webnovel

Saya Ada di Sini Sekarang (1)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Di kawasan bukit di belakang Akademi Phoenix itu terdapat satu kubur baru yang tidak bertanda. Tidak ada mayat yang tertanam di dalamnya, cuma satu timbunan tulang ular yang sudah patah.

Rong Ruo membawa Jun Wu Xie ke hadapan kubur tidak bertanda itu. Jun Wu Xie berdiri merenung batu nisan di situ yang kosong tidak bertulis. Matanya tidak menunjukkan sebarang perasaan.

Sejak kelahiran semulanya, tangannya sudah dikotori darah. Demi melindungi kesucian Keluarga Jun dan memastikan Istana Lin dapat berdiri megah di dalam Kerajaan Qi, dia terpaksa membunuh ramai orang.

Dia tidak membunuh lelaki berjubah hitam ini, tetapi dia yang menyebabkan lelaki tersebut mati.

Namun dia tak dapat memberikan lelaki itu pengebumian yang sebaiknya kerana badan lelaki itu sudah meletup menjadi cebisan. Di dalam kubur ini hanya ada timbunan tulang ular.

Jun Wu Xie terhutang nyawa dengan lelaki itu. Walaupun lelaki itu melakukannya disebabkan arahan Jun Wu Yao, Jun Wu Xie tetap berasa bertanggungjawab di atas kematian lelaki berkenaan.

Demi melindungi Jun Wu Xie, dia telah mengorbankan nyawanya.

Inikah yang dinamakan kesetiaan?

Lama Jun Wu Xie berdiri di hadapan kubur itu. Angin bukit yang bertiup, membelai rambutnya yang panjang dan hitam. Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan memandang hujan renyai yang mula membasahi tubuhnya.

Tubuh badannya menjadi sejuk, tetapi masih tidak dapat dibandingkan dengan apa yang dirasai di dalam hatinya.

"Mari balik dulu." Rong Ruo memandang Jun Xie dengan simpati. Jun Xie masih terlalu lemah dan kini basah kuyup pula akibat hujan. Tubuh badannya yang kecil ini mungkin tak dapat bertahan dengan keadaan ini.

Jun Wu Xie tidak menjawab dan hanya terus merenung langit. Rintik-rintik hujan membasahi mukanya, mengalir masuk ke dalam matanya. Air hujan yang sejuk itu agak menyegarkan, tetapi dia sudah merasakan kedinginan sehingga ke tulang.

"Kalau Abang tak jaga kamu, berapa banyak lagi kamu nak seksa diri sendiri?" Kedengaran satu suara yang dalam dan penuh misteri.

Badan Jun Wu Xie menjadi kaku. Sebelum dia dapat berpaling, dia sudah berada dalam satu pelukan yang hangat dan amat dikenalinya.

Rong Ruo merenung lelaki yang tiba-tiba turun dari langit itu dengan perasaan terkejut. Sama seperti dewa yang turun ke bumi, tidak berbunyi tetapi tidak dapat disangkal. Dia dapat merasakan aura lelaki itu yang amat menekan dan membuatkan hatinya berasa gerun. Rong Ruo mendapati yang dia tidak dapat mendekati mereka.

"Sayang, hati Abang perit melihat keadaan kamu begini." Suara yang amat dikenalinya ini kedengaran dari belakangnya dan Jun Wu Xie hanya menggumam perlahan, "Abang?"

Lelaki itu memusingkan susuk tubuh Jun Wu Xie yang kecil itu untuk menghadapnya. Wajah Jun Wu Yao yang tampan dan sempurna muncul di mata Jun Wu Xie.

Hujan renyai-renyai itu membasahi rambut Jun Wu Yao yang hitam pekat, sebelum mengalir turun ke wajah tampan yang tidak tercela itu. Air hujan itu membasahi seluruh penampilannya yang menawan.

"Sayang, tak ada apa yang kamu perlu takutkan. Abang ada di sini sekarang." Dia memeluk Jun Wu Xie dengan erat dan memujuk gadis itu dengan suara yang lembut.

Beberapa bulan sahaja berjauhan hampir menjadi perpisahan abadi. Mata Jun Wu Yao memandang Jun Wu Xie dengan lembut. Tersembunyi di sebalik pandangan mata itu ialah kemarahan tidak terbendung dan niat membunuh.

Tidak kira siapa pun yang berani mencederakan gadis kesayangannya ini, mereka perlu bersedia menghadapi amarahnya yang tidak dapat dibayangkan.

Mungkin kerana terlalu letih atau mungkin juga disebabkan kecederaan serius yang dialaminya, tanpa berkata apa-apa, Jun Wu Xie tiba-tiba pengsan di dalam pelukan Jun Wu Yao.

Jun Wu Yao mendukung Jun Wu Xie dan udara di sekelilingnya tiba-tiba berpusar membentuk satu bulatan sempurna. Aliran udara yang berpusar ini menyejatkan air daripada dua susuk tubuh di dalamnya dan rintik-rintik hujan itu juga tidak dapat masuk ke dalam bulatan itu. Bulatan magik ini menghalang Jun Wu Xie daripada kesejukan.

Jun Wu Yao merangkul Jun Wu Xie dalam dakapannya dan melayang terbang ke Akademi Phoenix.

Rong Ruo berdiri dengan kelu di dalam hujan, sambil merenung susuk tubuh yang berlalu pergi dari situ semakin mengecil di kejauhan. Dia hanya kembali sedar beberapa ketika kemudian, setelah susuk tubuh berkenaan hilang dari pandangan.

"Lelaki itu….. Dia dari Alam Pertengahan ke?"

Menyedari kemungkinan ini, Rong Ruo tiba-tiba cemas dan penampilannya yang lembut terus hilang dari wajahnya pada ketika itu. Dia bergegas kembali ke Akademi Phoenix.

Sambil duduk bermalas-malasan di sisi kolam, terlindung dari hujan dan menikmati wain, lelaki berjanggut itu tiba-tiba terkejut apabila dapat mengesan satu kuasa yang amat kuat sedang menghampiri kawasan itu dengan pantas. Matanya yang malas dan bersahaja itu tiba-tiba menjadi tegas serta tajam!