webnovel

Tamparan Kelapan (6)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Apa yang Fan Zhuo katakan itu membuatkan nafas Ning Rui tersekat!

Benar. Anak-beranak Fan ini mempunyai rupa paras yang elok. Fan Qi dan Fan Zhuo boleh dianggap tampan namun Fan Zho jelas lebih menawan berbanding mereka. Ciri-ciri wajahnya juga berbeza. Fan Jin kelihatan seiras dengan wajah Fan Qi ketika dia masih muda.

Ning Rui pernah berasa curiga dengan hal ini tetapi Fan Qi hanya bergurau tentangnya dan menepis sangkaan ini dengan selamba.

Ning Rui amat mengenali Fan Qi dan tahu lelaki itu tidak suka berbohong. Tambahan pula, Ning Rui percaya tidak ada siapa yang akan begitu bodoh untuk menyatakan anak orang lain sebagai anak kandung sementara anak sendiri pula dikatakan sebagai anak angkat.

Ning Rui merasakan tak ada orang yang berfikiran waras akan bertindak sebegitu, jadi dia tidak pernah meragui kata-kata Fan Qi.

Tapi dia lupa seperkara. Fan Qi boleh dikatakan sebagai seseorang yang terlebih adil. Dalam keadaan tertentu, dia mungkin akan melakukan sesuatu yang dianggap keterlaluan.

Peringatan Fan Zhuo telah menyedarkan semua orang di Akademi Zephyr. Mereka tiba-tiba perasan yang Fan Jin memang seiras dengan Fan Qi manakala Fan Zhuo langsung tidak menyerupai mereka berdua.

Fan Zhuo meneruskan, "Pada ketika itu, keluarga saya berada dalam kesusahan dan mereka telah dibunuh. Saya bertuah kerana bertemu dengan ayah angkat yang sanggup membesarkan saya. Kesihatan saya selama ini memang buruk. Ayah berasa kasihan kerana saya masih kecil dan amat lemah. Kalau saya turut digelar anak angkat, Ayah risau saya akan dibuli. Ayah kemudiannya mengorbankan anak kandungnya sendiri dan mengatakan Fan Jin adalah anak angkat. Manakala budak yang tidak ada pertalian darah dengannya ini menjadi anak kandungnya. Selama ini, Ayah melayan saya seperti anak sendiri. Abang saya juga tahu selama ini yang saya telah mengambil haknya. Tapi dia langsung tidak merungut, malah turut menjaga saya. Sebab itulah saya benar-benar tak faham kenapa Abang mahu bunuh Ayah untuk mendapatkan kedudukan yang memang akan menjadi miliknya. Boleh Pak Cik Ning beritahu saya apa sebabnya?"

Penjelasan Fan Zhuo menyebabkan Ning Rui tergamam. Dia mahu membantah dan meyakinkan orang-orang lain di situ dengan tuduhannya.

Tetapi apabila Fan Zhuo mendedahkan identiti dia dan Fan Jin di hadapan semua orang di sini, Ning Rui mendapati kesalahan yang dia letakkan pada Fan Jin itu begitu kelakar!

Kalau Fan Jin tahu yang dia adalah anak kandung Fan Qi, sama ada Fan Zhuo sihat atau sakit tak ada kena-mengena dengan hal perwarisan jawatan Guru Besar di Akademi Zephyr! Ini juga bermakna Fan Jin tak ada sebab untuk mengambil risiko yang besar dengan membunuh Fan Qi!

Ning Rui berdiri kaku. Semua pelajar dan guru mula berkumpul untuk berbisik-bisik. Bisikan mereka ini disertai mata-mata penuh persoalan yang semuanya merenung Ning Rui.

Inilah kali pertama Ning Rui berasa tidak senang dengan renungan begitu banyak mata di situ. Renungan tersebut seolah-olah sedang mengorek lubang berapi ke seluruh tubuhnya dan mengakibatkan kesakitan yang memeritkan!

"Perlukah ada sebab untuk membunuh? Bagi ayah dan anak pun, sepatah kata berbaur kemarahan, sekilas kemarahan yang memuncak, tak mustahil seseorang itu boleh membunuh secara tidak sengaja, bukan? Atau itu memang mustahil?" Gu Ying yang diam sahaja selama ini, tiba-tiba bersuara. Dia berpeluk tubuh sambil mengangkat sedikit dagunya. Dia memandang Fan Zhuo dengan tenang, seolah-olah langsung tidak terkesan dengan kata-kata Fan Zhuo tadi.

Fan Zhuo berpaling untuk merenung Gu Ying. Di sebalik riak wajahnya yang kelihatan tenang dan tidak terganggu itu tersembunyi satu gelombang kemarahan yang membuak-buak.

Inilah orang yang telah membunuh ayahnya!

"Sama ada tidak sengaja atau telah diperangkap, saya tak rasa kamu berhak untuk menentukannya, bukan?" Fan Zhuo membalas dengan cemuhan.

"Kami ada saksi di sini yang melihat sendiri abang kamu memegang senjata yang digunakan untuk membunuh ayah kami. Hanya Fan Jin dan Fan Qi yang berada di pejabat pada ketika itu. Kalau bukan dia, siapa lagi?" balas Gu Ying sambil tersenyum.

Ning Rui tiba-tiba tersedar kembali. Dia terus menarik Gongcheng Lei yang berdiri di tepi untuk terus berada di hadapan Fan Zhuo.

"Semua itu disaksikan sendiri oleh Pak Cik Gongcheng kamu!"