bukan saja dingin, degil dan baran. Malah, aku perlu tambah satu lagi sifat menjengkelkannya itu. Ce. Re. Wet.

"Hana, kau buat apa lagi tu? Kita kena keluar cepat." Cef Muaz mengarah. Tanpa aku sedar, semua cef sudah keluar dari dapur. Hanya tinggal aku dan Cef Muaz saja.

Aku menurut. Pinggan wafel aku bawa dengan berhati-hati. Aku berdiri di sebelah Suraya lalu meletakkan pinggan di atas meja. Cef Muaz tampil ke hadapan sebagai ketua cef. Hidangannya diletakkan di atas meja Shah.

Seperti biasa, riak lelaki itu dingin dan ada aura hitam di sekelilingnya. Aku menoleh ke kanan, Suraya mengenggam tangannya. Dia nampak begitu risau.

"Next."

Cef Muaz mengangkat pinggannya kembali. Tatkala anak mata kami bertembung, aku mengangkat kening. Dia mengenyit sebelah mata seperti memberitahu 'selamat!'.

Sekarang giliran Cef Haiqal pula. hampir saja aku menjerit kecil apabila pinggan itu pecah dan berderai di atas lantai. Bunyi hempasan itu masih bergema di telingaku.

"Makanan yang kau buat ni tak ada rasa langsung! Kau dipecat!"

Cef Haiqal menunduk.

"Saya minta maaf, Encik Shah. Tolong jangan pecat saya. Ini aje kerja yang saya ada. Saya perlukan kerja ni!" Cef Haiqal merayu. Kedua-dua tangannya dirapatkan.

Aku dapat lihat lelaki itu tersenyum sinis. Pembantu peribadinya dikerling sebelum ketawa. Sangat sinis tawanya. Aku mengetap gigi. Bukan kerana gugup tapi kerana rasa geram terhadap lelaki itu. Shah berhenti ketawa tiba-tiba. Matanya menjegil Cef Haiqal.

"Aku tak kisah sama ada kau ada kerja ke tak. Aku tak nak ada sampah dalam hotel aku. Tempat kau bukan kat sini. Tapi kat luar tu, warung nasi lemak. Kat situ aje tempat paling layak untuk kau," hina Shah dengan sarkastik.

"Encik Shah…"

"Berambus!" tengking lelaki itu lagi. Cef Haiqal mengatur langkah ke dapur. Apron dan topi yang dipakainya ditanggalkan dan dilibas ke sisi. Dia betul-betul marah dan kecewa.

Shah sangat melampau. Aku tidak mampu bayangkan bagaimana perasaan Julaikha setiap kali berdepan dengan abangnya itu. Kalau aku di tempat Julaikha, pasti tubuh lelaki itu aku tendang dari kerusi roda. Biar dia tahu betapa sakitnya hatiku terhadapnya.

"Next!"

Cef yang lain mula tampil. Ada yang terselamat dan ada yang dipecat serta ditengking. Sebelum ini ada lapan orang cef tapi sekarang hanya empat orang cef saja yang tinggal.

Akhirnya sekarang giliran aku. Aku meletakkan pinggan wafe di atas meja. Shah mengambil garpu dan pisau. Wafel itu dipotongnya. Seperti yang aku jangka, ais krim coklat takkan dia biarkan begitu saja. Wafel dan ais krim dimasukkan ke dalam mulut. Aku hanya merenung Shah dengan renungan kosong. Ini kali pertama aku berada dekat dengannya. Kalau aku gagal, aku masih ada kerja. Cuma peluang untuk aku mendekatinya mungkin tipis.

"Kau pun kekal. Pergi berdiri sana," arahnya dengan tegas.

Aku menggigit bibir. Itu sajakah? Tiada pujian atau kata-kata semangat. Walaupun aku mahu menegur sikapnya, tapi kali ini aku perlu bersabar. Aku berjalan ke arah Cef Muaz dan Cef Fikri. Sekarang, ia giliran Suraya pula untuk menerima nasib.

Sepinggan daging panggang berperisa diletakkan di atas meja. Melalui bentuk hidangannya, aku tahu dia akan kekal. Suraya tidak kurang hebatnya dalam bidang masakan. Kalau dia juga dipecat, ianya satu kesilapan besar.

"Kau dipecat!"

Mataku membulat. Biar betul! Lelaki itu tiada lidahkah?

"Daging ni Liat. Terlalu banyak perasa sampai aku rasa nak muntah! Dan kau nampak tak ni? Kesan hitam ni boleh sebabkan penyakit. Aku nak kau keluar dari sini sekarang!"

Aku mengetap gigi. Rasa geramku terhadap lelaki itu semakin memuncak. Suraya sudah menunduk. Kedua-dua tangannya dirapatkan sebagai tanda meminta belas.

"Encik Shah, saya janji tak buat lagi. Saya sangat perlukan kerja ni…" suara Suraya kedengaran tenggelam. Dia cuba menahan sendu.

"Aku cakap keluar dari sini! Jangan sampai aku sendiri yang heret kau!"

"Tolong bagi saya peluang. Saya perlukan duit untuk pembedahan adik saya. Saya janji, saya takkan…"

"Berambus!"

Aku rasa tidak percaya. Shah terlalu kejam untuk menjadi abang ipar kepada Harraz. Tidak bolehkah dia beri peluang kedua kepada Suraya? Selama aku mengenali Suraya, dia amat menyayangi adiknya. Pernah sekali aku menjenguk adiknya di hospital. Tapi aku tidak berani pula untuk bertanya tentang penyakit adiknya.

"Tuan! Tolong… saya sanggup buat apa aje. Jangan pecat saya…" Suraya merayu lagi. Dia sudah melutut di hadapan Shah.

Entah kenapa, aku rasa sesuatu yang tidak enak dalam hati. Kasihan Suraya. Selama ini dia bersusah payah bekerja untuk menyara adiknya. Aku mesti lakukan sesuatu. Sudah tiba masanya lelaki itu sedar akan perbuatannya.

"Encik Shah, tolong jangan pecat Cef Suraya. Selama dia bekerja kat sini, dia dah banyak bagi sumbangan untuk hotel ni. Encik kenalah bertimbang rasa," ujarku dengan sopan.

Seperti yang aku jangka, kata-kataku pasti tidak akan masuk ke dalam kepala otaknya. Shah tersenyum sinis, renungannya terhadapku tajam mengalahkan pisau. Cef Muaz sudah berbisik kepadaku supaya aku berdiam saja. Tapi aku tidak boleh berbuat begitu. Suraya sepatutnya dipertahankan!

"Apa kau cakap tadi? Bertimbang rasa? Wah! Tak sangka ada juga orang yang berani menentang aku. Kau nak kena buang juga ke? Kau tak sepatutnya masuk campur dalam hal ni. Sekarang, kau berdiri diam-diam kat situ sebelum aku pecat kau juga!"

"Go ahead, I don't care. Kalau kau nak pecat aku, pecatlah. Tapi aku nak kau kekalkan Suraya dalam hotel ni. Dia cef yang berbakat. And this is the first time she did wrong. Apa salahnya kau bagi dia peluang kedua?" bidasku bersahaja.

Shah masih merenungku tajam. Dia gerakkan jari telunjuknya kepadaku, menyuruhku datang dekat padanya. Huh! Dia fikir aku takut dengannya? Jauh sekali. Aku melangkah menghampirinya. Suraya bangun dari melutut, dia memegang tanganku dengan erat.

"Hana, awak tak perlu buat macam ni," rayu Suraya.

Aku menggeleng tanpa mengalihkan renunganku terhadap Shah. Senyuman sinisnya aku balas dengan senyuman yang sama.

"Ni kali pertama pekerja bawahan berani menentang aku. Menarik! Tapi aku takkan pecat kau. Memandangkan kau perempuan pertama yang berani cabar aku, aku ada hadiah special untuk orang bawahan macam kau. As you wish, I will grant your request. Aku akan kekalkan kawan kau dalam hotel ni. Tapi kau, ada syarat khas yang kau kena ikut kalau nak kawan kau tu terus bekerja kat sini."

Aku rasa mahu baling saja pinggan ini ke mukanya. Aku menentang untuk keuntungan hotelnya juga. Untuk penuhi permintaan aku yang tidak seberapa itu pun perlu bersyarat jugakah? Nampak sangat tidak ikhlas!

Aku mengetap gigi. Cuba menahan geram.

"Okey. Apa syaratnya?"

"Kau akan jadi cef peribadi aku."

Mataku membulat. Aku tidak jangkakannya. Menjadi cef peribadi mr. panther? Mustahil aku dapat menerimanya. Tapi, bukankah inilah peluang keemasan untukku? Menjadi cef peribadi lelaki dingin itu akan membuka peluang untuk aku mendekatinya. Ia peluang keemasan dan juga perangkap maut untukku.

"Kau nak aku bertimbang rasa, kan? Aku nak tengok sejauh mana kemampuan kau boleh puaskan selera aku. Kalau kau tak setuju pun tak apa. Bukan saja kawan kau tu dipecat, malah dia takkan dapat sesen pun gaji bulan ni."

"Siapa cakap aku tak setuju?"

Untuk kali pertama, aku dapat lihat reaksi terkejutnya. Pasti dia tidak pernah menyangka aku akan setuju dengan syaratnya. Yalah, siapa yang mahu bekerja dengan lelaki muka ketat itu?

Creation is hard, cheer me up!

I tagged this book, come and support me with a thumbs up!

Like it ? Add to library!

Sariel_Ycreators' thoughts