webnovel

Si Bodoh yang Degil (2)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Itu bukan disebabkan kebolehan dia! Penyakit Tuan Muda pernah muncul kembali sebelum ini. Pernah sekali dulu Tuan Muda kembali sihat tanpa sebarang rawatan! Pasti kali ini pun sama dan kebetulan saja Jun Xie ada di situ! Berapa usia Jun Xie? Mana mungkin dia tahu bagaimana untuk merawat Tuan Muda! Keadaan Tuan Muda kembali sembuh itu tak mungkin ada kena-mengena dengan dia. Jun Xie itu dengan tak malunya mengaku yang semua ini disebabkan dia! Jun Xie memang jahat!" Ah Jing meninggikan suara juga untuk membalas.

Satu bunyi tamparan yang kuat kedengaran di dalam pejabat itu!

Fan Jin yang tak dapat menahan kemarahannya telah menampar muka Ah Jing. Pipi Ah Jing bengkak serta-merta dan dia memegang pipinya yang sakit itu dengan tangannya. Matanya terbeliak, terkejut sambil memandang Fan Jin yang sedang meradang itu.

Fan Qi yang selama ini diam sahaja, mengeluh lalu berkata pada Ah Jing dengan suara yang lembut, "Ah Jing, apa kata kamu beredar dulu. Saya perlu bercakap dengan Fan Jin."

Ah Jing masih lagi memegang pipinya yang terasa pedih. Dia menggigit bibirnya dan keluar dari bilik itu.

Fan Jin memerhatikan Ah Jing berlalu pergi sebelum menghempas tutup pintu pejabat itu. Dia berpusing, kemudian duduk di kerusi sambil mendengus.

"Kamu pun tahu perangai Ah Jing tu. Kenapa kamu ambil serius kata-katanya?" Fan Qi memandang anaknya yang sedang berang itu lalu menggelengkan kepalanya dengan tidak berdaya.

Fan Jin masih lagi berasa kecewa sewaktu dia menjawab, "Saya tak sangka hal ini begitu teruk. Dia tu dah melampau. Saya percayakan Jun Xie. Budak tu tak banyak bercakap, tetapi dia tak pernah sengaja mencari pasal dengan orang lain. Kalau tak kerana Jun Xie sempat bertindak sewaktu penyakit Fan Zhuo muncul kembali dan menstabilkan keadaannya, saya tak berani bayangkan apa yang mungkin terjadi pada Fan Zhuo sekarang. Ah Jing mendengar segala gosip dan khabar angin di akademi dan begitu mudah percayakannya. Dia terus menganggap Jun Xie itu orang yang licik. Ah Jing ni betul-betul naif."

"Ayah tak rasa kamu datang jauh-jauh ni hanya untuk membincangkan hal ini," tiba-tiba Fan Qi berkata pada Fan Jin. Matanya bersinar-sinar.

Fan Jin duduk tegak lalu berdehem sedikit.

"Saya datang jumpa Ayah disebabkan hal Fan Zhuo."

"Macam mana keadaan Fan Zhuo sekarang?" Fan Qi berasa bimbang setelah mendengarkan penyakit Fan Zhuo muncul kembali. Namun kemunculan Fan Jin di pejabatnya ini membuatkan dia berasa lega sedikit.

Kalau Fan Jin tidak berada di sisi Fan Zhuo, ini bermaksud keadaan Fan Zhuo sudah stabil.

"Dia sedang tidur nyenyak. Ini semua hasil usaha Jun Xie. Saya tak sangka dalam usia semuda itu dia ada kemahiran perubatan yang hebat…." Sewaktu topik kemahiran perubatan Jun Xie disebut, wajah Fan Jin berseri-seri. Dia dengan penuh teruja menceritakan kepada ayahnya bagaimana kemahiran Jun Xie yang menakjubkan itu telah menyelamatkan Fan Zhuo.

Fan Qi pada mulanya duduk dengan tenang. Tetapi setelah mendengarkan penjelasan Fan Jin yang berterusan, matanya mula terbeliak dan wajahnya kelihatan kagum.

"Semua yang kamu beritahu ayah ni memang benar?" Fan Qi bertanya dengan perasaan terkejut setelah mendengarkan kata-kata Fan Jin.

Dia amat mengenali personaliti Fan Jin. Walaupun kedua-dua orang adik-beradik itu tidak ada pertalian darah, mereka telah membesar bersama-sama dan hubungan mereka amat rapat. Fan Jin memang sentiasa bersifat pelindung terhadap adiknya yang lemah dan sering sakit itu. Kalau ada sesiapa yang mahu mengapa-apakan Fan Zhuo, Fan Jin yang pertama sekali akan melindungi adiknya.

Sebab itulah Fan Qi benar-benar percaya, segalanya yang Fan Jin ceritakan padanya hari ini memang benar.

"Benar Ayah. Saya datang hari ini untuk meminta kebenaran dari Ayah supaya Jun Xie dapat mengambil alih urusan rawatan Fan Zhuo," kata Fan Jin secara tiba-tiba.

"Itu….." Walau bagaimanapun Fan Qi agak ragu-ragu. Tak kira betapa dia mempercayai anak sulungnya itu, hakikatnya, Jun Xie masih lagi budak yang berusia empat belas tahun. Tak kira kebolehan luar biasa apa sekalipun yang Jun Xie miliki, dia masih budak yang terlalu muda. Bagaimana dia dapat merawat penyakit Fan Zhuo?

"Ayah, kita tak ada pilihan lagi. Kumpulan Qing Yun sudah tidak wujud lagi. Semua tabib dan doktor tidak mampu melakukan apa-apa. Daripada menunggu saja seperti ini, apa kata kita cuba saja?" Fan Jin berkata dengan tegas. "Kalau khabar angin dan gosip yang tersebar ke seluruh akademi ini yang membuatkan Ayah meragui Jun Xie, saya, selaku anak Ayah, sanggup memberi jaminan tentangnya. Tak ada apa-apa yang tak kena dengan personaliti Jun Xie."