webnovel

Seni Pembunuhan (5)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie berazam mahu menentang Maharaja sehingga ke akhirnya. Memandangkan dia sudah bertindak sejauh ini, tiada apa lagi yang perlu dia takutkan.

Dia sudah bersedia untuk meneruskan pembunuhan ini dan akan memusnahkan apa sahaja yang menghalangnya!

Maharaja berpeluh-peluh. Baginda benar-benar telah memandang rendah pada gadis ini. Pada asalnya, Maharaja begitu naif dan memikirkan jika mereka membiarkan masa berlalu dan bertahan sehingga lewat malam, Jun Wu Xie akan berputus asa. Namun begitu, melihatkan situasi sekarang, jika Jun Wu Xie tidak menemui Jun Xian malam ini, dia benar-benar akan membunuh semua pegawai istana yang telah diheretnya ke situ.

Keadaan sangat kritikal sehinggakan jika Maharaja ada membuat persediaan sekalipun, semuanya tidak berguna.

Seumur hidup baginda, belum pernah lagi baginda bertemu seseorang yang bertindak tanpa memikirkan akibatnya seperti ini. Jun Wu Xie juga lawan yang paling ganas dan paling tidak berbelas kasihan yang pernah baginda temui.

Sida-sida yang sudah menerima arahan baru daripada Maharaja, bergegas pergi menghentikan orang suruhan istana daripada mencederakan Jun Xian. Mo Xuan Fei yang terdengar segala-galanya, memandang Maharaja dengan mata terbeliak. Dia tidak pernah menyangka Maharaja akan berundur!

Maharaja yang Mulia ini sebenarnya telah ditekan sehingga ke tahap ini oleh seorang gadis muda. Hal ini sangat sukar dipercayai!

"Bagaimana Ayahanda boleh...?"

"Diam! Anakanda masih belum sedar lagi? Jika Jun Wu Xie tidak menemui Jun Xian sebelum fajar tiba, dia akan mengarahkan seluruh angkatan Tentera Rui Lin untuk merempuh masuk ke dalam Istana! Pada ketika itu, bukan sahaja Anakanda, Ayahanda selaku Maharaja juga akan dibunuh tanpa sebarang keraguan!" Hanya memikirkan situasi ini sahaja cukup menjadikan Maharaja kaku. Jubah baginda sudahpun dibasahi peluh sejuk. Kekejaman gadis ini benar-benar membuatkan Maharaja berasa takut, buat pertama kalinya.

Mo Xuan Fei merenung Maharaja dengan hairan. "Bagaimana perkara itu boleh berlaku? Dia tidak akan berani membunuh semua pegawai itu."

Maharaja mengerutkan kening. "Anakanda rasa, apa yang Jun Wu Xie sedang lakukan sekarang? Dia sedang memberi amaran terhadap Ayahanda dan mengatakan dia boleh membunuh sebegitu ramai pegawai di hadapan Ayahanda, di hadapan khalayak ramai. Tidak ada apa yang dia takutkan. Kalau dia tidak mendapat apa yang dimahukannya, dia tidak kisah untuk bergelut sehingga mati. Kalau kita bunuh Jun Xian, dia pasti akan meluru masuk ke dalam istana bersama-sama Tentera Rui Lin!"

Badan Maharaja menggigil dan bulu roma baginda meremang sewaktu terfikirkan renungan Jun Wu Xie yang dingin.

"Dengan hanya bergantung kepada Pengawal Istana dan Tentera Yu Lin, bagaimana kita boleh menahan serangan bertubi-tubi daripada Tentera Rui Lin? Mereka hanya setia pada Keluarga Jun. Dari segi cara Jun Wu Xie mengendalikan perkara ini pula, walaupun dia sudah bertindak melampau, tetapi di mata rakyat, dia dilihat sebagai wira!"

"Membunuh orang itu bukanlah sesuatu yang menakutkan, sebaliknya akalnya yang tajam itu lebih menggerunkan. Tidak kira berapa ramai yang dibunuhnya, dia berada di pihak yang adil. Anakanda fikir dia tidak boleh mengarahkan Tentera Rui Lin untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai? Jangan pandang rendah padanya hanya kerana dia tidak banyak bercakap. Anakanda tidak akan tercapai tahap pemikirannya dan cara dia bertindak walaupun anakanda mempunyai pengalaman yang luas!" Maharaja benar-benar terkesan dengan keberanian dan sikap menggerunkan yang ditunjukkan oleh Jun Wu Xie.

Seorang gadis yang boleh memikirkan rancangan sebesar ini, seorang gadis yang hanya memerlukan beberapa patah perkataan untuk menyemarakkan hati rakyat, seorang gadis yang hanya perlu memberikan satu arahan untuk membuatkan Tentera Rui Lin patuh padanya…

Bagaimana Maharaja mahu menentangnya?

Kuasa Diraja yang digembar-gemburkan itu tidak bermakna langsung pada Jun Wu Xie.

Baginya, membunuh Maharaja itu ibarat sekadar membunuh binatang. Tak ada bezanya!

Perkara yang membataskan Istana Lin sebelum ini, langsung tidak bermakna padanya.

Kini Maharaja berasa bimbang. Ada seseorang seperti syaitan telah muncul dalam Keluarga Jun. Usah bermimpi untuk menindas mereka lagi di masa hadapan.

Memikirkan perkara itu, Maharaja benar-benar mahu mencekik Mo Xuan Fei! Dia dan Jun Wu Xie kerap bertemu sebelum ini, bagaimana dia tidak tahu yang Jun Wu Xie boleh menjadi begitu berbahaya!

Kalaulah baginda tahu, baginda pasti tidak akan mencari masalah dan akan membiarkan Jun Wu Xie menjadi ahli Keluarga Diraja sewaktu gadis itu masih tergila-gilakan Mo Xuan Fei.

Sekarang semuanya sudah terlambat!