webnovel

Pengekor Kecil di Sebalik Bayang (7)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie langsung tidak pernah terfikir tentang hakikat yang Teratai Salji akan memberikan kesan seperti ini.

Qiao Chu dan yang lain tidak faham kata-kata kambing biri-biri dungu itu dan mereka juga tidak tahu apa yang kucing hitam itu telah katakan. Jadi mereka hanya merenung kosong pada Jun Wu Xie, menunggu penjelasannya.

Jun Wu Xie tidak ada pilihan selain menjelaskan dengan ringkas apa yang kambing biri-biri dungu itu katakan.

"Jadi maksudnya, sewaktu bertempur dengan kita sebelum ini dan ia tiba-tiba lari, itu semuanya disebabkan oleh Jun Wu Xie?" tanya Qiao Chu sambil menggosok-gosok dagunya. Ketika itu dia tertanya-tanya kenapa Binatang Roh Gred Penjaga yang kuat seperti itu akan berundur dengan begitu pantas.

Kambing biri-biri dungu itu memiliki kesedaran yang tinggi dan memahami apa yang Qiao Chu katakan. Ia menundukkan kepala dengan malu, salah satu kaki depannya menguis-nguis rumput di atas tanah.

[Sebenarnya ketika itu saya lari kerana takut sakit….]

[Tapi itu akan kekal rahsia. Walau apa sekalipun, saya tak akan beritahu mereka!]

[Humph!]

[Langsung tak akan beritahu!]

"Embek~ Embek~" Kambing biri-biri itu mengangkat kepalanya dan memandang Jun Wu Xie. Matanya kelihatan penuh keazaman.

[Saya nak ikut kamu mulai saat ini!]

Mulut kucing hitam kecil itu menggerenyet sedikit, cuba sebaik mungkin menterjemahkan kata-kata kambing biri-biri dungu itu kepada Jun Wu Xie. 

Jun Wu Xie diam sahaja, tetapi dia juga tidak memilih untuk terus menolak. Dia merenung kambing biri-biri dungu itu, seolah-olah memikirkan sama ada mahu menerima permintaannya atau tidak.

Kambing biri-biri dungu itu mengelip-ngelipkan matanya dengan comel. Tiba-tiba si kecil ini teringatkan sesuatu. Binatang kecil ini merebahkan badannya yang bulat itu ke tanah. Kemudian ia terus bergelut dan menendang-nendang sehingga akhirnya berjaya baring terlentang, mendedahkan bahagian perutnya yang gebu berbulu sambil menegakkan keempat-empat kakinya ke sisi luar.

Posisi kambing biri-biri itu kelihatan sungguh kelakar sehinggakan Qiao Chu terus ketawa besar sambil memegang perutnya.

"Apa ni!? Binatang Roh Gred Penjaga pula tu! Ha ha ha….. Kelakar betul…" Qiao Chu menyapu air matanya yang mengalir.

Kambing biri-biri dungu itu tidak mempedulikan Qiao Chu dan kekal dalam posisinya, langsung tidak bergerak walau seinci.

[Humph! Manusia bodoh! Kepandaian saya ni tak akan difahami oleh manusia biasa macam lelaki di sana tu!]

Jun Wu Xie tiba-tiba mencangkung dan menghulurkan tangannya dan menggosok-gosok perut kambing biri-biri dungu itu. Sentuhan yang lembut dan gebu di hujung jarinya itu membuatkan Jun Wu Xie terus memejamkan matanya dengan penuh kepuasan!

"Kamu boleh ikut saya, tapi kamu mesti ikut semua arahan saya," kata Jun Wu Xie sambil dia terus menggosok-gosok perut kambing biri-biri dungu itu.

"Embek~"

[Memang kebijaksanaan saya ni tiada tandingan!! Embek~!]

Kambing biri-biri dungu yang tidaklah begitu dungu itu teringat yang Jun Wu Xie amat berminat dengan bulunya sewaktu gadis itu memegangnya sebelum ini. Sebab itulah kambing biri-biri ini terfikirkan idea genius untuk mengorbankan kehormatannya demi memenangi penerimaan Jun Wu Xie.

Selepas sekali dapat merasa rumput yang dipenuhi khasiat intipati Teratai Salji, kambing biri-biri ini tidak dapat melupakan rasa yang manis itu dan tidak mahu lagi makan rumput biasa. Kalau ia tak dapat mengikut Jun Wu Xie, pasti ia akan tinggal tulang sahaja kerana tidak dapat merasai kelazatan yang tidak dapat dilupakan ini!

"Nama," tanya Jun Wu Xie.

"Embek~ Embek~"

Kucing hitam itu tidak perlu menjadi penterjemah kali ini.

"Embek Embek?" tanya Jun Wu Xie sambil mengangkat keningnya.

"Embek! Embek!"

[Tuan Embek Embek!]

Kucing hitam kecil itu menterjemahkannya sambil menahan ketawa.

"Tuan Embek Embek?"

"Embek~"

Qiao Chu dan yang lain merenung tanpa berkata apa-apa, memerhatikan perbualan di antara manusia dan kambing biri-biri. Kucing hitam kecil itu mencelah perbualan ini sekali-sekala dengan ngiauannya. Semua orang yang sedang memerhatikan mereka, berasa amat bingung.

Selepas menentukan syarat-syarat dengan Tuan Embek Embek, Jun Wu Xie tidak lagi menghalang kambing biri-biri itu daripada mengekori mereka. Selepas mengakui Jun Wu Xie sebagai "pemberi makan", Tuan Embek Embek melompat-lompat kegembiraan sambil mengunyah rumput-rumput di sekeliling kaki Jun Wu Xie. Kepuasan yang terpancar menunjukkan betapa gembiranya dengan makanannya tadi.

"Kamu benar-benar mahu membelanya?" Qiao Chu masih lagi tidak dapat menerima perkembangan terbaru ini. Orang lain datang ke Hutan Roh Pertempuran untuk memburu Binatang Roh dan mendapatkan batu roh. Jun Wu Xie jauh melangkaui orang lain dalam aspek ini. Selain membunuh Binatang Roh, dia membawa satu Binatang Roh balik bersamanya!! Binatang Roh Gred Penjaga pula tu!

Tuah jenis apakah ini?

"Mmm." Jun Wu Xie mengangguk. Kerisauan mengenai jangka hayat si kecil itu sudah diselesaikan, jadi dia amat gembira dapat membela binatang yang comel ini.