webnovel

Tamparan Kelapan (22)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ketika semua orang masih terkejut dengan kuasa Jun Wu Yao yang amat kuat, ada seseorang di situ yang sedang mengalami satu perasaan yang boleh dinamakan kekecewaan.

Ning Rui berdiri kaku. Wajahnya pucat. Setiap inci tubuhnya merasakan kedinginan yang menggigit sehingga ke tulang.

[Dah berakhir… semuanya… dah berakhir.]

Harapan telah dinyalakan beberapa kali tetapi akhirnya hanya kekecewaan yang tinggal. Matanya memandang lelaki-lelaki yang terbaring berlumuran darah di situ. Ning Rui seolah-olah sedang melihat nasib yang bakal menimpa dirinya.

Ketakutan mencengkamnya!

"Guru… Guru Besar… apa yang kita… apa kita nak buat sekarang…" kaki Gongcheng Lei sudah berasa longlai. Ketika kumpulan lelaki itu tiba tadi, dia menyangkakan situasi akan berubah. Tetapi keadaan telah bergerak sehingga ke satu tahap yang melangkaui jangkaan mereka.

Lelaki itu mempunyai kuasa yang begitu hebat sehinggakan dapat membuatkan hati mereka berasa gerun. Sebarang sisa harapan terakhir yang mereka ada telah musnah…

Gu Ying telah diselamatkan. Utusan-utusan yang tinggal di sini semuanya sudah mati. Tiba-tiba mereka mendapati hanya mereka berdua yang masih ada di Akademi Zephyr!

Bayang-bayang kematian yang gelap mula terbentuk di atas kepala mereka.

Setelah mendengar soalan Gongcheng Lei, seluruh tubuh Ning Rui menggeletar. Dia memandang para pelajar yang tergamam di sekelilingnya dan mendapati semua perhatian mereka tertumpu pada lelaki yang menggerunkan itu.

"Lari… cepat lari…" Hanya ini sahaja yang Ning Rui fikirkan. Dia membongkokkan badannya, merendahkan bahunya supaya menjadi sekecil mungkin dan cuba menyelinap lari secara diam-diam.

Namun takdir sudah menetapkan yang dia tidak akan mendapat peluang itu.

"Pak Cik Ning nak ke mana ni?" Susuk tubuh Fan Zhuo yang tinggi lampai itu tiba-tiba berada di laluan Ning Rui. Wajah Fan Zhuo masih berseri-seri dengan senyuman lembutnya seperti biasa. Namun matanya membara dengan keinginan membunuh!

Jantung Ning Rui tersentak dan dia berundur tiga langkah ke belakang akibat ketakutan.

Gongcheng Lei yang berada di belakangnya menyedari mereka sudah tertangkap. Dia cepat-cepat melutut di kaki Fan Zhuo. Wajahnya dipenuhi linangan air mata, "Tuan Muda Kedua, semua ni rancangan Ning Rui. Saya tergoda dengan janji-janjinya dan hanya membantu dia menyembunyikan hal sebenar. Guru Besar telah dibunuh oleh dia dan Gu Ying. Saya tak tahu apa-apa!"

Fan Zhuo langsung tidak memandang Gongcheng Lei. Dia hanya mengangkat kakinya lalu menendang lelaki itu sehingga tergelimpang di atas lantai.

Ayahnya terlalu baik hati dan mudah mempercayai sehinggakan tidak sedar yang dia telah menyimpan anjing yang kejam dan pengecut di sisinya selama ini!

Walaupun wajah Ning Rui kelihatan pucat, sebaik matanya terpandang Fan Zhuo, perasaan gerun di dalam hatinya tiba-tiba lenyap. Dia tahu nasibnya sudah tertulis dan dia tidak akan mampu menyelamatkan diri. Ini membuatkan dia tidak lagi berasa takut. Dia memandang Gongcheng Lei yang terbaring di atas lantai sambil menangis semahu-mahunya. Mulut Ning Rui membentuk senyuman menghina.

"Bodoh. Kamu fikir dengan merayu ni dia akan lepaskan kamu? Kesalahan kamu meracun makanannya sebelum ini tidak akan begitu mudah dilupakan, tahu?"

Ning Rui dengan kejamnya menyatakan hal ini dengan suara yang penuh benci. Ini menyebabkan Gongcheng Lei yang terbaring di atas lantai itu mula menggeletar.

Fan Zhuo tersenyum berseri-seri pada Ning Rui lalu berkat, "Betul cakap Pak Cik Ning. Saya memang tak ada niat nak lepaskan dia."

"Tentulah saya tak akan lepaskan Pak Cik juga." Kemarahan di mata Fan Zhuo semakin membara.

Ning Rui membalas, "Pemenang boleh lakukan apa sahaja. Saya mengaku kalah." Dia telah mempertimbangkan setiap tindakan dan membuat perancangan yang teliti. Tetapi seorang budak tak guna bernama Jun Xie telah merosakkan segala-galanya. Kalau bukan kerana budak kecil itu, Ning Xin pasti sudah berjaya membunuh Fan Jin. Kawalan ke atas Akademi Zephyr pula akan jatuh ke tangannya tanpa dia perlu mendapatkan pertolongan orang luar sehingga mengakibatkan mereka kehilangan harapan seperti situasi sekarang.

Sejak mula lagi, sewaktu Ning Xin mula merancang untuk menggunakan Jun Xie bagi menjatuhkan reputasi Fan Jin, mereka sudah melakukan kesilapan paling teruk. Sudah terlambat untuk mereka mengubah apa-apa.

Setelah tersilap dari langkah pertama lagi, semuanya serba tidak kena selepas itu!

Ning Rui bertanya pada dirinya sendiri berulang kali. Kalau tidak kerana Jun Xie, mungkinkah dia akan berjaya?

Budak kecil yang tidak menonjol itu tiba-tiba muncul di Akademi Zephyr dan menghancurkan sepenuhnya rancangan yang telah dijalankan selama bertahun-tahun di sini. Malah kini dia telah menyebabkan Ning Rui mengalami bencana!