webnovel

Ribut Bergelora (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Di sebalik kegelapan, pengawal-pengawal Istana Lin dari Tentera Rui Lin mengesan kewujudan pergerakan aneh. Mereka keluar dari persembunyian untuk menyambut tetamu-tetamu tidak diundang itu.

"Kalau kamu mahu ke sini untuk berjumpa dengan Tuan, sila datang semula pagi esok. Istana Lin tidak menerima kedatangan tetamu pada waktu malam." Pak Cik Fu yang sudah beruban itu berdiri sambil meletakkan tangannya di belakang. Matanya merenung tajam ke arah kumpulan pembunuh yang bersembunyi di sebalik bayang. Di belakangnya, lima belas susuk tubuh yang tegap menghalang satu-satunya jalan masuk ke halaman belakang.

"Kami bukan datang melawat. Kami diarahkan untuk menghantar semua penghuni Istana Lin ke neraka!" kata salah seorang daripada pembunuh itu sambil ketawa menggila.

Mata Pak Cik Fu bersinar. Senyumannya yang ramah terus lenyap dan digantikan dengan gerak hati seorang pembunuh.

"Jadi saya tidak akan berlaku sopan! Penceroboh Istana Lin hanya menempah...maut!"

Dalam sekelip mata, Pak Cik Fu dan lima belas orang anggota Tentera Rui Lin meluru ke arah kumpulan bayang-bayang itu. Baju pengawal Istana Lin yang berwarna cerah memberikan kontras pada bayang-bayang yang menyerang.

Pertembungan ini memecah kesunyian malam yang kini dipenuhi bau darah dan kematian.

Dua kumpulan bayang-bayang itu menyusup masuk ke Istana Lin dari arah belakang sewaktu pertempuran berlaku di halaman hadapan. Mereka membunuh pengawal-pengawal yang berada di kawasan belakang Istana Lin. Mereka melangkah masuk dengan pedang yang masih berlumuran darah.

Haruman herba yang manis masih dapat dihidu di halaman belakang. Keadaan di situ sunyi sepi. Air di dalam kolam teratai itu menjadi beriak-riak disebabkan tiupan angin malam yang dingin.

Satu kumpulan bayang-bayang memunculkan diri dan memusnahkan keindahan malam. Darah segar menitik-nitik dari pedang yang mereka pegang dan meninggalkan jejak berwarna merah di atas tanah.

"Ish..ish… Tak elok kamu mengganggu Wu Xie berehat." Tiba-tiba terdengar satu suara yang menawan, memecah kesunyian di situ. Kumpulan bayang-bayang itu terkejut, lalu berpusing untuk menghadap pemilik suara itu.

Satu susuk tubuh yang kurus dan tinggi melangkah keluar perlahan-lahan sambil disinari cahaya bulan. Lelaki itu mempunyai senyuman yang nakal, tetapi matanya memancarkan aura yang menggerunkan.

Jun Wu Yao memandang kumpulan pembunuh itu dengan bersahaja. Sebaik terlihat pedang-pedang yang sedang menitikkan darah ke tanah, matanya bersinar dengan warna ungu.

"Mengotorkan halaman Jun Wu Xie ialah satu kesalahan. Kesalahan ini perlu dibayar dengan...nyawa kamu." Senyuman Jun Wu Yao semakin lebar. Namun senyumannya ini amat mengerikan.

Di bawah cahaya bulan, kumpulan bayang-bayang itu dapat melihat lelaki ini dengan jelas. Renungan dari mata berwarna ungu itu tajam seperti pedang dan menusuk ke jantung mereka

"Ha..hantu!"

"Biadap!" Jun Wu Yao menggelengkan kepalanya. "Aku ni kau anggap sekadar hantu saja?"

Mata ungu itu bersinar dan pergerakan Jun Wu Yao menjadi terlalu tangkas sehingga kelihatan kabur.

Sekelip mata sahaja, halaman itu kembali sunyi. Darah merah turun seperti hujan, membasahi tanah.

Pada ketika itu, Jun Wu Xie membuka pintunya. Dia masih lagi mamai selepas terjaga dari tidur.

Di bawah hujan darah itu, seorang lelaki yang elegan berdiri tegak. Wajahnya yang menawan mendongak ke atas dan menjadi merah dibasahi hujan darah.

Dia sedang ketawa terhibur. Matanya menngerling ke arah Jun Wu Xie dan kemudian dia tersenyum.

Matanya menunjukkan kemusnahan tanpa belas. Hilai tawanya menggila dan meremangkan bulu roma sesiapa yang mendengarnya. Jun Wu Xie tak mungkin dapat melupakan apa yang dilihatnya ini.

Sangat cantik dan menawan tetapi pada masa yang sama, amat menggerunkan.