webnovel

Tamparan Kelapan (7)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Fan Zhuo memandang Gongcheng Lei dengan tenang. Sewaktu Jun Wu Xie mula-mula menyedari ada orang telah meracuni makanan Fan Zhuo, Fan Jin dan Fan Zhuo merasakan ada sesuatu yang pelik sedang berlaku tetapi tiada siapa yang mengesyaki Gongcheng Lei. Lelaki itu terhutang budi dengan Fan Qi kerana telah menyelamatkan nyawanya. Sejak dari usia muda lagi Gongcheng Lei sudah berada di sisi Fan Qi dan selama ini dia sangat setia. Seseorang yang tajam akal seperti Fan Zhuo juga tidak pernah sekali pun mengesyaki Gongcheng Lei sebagai penjahat.

Kalau mereka tidak bertemu dengan Ah Jing sekali lagi, kalau Ah Jing tidak terlihat riak wajah Gongcheng Lei ketika itu, Fan Zhuo pasti akan terus menganggapnya sebagai pak cik yang dihormati dan bersikap penyayang.

Tapi kini...

Bibir Fan Zhuo menguntum senyuman. Senyuman itu selembut sinaran bulan dan membuatkan orang lain tidak mampu membencinya.

"Jadi apa yang Pak Cik Gongcheng lihat?"

Tubuh badan Gongcheng Lei kelihatan tegang ketika memandang Fan Zhuo. Dia menyangkakan hal ini sudah selesai dan tidak akan ada kaitan lagi dengannya. Dia tidak menyangka Ning Rui akan menolaknya ke hadapan dan membuatkan dia berada dalam keadaan tersepit. Gongcheng Lei tidak ada pilihan selain memaksa dirinya untuk mengulangi cerita. "Ketika hari tersebut, saya sedang berkawal di luar pintu. Saya kemudiannya terdengar Guru Besar dan Tuan Muda Sulung bertengkar. Pada mulanya saya menyangkakan ada perselisihan faham yang mereka perlu selesaikan, jadi saya tidaklah terlalu memberi perhatian. Sebaik terhidu bau darah barulah saya sedar ada yang tak kena. Ketika saya meluru masuk ke dalam pejabat itu, Guru Besar sudah tidak bernyawa dan saya nampak Tuan Muda Sulung yang masih memegang berlumuran darah itu, berdiri di dalam pejabat…"

Fan Zhuo masih tersenyum.

"Pak Cik Gongcheng, dah berapa lama Pak Cik mengikut ayah saya?"

Gongcheng Lei menjadi kaku dan teragak-agak seketika sebelum berkata, "Dah lebih sepuluh tahun…"

"Lebih daripada sepuluh tahun… Saya ingat lagi sebelum adanya Abang dan saya, malah sebelum Ayah berkahwin pun, Pak Cik sudah berada di sisi Ayah." Fan Zhuo nampaknya sedang mengenang masa lalu.

Gongcheng Lei tidak menjawab, hanya merasakan tangan dan kakinya menjadi sejuk.

"Saya selalu rasakan Pak Cik Gongcheng begitu setia pada Ayah. Nampaknya saya ni tak pandai menilai orang," kata Fan Zhuo. Tiba-tiba dia mengeluh berat.

Gongcheng Lei terkejut. Dalam keadaan panik, dia berpaling memandang Ning Rui yang sedang berkerut ketat. Ning Rui merasakan kepulangan Fan Zhuo ini akan mengganggu rancangannya.

"Fan Zhuo, kamu cakap apa ni? Kamu tak tahukah tentang sikap Pak Cik Gongcheng kamu? Dia dah lama bersama-sama ayah kamu. Bila masanya dia menunjukkan tanda-tanda tidak setia? Kamu mungkin masih tak dapat menerima perbuatan tidak berperikemanusiaan abang kamu itu, tapi inilah hakikatnya." Ning Rui terus menyampuk. Ketika Fan Zhuo mendedahkan identiti sebenar Fan Jin, hal itu sudah pun menggoyahkan tuduhan yang Ning Rui lemparkan pada Fan Jin. Kalau keadaan ini berterusan, sesiapa yang bijak sedikit pun akan tahu ada sesuatu yang tak kena.

Semua kumpulan sudah bersedia untuk bergerak. Ning Rui hanya mahu hal ini berakhir secepat mungkin.

Fan Zhuo tersenyum ketika memandang Ning Rui yang kelihatan pucat. Dia menyedari mulut Ning Rui sedang menggerenyet kerana berasa gelisah. Fan Zhuo perlahan-lahan berkata, "Pak Cik Ning nak kata saya sedang memutar-belitkan kebenaran? Menarik juga ni. Pak Cik Gongcheng katakan tadi hanya ada Abang dan Ayah di dalam pejabat. Dia pula berkawal sepanjang masa dan tak ada sesiapa yang mendekati tempat itu. Sehingga saat ayah saya dibunuh barulah dia sedar ada sesuatu yang tak kena. Itulah yang berlaku pada hari kejadian, bukan?"

Ning Rui hanya mampu mengangguk setuju kerana dia tidak tahu ke arah mana Fan Zhuo akan membawa hujahnya ini.

Fan Zhuo ketawa kecil. Susuk tubuhnya yang tingi lampai itu dipusingkan sedikit. Fan Zhuo menghadap arah matahari terbenam dan matanya sedikit mengecil akibat sinaran cahaya matahari yang menyilaukan. Dia memandang kereta kuda yang berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar utama Akademi Zephyr dan suaranya yang lunak itu jelas kedengaran.

"Apa pendapat Abang tentang hal ini?"

Sepatah gelaran "Abang" yang Fan Zhuo gunakan itu ibarat panahan petir ke jantung Ning Rui dan Gongcheng Lei!

Mereka berpaling dan merenung tepat pada kereta kuda di hadapan mereka itu. Dalam dunia ini, satu-satunya orang yang Fan Zhuo akan panggil "Abang", tak lain tak bukan adalah orang itu!