webnovel

"Adakah kesan goresan ini ditinggalkan oleh pemilik rumah batu ini?" Jun Wu Xie bertanya pada dirinya sendiri sambil tunduk termenung. Dia terus memeriksa bongkah-bongkah batu lain yang dapat dicapai daripada posisinya. Jun Wu Xie meraba-raba beberapa bongkah batu dan mendapati semuanya ditandakan dengan kesan goresan yang sama. Lima goresan bagi setiap kumpulan, memenuhi kebanyakan bongkah batu di sekelilingnya.

"Hitam Kecil," seru Jun Wu Xie dengan tiba-tiba.

Binatang hitam itu terus berdiri.

"Pergi tengok kalau ada kesan goresan pada bongkah-bongkah batu lain." Berdasarkan kesan goresan tersebut, Jun Wu Xie meneka bahawa pemilik rumah batu ini telah menggunakan kesan-kesan tersebut untuk merekodkan masa. Kalau kesan itu telah digoreskan mengikut bilangan hari, maksudnya orang tersebut sudah tinggal di sini selama beberapa tahun!

Nampaknya pemilik rumah batu ini tinggal sendirian. Kalau tidak, dia tak akan menggoreskan begitu banyak kesan.

Adakah orang itu terperangkap di sini? Atau mungkin dia ada matlamat lain?

Setelah beberapa lama masa berlalu, Jun Wu Xie masih tidak dapat lagi meneka sebab yang tepat berdasarkan petunjuk yang dia dapati.

Binatang hitam itu bergerak di sekeliling bilik tersebut, menyapu-nyapu debu dari atas batu-batu itu menggunakan ekornya. Binatang hitam itu merenung setiap bongkah batu dengan teliti sebelum berpaling pada Jun Wu Xie dan berkata, "Ada simbol-simbol yang pelik dan beberapa perkataan."

"Perkataan?" tanya Jun Wu Xie sambil mengangkat keningnya.

"Mmm." Binatang hitam itu mengangguk.

Kemudian Jun Wu Xie berkata, "Bacalah."

Dia begitu ingin tahu apa yang ditinggalkan oleh pemilik rumah batu ini.

Binatang hitam itu berdeham dan perlahan-lahan membaca perkataan yang tertulis pada bongkah-bongkah batu itu.

Perkataan-perkataan itu tidak boleh dianggap sebagai amanat terakhir pemilik rumah batu ini, sebaliknya lebih merupakan rekod memori kehidupannya sebelum dia mati.

[Sudah tujuh tahun berlalu… dan saya masih belum lagi menemui jalan keluar. Raksasa-raksasa yang menggerunkan itu sering muncul tiba-tiba. Saya mahu tinggalkan tempat yang keji ini tapi saya tak tahu caranya. Adakah saya memang ditakdirkan untuk mati di sini?]

[Saya tak pernah terfikir yang sisa hidup saya akan dihabiskan di tempat sebegini. Tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa, tandus dan gersang, di dasar satu cenuram yang berbahaya. Hati manusia memang tak pernah puas. Kalaulah saya tak begitu menginginkan kuasa yang lebih kuat dan hebat pada ketika itu lalu bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka, pasti saya masih berada di istana. Saya akan dapat memakai jubah-jubah broked, makan hidangan yang jarang ditemui, bermesra dengan wanita-wanita yang cantik serta menikmati wain yang berkualiti.]

[Roh ungu.. haha… Kalau saya tahu bagaimana untuk meningkatkan kuasa sehingga mencapai tahap roh ungu dalam sekelip mata pun apa gunanya? Roh ungu yang kuat ini pun sudah terperangkap seperti tikus di neraka yang keji ini! Saya terlalu naif. Sangkaan saya, selagi kedua-dua pihak memperoleh manfaat, mereka tak akan mengapa-apakan saya. Tapi saya silap. Di mata mereka, pemerintah sesebuah negara juga bukan siapa-siapa. Mereka langsung tak peduli tentang negara saya dan bala tentera saya…]

[Saya tak fikir saya dapat bertahan lagi. Tak ada air, tak ada makanan… Saya kini hidup dengan bergantung sepenuhnya pada kuasa rohani, lumut hijau dan embun.... Daripada berterusan hidup begini, saya lebih rela mati. Saya berusaha sedaya mungkin untuk mencapai roh ungu dan itu pun masih tidak mampu menyelamatkan saya daripada situasi ini. Akhirnya saya faham mengapa mereka tak berani datang sendiri ke sini walaupun mereka semua teramat kuat. Sebabnya tempat ini umpama neraka! Roh ungu… roh ungu… itu cuma hasil daripada pembakaran kuasa rohani. Saya sebenarnya telah mengorbankan segala-galanya demi sesuatu seperti ini. Sememangnya saya inilah orang paling bodoh dalam dunia.]

[Saya akan gunakan seluruh sisa-sisa kuasa saya untuk mencipta api yang marak untuk memusnahkan segala-galanya. Semoga nenek moyang saya akan mengampunkan ketamakan saya dan kurniakan pengampunan selepas kematian saya.]