webnovel

Sedikit Kerinduan

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Setelah pulang dari Perburuan Roh, Fan Jin tidak mahu hal-hal yang keji itu mencemarkan telinga adiknya. Sebab itulah dia langsung tidak menyebut tentangnya.

Berkenaan identiti sebenar Jun Wu Xie pula, selain Qiao Chu dan rakan-rakannya, di seluruh Akademi Zephyr ini hanya Fan Jin yang tahu tentangnya.

Cik Muda pasukan penyerang yang paling ganas! Anak gadis dari Keluarga Jun dari Istana Lin!

Fan Zhuo langsung tidak tahu-menahu tentang insiden Ning Xin cuba membuatkan askar-askar Tentera Rui Lin terbunuh di Hutan Roh Pertempuran.

"Ada kaitannya," kata Jun Wu Xie sambil mengangguk kecil.

Fan Zhuo benar-benar percaya, tiga patah perkataan "Tentera Rui Lin" itu membawa maksud yang luar biasa pada Jun Xie.

"Tentera Rui Lin….. Saya pernah dengar tentang mereka sebelum ini. Bukankah mereka itu pasukan tentera dari Kerajaan Qi?" Fan Zhuo tiba-tiba begitu ingin tahu tentang Tentera Rui Lin.

"Ya….. Ya….." Fan Jin menjawab dengan tergagap-gagap. Dia memandang Fan Zhuo dengan resah. Fan Jin benar-benar tidak mahu Fan Zhuo terlibat dalam hal ini. Dia mahu Fan Zhuo pulih dalam keadaan tenang dan menjadi lebih sihat. Fan Zhuo tak perlu dengar tentang rancangan-rancangan jahat ini. Dia tidak perlu ambil tahu tentangnya.

Baru-baru ini kesihatan Fan Zhuo ada menunjukkan peningkatan. Fan Jin tidak mahu sesuatu yang buruk pula berlaku.

Memandangkan Jun Wu Xie dan Fan Zhuo sama-sama bijak, sebaik terlihat riak wajah Fan Jin yang tidak selesa, mereka berdua berhenti bercakap. Selepas itu, mereka tidak lagi menyebut apa-apa tentang Tentera Rui Lin.

Hanya selepas Fan Jin beredar, barulah senyuman lembut di wajah Fan Zhuo menjadi pudar. Dia terus kelihatan ingin tahu.

"Bukankah kamu sepatutnya sudah memberitahu saya apa yang sebenarnya berlaku di Hutan Roh Pertempuran? Tentera Rui Lin itu pasti ada kaitannya dengan kamu, bukan?" Fan Zhuo bertanya pada Jun Xie kerana perasaan ingin tahunya semakin memuncak.

Jun Wu Xie memandang Fan Zhuo kemudian mula berkerut.

Tidak banyak yang perlu diceritakan, tapi tidaklah terlalu sedikit juga. Penjelasannya nanti akan melibatkan banyak hal lain. Kalau dia perlu menjelaskan semuanya….

Jun Wu Xie merasakan hal ini memerlukan usaha yang terlalu banyak.

"Nantilah. Pergilah tanya Qiao Chu." Jun Wu Xie dengan selambanya mencampakkan beban penjelasan yang panjang itu pada Qiao Chu. Sikap Jun Wu Xie ini membuatkan Fan Zhuo terasa seperti mahu menangis.

"Kamu ni memang….tak suka banyak bercakap." Selepas lama meluangkan masa dengan Jun Xie, Fan Zhuo sudah agak faham dengan perwatakannya. Jun Xie bukannya dingin dan angkuh. Sebaliknya, dia sebenarnya tidak mempunyai kemahiran untuk bersosial dengan orang lain.

Di dalam perbualan serta interaksi harian mereka, Jun Xie biasanya akan memberikan jawapan. Tetapi jika dia perlu bercakap panjang lebar untuk memberikan penjelasan, dia biasanya sama ada akan terus menutup mulutnya dan diam, atau mencampakkan tugas itu kepada orang lain.

Jun Wu Xie mengerutkan hidungnya dan bangun untuk berlalu pergi.

Entah mengapa, satu imej wajah yang liar serta kejam tetapi tampan, tiba-tiba muncul di mindanya.

Orang itu sering muncul tanpa diduga dan menghilang secara mengejut. Orang yang sering memaksa Jun Wu Xie untuk membuka mulutnya untuk bercakap. Orang itu sudah agak lama tidak muncul di hadapannya.

Pada mulanya, Jun Wu Xie lebih berat mulut berbanding sekarang. Tetapi orang itu tanpa putus asa dan bersungguh-sungguh, terus mengganggunya. Ini membuatkan Jun Wu Xie sedar tentang emosinya dan belajar meluahkan perasaan. Dengan cara itulah dia perlahan-lahan mula bercakap lebih banyak.

Selepas perpisahan terakhir mereka di Akademi Phoenix, sudah lama dia tidak bertemu dengan lelaki itu.

Begitu banyak hal yang telah berlaku di Akademi Zephyr dan dia tidak banyak terfikirkan tentang lelaki itu.

Entah dari mana, imej lelaki itu muncul di dalam fikirannya.

Satu dorongan mencengkam hatinya sehingga dia berkata dengan lembut, "Ye Sha."

Satu bayang-bayang tiba-tiba meluru masuk melalui tingkap sebelum melutut di hadapan Jun Wu Xie.

"Orang suruhan ini menanti arahan Cik Muda."

Jun Wu Xie tidak mengangkat kepalanya tetapi terus merenung tapak tangannya sendiri. Dengan satu sentakan jari-jemarinya, jarum-jarum perak tiba-tiba muncul pada tangannya.

Sewaktu di Istana Lin dahulu, dia menggunakan jarum-jarum ini untuk menusuk titik akupuntur maut lelaki itu. Pada ketika itu, darah lelaki itu yang hangat telah mengalir pada jarum-jarum ini dan berkumpul pada tapak tangan Jun Wu Xie. Hal itu sudah lama berlaku….. Jun Wu Xie tidak dapat menjelaskannya, tetapi tiba-tiba dia dapat merasakan kehangatan pada jarum-jarum perak ini, sama seperti kehangatan yang dirasainya ketika itu.