webnovel

BAB 4

LAGU Be Alright aku tekan di skrin telefon pintar. Aku menapak keluar dari bilik persalinan lalu berjalan pantas ke lobi. Lagu nyanyian Dean Lewis itu bergema di fon telinga. Suraya sudah menunggu di lobi hotel. Sebelum waktu melawat tamat, kami perlu pergi ke hospital untuk menjenguk adiknya.

"Cepatlah, Hana. Grab dah sampai tu," kata Suraya.

Aku mempercepatkan langkah. Pintu kereta dibuka sebelum kami membolos ke dalam kereta. Nada lagu aku perlahankan. Aku mahu tanya sesuatu kepada Suraya.

"Suraya, boleh tak saya nak tanya sesuatu? Saya harap awak tak terasa untuk jawab ni," soalku dengan lembut.

Suraya memandangku bersama senyuman nipis. "Tanyalah. Saya takkan terasa pun."

"Sebenarnya dah lama saya nak tanya awak pasal ni. Aishah sakit apa, ya? Awak tak pernah beritahu saya apa-apa pasal penyakitnya."

Riak Suraya berubah. Aku sudah agak, pasti dia terasa dengan soalanku. Sebelum ini aku tidak pernah kisah tentang perasaan orang lain atas nasib mereka. Tapi sejak aku kenal Suraya, aku mula rasa bersimpati dengan nasibnya. Dia berusaha keras semata-mata untuk menyara adiknya.

"Epilepsi. Dia ada masalah epilepsi yang teruk. Doktor kata dia perlukan pembedahan. Tapi itulah, kos perubatan mahal sangat. Sebab tulah saya perlukan kerja kat hotel tu. Hana, thank you for helping me. Awak sanggup jadi cef peribadi bos semata-mata nak tolong saya. Saya… bersyukur sangat sebab ada kawan macam awak," ujar Suraya. Dia tersenyum manis kepadaku.

Pembedahan epilepsi. Rasanya aku boleh uruskan pembedahan itu untuk menolong Suraya. Tapi bagaimana aku boleh lakukannya? Aku tidak boleh dedahkan diriku sebagai ahli neurologi. Tambahan pula, aku juga anak pengarah dan cucu CEO Puncak Putera Financial Group. Lagilah status keluargaku berisiko untuk terbongkar.

Tapi masalah epilepsi yang teruk tidak boleh dibiarkan lama. Aku harus lakukan sesuatu.

"Suraya, apa kata awak tukarkan Aishah ke Hospital Puncak Puteri? Biar doktor kat sana yang uruskan pembedahan Aishah. Saya dengar kat sana ada ramai doktor pakar yang boleh rawat adik awak tu."

Masuk bakul angkat sendiri. Semestinya salah seorang doktor pakar itu adalah aku.

"Bukan ke tu hospital swasta? Lagilah mahal kos perubatan kat sana."

"Don't worry. Saya ada kawan kat sana. Mungkin dia boleh tolong. Suraya, nak kumpul duit untuk bayar kos pembedahan kat sana akan ambil masa yang lama. Semakin lama awak menangguh, semakin bahaya untuk adik awak. Hantar adik awak ke hospital yang saya cakap tadi, buat pembedahan dulu kat sana. Lepas tu barulah awak bayar secara beransur-ansur," balasku serius. Aku mahu meyakinkannya.

Pasti Harraz boleh lakukan pembedahan itu untukku. Yalah, sekarang aku jadi lebih berkuasa untuk meminta pertolongannya. Kalau dia menolak, aku boleh gunakan alasan misi itu.

"Awak yakin ke, Hana? Boleh ke kawan awak tolong saya? Lagipun, saya tak pandai nak minta dengan pihak hospital untuk pindahkan Aishah," ujar Suraya agak risau.

"Pasal tu biar saya yang uruskan. Bila dah sampai nanti, awak terus pergi jumpa Aishah. Biar saya yang uruskan pemindahan pesakit. Kalau masalah epilepsi yang kronik, kita tak boleh biarkan aje."

Suraya memandangku tidak berkelip. Seolah-olah cuba mencari sesuatu di wajahku.

"Gaya awak bercakap hari ni lain lah, Hana. Dengar macam doktor betul. Mesti awak banyak tengok The Good Doctor, kan? Sampai awak sendiri dah jadi macam doktor." Suraya ketawa kecil.

Aku mengukir senyuman nipis. Lain kali aku perlu mengawal kebiasaanku di hospital. Sejak kecil lagi, ayahanda dan bonda mengajarku untuk menjadi orang yang berkarisma. Dan sifat itu sudah menjadi kebiasaan bagiku. Nampaknya aku perlu membiasakan diri dengan sifat kasual.

AKU menghempaskan badan ke atas sofa. Sejuk rasanya sofa kulit ini. Letih! Lama juga aku berurusan dengan pihak hospital untuk memindahkan adik Suraya ke hospital ayahanda. Tapi mujurlah nasibku baik. Doktor yang merawat Aishah sebelum ini amat bertimbang rasa. Bukan seperti lelaki dingin itu. Senyumannya pun tidak cukup gula.

Loceng rumahku berbunyi. Aku bangun dari perbaringan dan duduk menunggu gerangan yang datang. Aku tidak berganjak dari sofa kerana aku tahu Harraz dapat membuka kata laluan. Seketika kemudian, Harraz masuk dengan dua beg kertas di tangannya.

KFC.

Aku terlebih dahulu menyelongkar beg kertas itu.

"Kau pun tahu aku tak minum air gas, kan? Apa pasal beli dua?"

"Aku tak beli untuk kaulah. Aku yang nak minum dua-dua. Nah, aku bagi kau air paling mahal sekali. Bubble tea."

Aku senyum puas. Pantas tanganku mengambil bekas minuman yang bertulis Tealive itu. Pearl yang kenyal itu aku kunyah penuh nikmat. Sungguh, aku sukakan minuman ini!

"Kau cakap dalam call tadi nak minta tolong aku. Kau nak aku tolong apa?"

Aku menyedut air gula perang tidak henti-henti. Sudah lama aku tidak meminumnya disebabkan kekangan masa sejak bekerja di hotel. Aku mengunyah pearl lagi. Wajah adik kembar aku pandang sambil mengunyah. Harraz sudah menggeleng bersama keluhan.

"Kau memang enjoy makan tahi kambing tu, kan?"

Pantas tanganku mengetuk kepalanya. Dia mengaduh.

"Ni pearl! Rasanya macam coklat, tahu?" bidasku.

"Yalah. Dah kau tak jawab soalan aku. Kau minta aku datang sini sebab apa? Selama ni punyalah kau membebel suruh aku balik. Kau nak minta tolong apa sebenarnya?"

Aku meletakkan teh buih di atas meja.

"Sebenarnya macam ni, aku ada kawan kat hotel tu. Adik dia menghidap epilepsi yang teruk dan perlukan pembedahan. Baru aje tadi aku pindahkan adik dia tu ke hospital ayahanda. Aku cakap, kawan aku kat sana boleh tolong uruskan pembedahan. So, I want you to take care of it."

"Tak bolehlah. Aku ada banyak patient. Tadi baru aje tambah lagi seorang. Kau tahu tak, salah seorang ahli lembaga menghidap barah otak. Brain cancer stage one. Esok aku kena periksa keadaan beliau sebelum tetapkan tarikh pembedahan. Dira kan ada. Mungkin dia boleh tolong."

Aku mengetap gigi. Entah berapa kali aku mengingatkan hal yang sama padanya pun aku tidak tahu.

"Berapa kali aku nak ingatkan kau? Dira tu pakar ortopedik. Or. To. Pe. Dik! Dia cuma bedah tulang dan otot!"

"Okey, okey. Apa-apa pun, aku tak boleh tolong kau. Listen, Izz. I would love to help you. But I can't. Aku sendiri sibuk dengan patient yang ada. Takkan aku nak harapkan doktor pelatih aje?" kata Harraz lagi.

"Habis tu macam mana? Takkan aku pula yang kena buat pembedahan tu? Nanti pecahlah rahsia aku. Kau tahu tak, sekarang aku dah dapat peluang untuk dekat dengan si Shah tu. Kalau rahsia aku terbongkar, habislah plan yang kita rancang selama ni." rengusku.

Kalau rahsiaku terbongkar, sudah pasti aku akan dibuang kerja. Peluang untuk aku mendekati Shah juga akan tipis. Tapi nyawa adik Suraya juga penting. Pembedahan perlu dilakukan segera. Kalau aku sendiri yang lakukan pembedahan itu, Suraya akan tahu tentang identitiku. Suraya gadis yang baik tapi bolehkah dia menyimpan rahsiaku?

Nampaknya aku tiada pilihan lain. Ahli neurologi yang lain juga sibuk seperti Harraz. Aku perlu lakukannya sendiri.

"Kau fikirkanlah, sama ada nak hantar pesakit tu balik ke hospital asal atau kau sendiri yang buat pembedahan," ujar Harraz.

"Aku dah buat keputusan. Aku yang akan bedah adik Suraya. Esok aku akan masuk kerja sekejap."

Keesokan harinya…

TELEFONKU bergetar menandakan mesej masuk.

Suraya: Hai Hana. Are you okay? Kenapa awak tak masuk kerja hari ni?

Aku membalas mesejnya.

Aku: Saya ada hal hari ni. Suraya, saya nak awak datang hospital sekarang. Lagi sejam, Aishah akan jalani pembedahan. Saya dah beritahu Cef Muaz. Pasal Encik Shah dia akan uruskan.

Suraya: Betul ke? Terima kasih sangat-sangat, Hana! Saya terhutang budi dengan awak. Kalau macam tu, sekarang juga saya datang.

Sebaik sahaja mesej terakhir Suraya dibaca, aku terus mematikan telefon. Telefon pintarku disimpan di dalam beg tangan. Aku menapak keluar dari pejabatku seraya mengatur langkah ke bilik pembedahan. Sepanjang di laluan, aku langsung tidak nampak Suraya di man-mana. Dia masih belum sampai.

Sesampainya aku di bilik pembedahan, aku terus bersiap. Doktor Naufal yang turut membantuku juga sedang bersiap.

"Hai Doktor Izz. Lama aku tak nampak kau. Harraz kata kau ada hal mustahak. Sebab tu ke lama awak menghilang," tegur Naufal bersahaja.

Aku mengukir senyuman. Pada mulanya, sopan saja tegurannya. Sekarang dia kembali kepada mod biasa.

"Hai Naufal. Aku ada hal sebab tu aku tak datang kerja. Ini pun sekejap aje aku muncul. Lepas ni aku hilang semula."

Dia ketawa kecil. Kami sudah pun selesai bersiap.

"Jangan hilang lama sangat. Nanti ada yang rindu kat sini," usiknya. Lagi.

Naufal adalah sepupu yang paling rapat denganku dan Harraz. Dari dulu lagi, dia suka mengusikku. Sepatutnya dia menjadi pewaris syarikat kosmetik pak long tapi disebabkan minatnya terhadap bidang perubatan, dia menolak. Dia tua setahun daripadaku dan tiada siapa yang mahu. Dia juga tahu tentang permainan cinta yang aku selalu guna untuk menawan hati lelaki yang cuba mendekatiku.

Aku bukanlah 'playgirl'. Permainan itu hanya untuk aku mendapat ramai kawan. Bukan saja lelaki yang menjadi peserta dalam permainanku malah ramai juga wanita yang berminat menyertainya. Rasanya, aku memang dilahirkan untuk mejadi terkenal di kalangan dua jantina.

"Okey, semua dah sedia? Kita mulakan sekarang. Naufal, tolong aku cari zon epileptogenik."

"GOOD job, everyone!"

Aku meregangkan urat tubuhku. Sengal! Pembedahan yang dilakukan mengambil masa berjam-jam. Akhirnya pembedahan epilepsi ke atas adik Suraya berjaya juga.

"Argh! Lenguhnya rasa. Nampaknya lain kali aku kena banyak bersenam. Boleh patah tulang belakang aku dibuatnya," aku mengeluh. Sarung tangan getah aku tanggalkan.

"Itulah, selama ni aku ajak kau joging kat taman tasik kau asyik bagi alasan. Malas, panas, penat, macam-macam kau merungut." Naufal menyindir.

Aku mengeluh lagi. "Okeylah. Lain kali aku ikut. Aku dah cukup insaf sekarang."

Topeng mulut yang masih belum aku tinggalkan dipakai semula. Aku tahu Suraya ada di luar bilik pembedahan, menunggu pemberitahuan daripada kami.

"Tanggalkan ajelah topeng tu. Buat apa kau pakai lagi?"

"I have to."

Aku mengajak Naufal keluar dari bilik pembedahan. Seperti yang aku jangka, Suraya sudah ada di kerusi menunggu. Sebaik sahaja kami menghampirinya, dia terus berdiri.

"Macam mana dengan adik saya doktor?"

Aku menoleh ke arah Naufal. Anak mataku digerakkan sebagai tanda meminta dia bercakap. Naufal memahami isyaratku. Dia tersenyum kepada Suraya.

"Jangan risau, pembedahan berjalan dengan lancar. Sekarang kami akan pindahkan dia ke wad biasa. Kami akan buat pemeriksaan nanti. Lepas dia sedar, pastikan dia terus berehat," ujar Naufal dengan formal.

Suraya meraup muka. Dia kembali memandang kami dengan mata yang berkaca. Tiba-tiba, tanganku dipegangnya.

"Terima kasih, doktor! Terima kasih sangat-sangat. Alhamdulillah…"

Aku mengangguk tanpa suara. Suraya melepaskan tanganku, dia meraup Mukanya sekali lagi. Aku dan Naufal mengatur langkah meninggalkan Suraya yang kelegaan. Apabila aku sampai di laluan yang jauh dari Suraya, aku menanggalkan topeng muka.

"Izz, nanti kita lunch sama-sama nak tak?"

Aku berhenti melangkah. Aku merenung tajam ke arah Naufal yang menjongket kening. Tiga minggu aku berhenti kerja, perangainya masih tidak berubah.

"Mesti kau nak aku belanja lagi, kan? Kau ni memang tak pernah berubah. Mana sisi gentleman kau?"

"Tak, tak. Kali ni biar aku yang belanja kau. Lagipun kau cakap kau datang sekejap aje, kan? Sebelum kau menghilang, biar aku belanja kau pula."

"Wow! Jarang betul aku dapat makan percuma. Okey, aku berbesar hati menerimanya!" balasku dengan senyuman. Tidak sia-sia aku muncul hari ini.

"SO, what's going on?"

Aku meletakkan sudu. Wajah Naufal aku pandang sebelum mengeluh. Memandangkan aku dan Naufal sangat rapat, aku patut beritahunya tentang misi yang Julaikha dan Harraz berikan kepadaku. Apa-apa masalah dengan kerja di hospital, sekurang-kurangnya dia boleh uruskan untukku.

Aku menceritakan semua yang terjadi sepanjang tiga minggu yang lepas. Bermula dari masalah yang Julaikha dan Harraz hadapi sehinggalah syarat yang Shah tetapkan untuk aku kekalkan Suraya dalam hotel.

"Jadi sebab tulah kau bisu aje depan kakak patient tu. Sampai bila kau nak teruskan misi tu? Lambat laun pak su akan cari kau juga. Kalau dia tahu kau tak datang kerja selama ni, apa kau nak jawab?"

"Pasal tu Harraz cakap dia akan uruskan. Lagipun, ayahanda dengan Uncle Daniyal berkawan baik. Lagilah berisiko rahsia aku akan terbongkar."

Uncle Daniyal juga mengenaliku seperti dia mengenali Harraz. Ayahanda dan Uncle Daniyal sangat rapat sejak kami masih di bangku sekolah. Jadi untuk mengelakkan rahsiaku terbongkar, aku perlu mengelak dari bertembung kedua-dua buah keluarga.

"Tapi kan Izz, aku rasa lebih baik kau beritahu aje pada pak su. Mesti dia faham situasi kau."

"Aha, lepas tu apa? Ayahanda takkan benarkan aku teruskan kalau dia tahu pasal ganjaran tu. Itu bukannya judi sebaliknya upah aku tolong mereka. Kau tahu tak, nak dekat dengan si Shah tu bukannya senang. Ibarat pergi Amazon seorang diri. Bahaya!"

Naufal ketawa. Jus orennya diminum sekejap sebelum tersengih kepadaku.

"Dah tahu bahaya, kan? Tetap juga kau nak mencuba nasib. Tapi kan, bila dengar cerita kau ni aku dah mula rasa tertarik. Kita tengok, berapa lama kau boleh bertahan dalam misi ni. Mana tahu, tiba-tiba kau jatuh cinta dengan dia pula."

Mendengarkan ayat terakhirnya membuatkan aku ketawa. Aku? Jatuh cinta dengan si muka ketat itu? Mustahil! Lelaki dingin itu bukanlah citarasa lelaki idamanku. Jauh sekali untuk berkasih dengannya.

Your gift is the motivation for my creation. Give me more motivation!

Creation is hard, cheer me up!

I tagged this book, come and support me with a thumbs up!

Like it ? Add to library!

Sariel_Ycreators' thoughts
Next chapter