webnovel

Tamparan Keempat (5)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Sebelum Jiang Chen Qing dapat pulih daripada pernyataan Jun Wu Xie yang mengejutkan itu, Teratai Mabuk tiba-tiba muncul di hadapannya. Oleh sebab tulang belakang Jiang Chen Qing telah dipatahkan, dia hanya mampu terkulai sewaktu Teratai Mabuk mengangkatnya. Pakar-pakar yang lain memandang dengan gerun dan hanya mampu mengekot dalam diam. Mereka semakin takut dengan kehandalan Teratai Mabuk. Wajah Jiang Chen Qing semakin pucat, tidak berdaya untuk melawan.

"Kau memusnahkan diri kau sendiri. Kalau kau diam saja tadi, aku berniat mahu bunuh kau yang paling akhir sekali. Tapi kau pula membuatkan tuan aku tak senang hati, bukan? Terimalah saja nasib kau." Teratai Mabuk ketawa mengejek. Jun Wu Xie selalunya dingin dan tidak berperasaan, tak banyak perkara yang boleh menimbulkan kemarahannya.

Tetapi apa sahaja yang melibatkan Keluarga Jun, dengan mudah sahaja akan menyalakan niat membunuh yang terpendam di dalam hatinya.

Si dungu ini pula mengaku secara terang-terangan yang Pemerintah Kumpulan Qing Yun tidak serius dalam merawat Jun Qing sebelum ini.

Mereka biarkan Jun QIng kekal lumpuh selama sepuluh tahun lamanya. Tak mungkin Jun Wu Xie akan berbelas kasihan terhadap mereka walau sedikit sekalipun.

Mereka telah berkali-kali mencederakan Keluarga Jun. Memang mereka layak menerima nasib ini.

"Jangan….." Jiang Chen Qing menggigil ketakutan. Dia hilang segala keangkuhan yang begitu ketara sewaktu dia mula-mula sampai di Kerajaan Qi, dan kini mula merayu untuk menyelamatkan nyawanya.

"Baik aku beritahu kau saja. Pengetahuan dan kemahiran Tuan aku dalam bidang perubatan, jauh melangkaui Pemerintah penipu kesayangan kau tu. Lagipun, Tuan aku sudahpun menyembuhkan kaki Pak Ciknya." Teratai Mabuk seronok melihat ekspresi wajah Jiang Chen Qing yang sering berubah-ubah di antara perasaan takut dan terkejut. Dia boleh sahaja membunuh lelaki ini dengan sekali tumbuk, tetapi itu hukuman ini terlalu ringan. Untuk seseorang yang telah menyebabkan tuannya sakit hati, Teratai Mabuk mahu dia mengalami perasaan gerun dan menjadi semakin lemah kerana hatinya dicengkam ketakutan sebelum dia mati.

Wajah Jiang Chen Qing sudah menjadi pucat lesi. Teratai Mabuk berjaya mencapai apa yang dia mahu lakukan dan tak ada sebab untuk dia berlengah lagi.

Penumbuknya yang berlumuran darah itu diangkat dan dihentam terus ke muka Jiang Chen Qing. Kepala lelaki itu berkecai akibat impak tumbukan itu dan darah, tulang serta cebisan otak menyelubungi Teratai Mabuk. Tidak ada perasaan meluat pada matanya, hanya keganasan yang membara.

Perasaan membunuh ini begitu manis!

Dia melepaskan genggamannya dan badan Jiang Chen Qing yang tidak berkepala itu jatuh ke atas lantai. Teratai Mabuk kemudiannya meluru ke arah sasarannya yang seterusnya.

Jeritan kesakitan bergema di dalam dewan utama itu. Penyerang berkemahiran tinggi yang telah membelasah kuasa Diraja Kerajaan Qi dan memijak-mijak kehormatan Keluarga Jun, kini telah menjadi seperti binatang yang menanti masa untuk disembelih. Menentang penumbuk Teratai Mabuk itu sesuatu yang sia-sia dan hanya menyebabkan kematian yang lebih menyakitkan.

Dia kelihatan seperti seorang pemuda yang menawan dan bergaya, tetapi kaedah pembunuhannya berkali ganda lebih ganas dan kejam berbanding apa yang mereka pernah lihat sebelum ini!

Dalam beberapa ketika sahaja, tubuh badan yang telah patah-riuk, bergelimpangan di sekeliling Teratai Mabuk.

Bau darah menjadi semakin kuat di dalam dewan utama itu dan hampir semua orang daripada Kumpulan Qing Yun sudah dibunuh. Semuanya kecuali Qin Yu Yan yang keseorangan dan Bai Yun Xian yang kelihatan sedang menggigil sambil bersembunyi di satu sudut.

Qin Yu Yan terdiam sambil merenung pemandangan berdarah di dalam dewan utama itu. Matanya menunjukkan perasaan takut dan terkejut.

Jiang Chen Qing sudah mati, pengikut Kumpulan Qing Yun Clan sudah mati, malah pakar handalan yang mereka jemput juga semuanya sudah mati...

Dia mendongak memandang Jun Wu Xie yang berdiri di muka pintu dewan utama itu. Wajah Qin Yu Yan kelihatan pucat. Gadis itulah yang telah mengeluarkan arahan yang membawa kepada segala kejadian yang berlaku di sini hari ini. Jun Wu Xie hanyalah Cik Muda dari Istana Lin Kerajaan Qi yang kecil dan tidak diendahkan. Apa yang boleh dia tawarkan sehingga dapat mengupah sekutu yang kuat untuk menyokongnya?

"Tuan, yang di sana tu….bunuh?" Teratai Mabuk berjalan menuju Jun Wu Xie dan berdiri di hadapan tuannya. Wajahnya berseri-seri dengan perasaan puas hati dan dia menudingkan jarinya yang runcing itu ke arah Qin Yu Yan, yang sedang berdiri di hadapan singgahsana.

Jari yang menunjuk ke arahnya itu menjadikan Qin Yu Yan berasa seram sejuk. Dia berundur ke belakang dengan terhuyung-hayang kerana panik dan jatuh terduduk di atas singgahsana itu.

Terdapat percikan darah di singgahsana yang bergemerlapan itu, hasil daripada kekecohan dan pembunuhan yang telah berlaku. Warna merah darah yang pekat dan warna keemasan yang terang itu menimbulkan satu kontras dan menjadikan singgahsana itu kelihatan menggerunkan.