webnovel

Tamparan Ketujuh (8)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Wajah Nangong Xu sudah pun dibasahi peluh sejuk. Dia telah melaporkan setiap butiran dengan jelas pada Guru Besar dan Naib Guru Besar tempoh hari. Walaupun dia tidak bersetuju sepenuhnya dengan cara mereka mengendalikan hal ini, masuk campur dalam urusan mereka adalah di luar bidang kuasanya.

Nangong Xu masih lagi terseksa memikirkan bagaimana mahu memberikan jawapan yang sesuai apabila dia terlihat tangan Long Qi yang sedang memegang hulu pedang di pinggangnya itu tiba-tiba digenggam erat. Kemudian, dua inci daripada bilah pedang yang berkilauan itu ditarik keluar dari sarungnya!

Maksudnya amat jelas.

Nangong Xu menelan air liur.

Dia tidak ada pilihan selain dengan jujurnya memberitahu segala yang telah berlaku pada hari tersebut di hadapan semua orang. Dia mengulangi apa yang telah dilaporkan sebelum ini, setiap patah kata yang sama, tanpa mengubah walau satu suku kata.

Nangong Xu menceritakan semua yang berlaku, sejak detik dia membawa orang-orangnya ke Hutan Roh Pertempuran untuk mencari Lu Wei Jie sehinggalah ketika Lu Wei Jie mendedahkan hal sebenar kepadanya. Dia juga menceritakan apa yang berlaku selepasnya, ketika dia mengiringi Lu Wei Jie, Ning Xin dan para pelajar lain balik ke Akademi Zephyr. Dia juga tidak lupa menyebut tentang perbincangan di antara Fan Qi dan Ning Rui.

Tidak ada satu pun maklumat yang tertinggal. Semuanya didedahkan dengan jelas.

Wajah Fan Qi kelihatan bersalah manakala Ning Rui kelihatan berang.

Para pelajar di sekeliling mereka berbisik-bisik dengan nada perlahan. Rungutan tanpa henti berbunyi sehingga membuatkan minda mereka semua berdengung.

"Senior Lu dijadikan kambing hitam? Jelaslah kini, Ning Xin itu yang memulakan semuanya, tapi Senior Lu pula disuruh menanggung beban kesalahan ini."

"Tahu sajalah, Ning Xin itu anak perempuan Naib Guru Besar. Latar belakang keluarganya juga hebat. Macam mana pelajar biasa nak setanding dengan dia?"

"Tak malu betul dia tu, ya? Dia cuba membunuh orang dan merompak mayat mereka selepas itu! Sekarang ini dia dalam masalah besar dengan Tentera Rui Lin dan Puncak Menjejak Awan."

"Naib Guru Besar itu selalu menampilkan imej terhormat dan adil selama ini. Saya tak sangka dia mampu melakukan tindakan keji seperti menikam dari belakang ini..."

Kecaman serta perdebatan yang berterusan ini semakin memuncak. Dalam beberapa ketika sahaja, reputasi Ning Rui dan Ning Xin sudah jatuh menjunam, lebih rendah daripada jurang yang paling dalam.

Ning Rui merasakan dia perlu membantah, tetapi tiada apa yang boleh dikatakannya. Kejadian itu berlaku terlalu tiba-tiba. Walaupun dia telah mengambil beberapa langkah pantas untuk mengatasi isu ini, ada beberapa aspek yang dia tidak mampu tutup dengan pantas.

Kini Jun Wu Xie dapat menggunakan aspek-aspek tersebut untuk menentangnya. Mustahil dia boleh mendapatkan kembali kawalan ke atas situasi ini.

"Inilah jawapan yang akademi terhormat ini mahu berikan pada kami, bukan?" Jun Wu Xie ketawa dengan menggerunkan sekali lagi. Matanya tertumpu melepasi Fan Qi, tepat merenung Ning Rui. 

"Semuanya hanya salah faham! Lu Wei Jie cuma melemparkan fitnah kerana dia marah setelah disingkirkan!" Ning Rui cuba sedaya-upaya buat kali terakhir setelah melihatkan wajah anaknya yang pucat lesi. Hatinya pedih melihat keadaan Ning Xin yang amat menyedihkan.

"Salah faham? Maksud kamu, orang-orang dari Tentera Rui Lin dan Puncak Menjejak Awan juga tersilap menuduh pihak akademi? Atau kamu fikir selain kamu dan anak kamu ini, orang lain semuanya bersubahat untuk menyusahkan hidup kamu?" Jun Wu Xie tidak berniat untuk melepaskan Ning Xin dengan begitu mudah kali ini. Dia berpaling memandang Fan Qi. 

"Apa kata Tuan Guru Besar tentang hal ini?"

Fan Qi sudah pun dibasahi peluh. Dia tahu hal sebenar di sebalik apa yang berlaku. Dia cuma bersetuju untuk menyembunyikannya kerana Ning Rui telah merayu padanya. Kini setelah Jun Wu Xie mendedahkan segala-galanya pada semua orang di sini, Fan Qi menjadi buntu.

"Bukan saya! Memang bukan saya! Ini salah Yin Yan! Dia yang mengumpan Binatang Roh itu! Saya tak terlibat dalam hal ini!" Sebaik menyedari yang dia akan diumumkan sebagai bersalah, Ning Xin tiba-tiba menjadi amat gerun. Dia tidak mempedulikan hal lain dan cuma menuding jari pada Yin Yan yang sedang mengerekot ketakutan itu lalu mula menjerit-jerit.

Yin Yan begitu takut sehingga tidak mampu bergerak. Apabila terdengar tuduhan Ning Xin, dia mengangkat kepalanya dengan perasaan terkejut dan wajahnya dipenuhi perasaan tidak percaya.

He tidak pernah menyangka yang Ning Xin akan meletakkan seluruh kesalahan ke atasnya seperti ini.

"Yin Yan, saya sedar betapa kasihannya keadaan kamu ketika itu, jadi saya rayu pada ayah supaya melindungi kamu. Saya tak sangka hal ini akan membuatkan ayah saya terbabit sekali. Saya terlalu lembut hati. Semua ini tak ada kena-mengena dengan saya dan ayah saya." Tanpa dirancang, Ning Xin cepat-cepat memindahkan segala tanggungjawab itu kepada Yin Yan. Matanya tiba-tiba kelihatan penuh dendam dan berbisa.