webnovel

Awal pagi esoknya, tanpa menunggu sesi pertemuan pagi di istana, Kumpulan Qing Yun merempuh masuk ke dalam dewan utama Istana Diraja.

Mo Qian Yuan baru sahaja duduk di singgahsana dan menghadap para pegawai dan jeneral apabila kehadiran Kumpulan Qing Yun menakutkan mereka semua sehingga mereka berundur keluar dari dewan utama itu. Wajah Mo Qian Yuan menjadi gelap.

"Di mana Jed Roh?" Jiang Chen Qing tidak sedar yang kehadiran mereka ini telah memijak-mijak kedudukan Mo Qian Yuan sebagai Maharaja sehingga menjadi debu. Mereka meluru masuk tanpa sebarang pengumuman, menyebabkan para pegawai dan jeneral bergegas keluar, dan berdiri di tengah-tengah dewan sambil mendesak Maharaja.

Mungkin Jiang Cheng Qing sedar, tetapi dia tidak peduli untuk beramah mesra dengan pemerintah sebuah kerajaan yang kecil seperti ini.

Mo Qian Yuan menahan perasaan tidak puas hati yang membuak-buak dalam dirinya dan berkata sambil tersenyum, "Awal kamu datang. Seseorang tolong bawakan kerusi untuk tetamu kehormat Beta ini."

Sekumpulan sida-sida membawakan kerusi dan delegasi Kumpulan Qing Yun ini terus duduk.

"Kita ketepikan tindakan bodoh Yun Xian buat seketika. Tetapi saya mahu katakan lagi yang perjanjian di antara mantan Maharaja dan Kumpulan Qing Yun masih kekal. Kami tidak berniat untuk menimbulkan kekacauan di Kerajaan Qi tetapi kami mohon Tuanku serahkan Jed Roh kepada kami supaya kami boleh menyelesaikan misi kami dan pulang ke Kumpulan Qing Yun." Jiang Chen Qing menyatakan dengan terus-terang. Dia mungkin menggunakan kata-kata yang sopan, tetapi nada suaranya dan perilakunya langsung tidak menunjukkan tanda-tanda merendah diri.

Mo Qian Yuan yang baik hati sekalipun menjadi marah, tetapi memikirkan kekuatan Kumpulan Qing Yun, dia menahan sahaja kemarahannya dan kekal tenang.

Pada ketika itu dia membenci dirinya sendiri kerana tidak bersetuju dengan cadangan Jun Wu Xie untuk membunuh sahaja penjahat yang sombong ini, sebaliknya terpaksa melihat mereka bermegah-megah di sini.

"Ahh, kamu datang ke mari sebab hal itu. Beta memang sudah bersetuju semalam dan tentulah Beta sudah menghantar orang-orang Beta untuk mendapatkan kembali Jed Roh itu sepanjang malam semalam. Tetapi mereka menghadapi masalah." Mo Qian Yuan memikirkan skrip ucapannya malam tadi, demi menguruskan hal ini.

"Masalah? Masalah apa?" Wajah Jiang Chen Qing terus menjadi marah.

Kalau Bai Yun Xian tidak menghantar mesej yang tidak masuk akal itu, mereka tidak akan menggerakkan angkatan sehebat ini.

Sebagai Tuan Tua dalam Kumpulan Qing Yun, Kerajaan Qi yang kecil ini tidak layak mendapat perhatiannya. Setelah dipaksa datang ke sini, dia hanya mahu pergi secepat mungkin.

"Jed Roh itu memang berada dalam kerajaan ini, dan seperti yang kamu tahu, bapa pengasas kerajaan kami mematahkan jed itu menjadi dua dan mengurniakan separuh kepada Jun Xian daripada Istana Lin. Separuh lagi disimpan di Istana Diraja. Sepuluh tahun lalu, anak sulung Jun Xian terbunuh di dalam peperangan dan Jun Xian yang bersedih telah mengebumikan jed miliknya itu bersama-sama anaknya, Jun Gu. Separuh lagi pula telah dikebumikan bersama-sama mantan Maharaja di dalam Makam Diraja setelah Baginda mangkat akibat gering…" Mo Qian Yuan menceritakan dengan tenang. Mantan Maharaja itu masih lagi dikurung di dalam penjara bawah tanah tetapi kemangkatan baginda telah diumumkan kepada rakyat. Makam mantan Maharaja itu palsu dan yang dikebumikan di situ ialah mayat seorang banduan.

Fakta ini cuma diketahui oleh dua orang, Mo Qian Yuan dan Jun Wu Xie.

Sementara Mo Qian Yuan memberikan ucapan yang telah disediakannya ini, matanya beralih memandang Qin Yu Yan. Dia tidak mengharapkan apa-apa perubahan pada Jiang Chen Qing yang sombong itu, tetapi dia menaruh sedikit harapan pada Cik Sulung yang terpelajar dan beradab ini untuk menghormati kesucian ketenangan abadi si mati dan melupakan misi mereka.

Walau bagaimanapun, sebaik Mo Qian Yuan selesai bercakap, wajah Jiang Chen Qing berubah menjadi marah. Dia berdiri merenung Mo Qian Yuan dan berkata, "Merepek! Macam mana kamu boleh kebumikan Jed Roh? Dungu betul! Ambil semula kedua-dua kepingan Jed Roh itu sekarang! Saya tak peduli kalau kamu perlu menggali kubur atau membuka makan. Kali ini saya mahu Jed Roh diserahkan pada tangan saya!"

Tanpa memberikan ruang perbincangan, desakan pertama Jiang Chen Qing ialah menyuruh Mo Qian Yuan dan Keluarga Jun mencemarkan kubur-kubur itu!