webnovel

Saya Perlu Jadi Lebih Kuat (2)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Sekuat mana?" tanya Jun Wu Xie, masih merenung langit malam.

Jun Wu Yao ketawa, "Sekuat mana yang kamu mahukan."

"Cukup kuat untuk membunuh orang-orang itu. Boleh kamu lakukannya?" Jun Wu Xie akhirnya berpusing, matanya berkilau dengan keazaman.

Tiada siapa yang akan faham, bagaimana perasaannya sewaktu terlihat wajah Jun Xian dan Jun Qing yang tidak berdaya dan penuh hiba. Wajah mereka membuatkan hatinya perit.

Kehidupan keluarganya tidak sepatutnya terjejas seperti itu.

Jun Wu Yao mengangkat keningnya. Inilah kali pertama Jun Wu Xie memintanya membunuh seseorang dan dia berasa terkejut. Dia selalu menyangkakan yang gadis ini tidak terlalu berminat dengannya.

"Apa saja yang kamu inginkan, tidak banyak yang boleh menghalang saya." Jun Wu Yao tersenyum.

"Mereka mahukan sesuatu daripada Keluarga Jun. Tapi kalau kita berikan kepada mereka, Datuk dan Pak Cik akan patah hati," kata Jun Wu Xie sambil menggigit bibirnya. Mungkin dia masih tak faham tentang emosi dalam hubungan manusia, tetapi rasa sakit di dalam hatinya jelas dapat dirasai.

Jun Wu Xie tidak tahu kenapa dia memberitahu semua ini kepada Jun Wu Yao.

Lelaki ini seorang yang penuh misteri, berbahaya dan ganas. Tetapi entah kenapa, dia merasakan kalau dia membuat permintaan, lelaki ini akan menunaikannya.

Kepercayaan tidak berbelah bahagi ini membuatkan dia keliru.

"Kalau kamu tak mahu beri pada mereka, simpan sahaja." Jun Wu Yao dapat melihat Jun Wu Xie yang berbeza pada malam ini. Mata gadis itu kelihatan keliru dan pelbagai perasaan bercampur-baur dalam dirinya. Seolah-olah dia sedang berfikir dan belajar, pada masa yang sama.

"Pihak satu lagi itu terlalu kuat, lebih kuat daripada Istana Lin. Kalau kita enggan, mereka akan menyerang Istana Lin." Jun Wu Xie yakin yang Istana Lin ini langsung tidak bermakna pada Kumpulan Qing Yun. Malah, bukan Istana Lin saja. Mereka memandang rendah pada seluruh Kerajaan Qi.

Ini jelas kelihatan daripada cara Jiang Chen Qing melayan Mo Qian Yuan, Maharaja Kerajaan Qi.

Bangkit memberontak atau hidup dalam ketakutan?

"Jadi bunuh saja mereka semua." Bunyi ketawa Jun Wu Yao kedengaran kejam, seolah-olah membunuh orang itu tidak bermakna.

"Kamu berfikir sama ada ingin menahan kesakitan supaya dapat mengelakkan balasan berat yang akan datang?" Jun Wu Yao bertanya apabila Jun Wu Xie diam sahaja.

Jun Wu Xie teragak-agak sebelum mengangguk sedikit.

Tindakan yang diambilnya ke atas mantan Maharaja dan Putera Kedua dibuat kerana dia yakin dia boleh menyingkirkan kejahatan secara menyeluruh, tanpa perlu memikirkan akibatnya. Tetapi kekuatan Kumpulan Qing Yun membuatkan dia kurang yakin.

Tidak susah mahu membunuh ahli delegasi kumpulan itu yang berada di Bandar Diraja, tetapi akibat daripada tindakan ini mustahil boleh ditangani.

Jun Wu Yao menuju Jun Wu Xie dan berdiri di sisi gadis itu. Dia mengangkat tangannya, memegang bahu Jun Wu Xie dan memusingkan gadis itu menghadapnya, merenung tepat pada mata gadis itu yang berkaca.

"Menyerah kalah itu pilihan orang yang lemah. Kamu berserah selangkah dan nanti akan terbiasa melakukannya. Kamu langsung tak mahu menyerah kalah, bukan?"

"Betul." Jun Wu Xie mengangguk. Keluarga Jun sudah menghadapi terlalu banyak kesusahan sepanjang sepuluh tahun ini dan dia tidak sanggup membiarkan datuk dan pak ciknya hidup tertindas lagi. Menyerahkan Jed Roh mungkin akan membolehkan mereka hidup tenang seketika, tetapi keyakinan yang Keluarga Jun perolehi dalam kalangan rakyat selepas bersusah-payah dalam pertukaran rejim akan sia-sia sahaja. Mereka akan kembali dipandang negatif.

"Jadi jangan berserah. Saya terhutang budi dengan kamu. Jadi….gunakanlah saya sekuka hati kamu." Jun Wu Yao tersenyum lebar, tunduk, memegang tangan gadis itu lalu menciumnya.

"Saya boleh jadi pedang yang kamu acukan dan menjadi perisai menentang musuh kamu. Kamu boleh pilih cara mana kamu mahu gunakan saya."

Jun Wu Xie merenung lelaki itu, "Kenapa?" Mereka tidak lagi terhutang budi di antara satu sama lain. Kenapa lelaki ini sanggup menolongnya sehingga ke tahap itu?