webnovel

Melarikan Diri dari Cenuram Penghujung Syurga (6)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Qiao Chu dan yang lain tidak begitu bertuah. Mereka telah berkumpul kembali seorang demi seorang dan hanya mampu menggunakan eliksir untuk menstabilkan kecederaan. Mereka mengheret badan yang kelesuan untuk meneruskan pencarian. Sepatutnya sudah lama mereka rebah namun tetap juga nekad untuk terus bergerak. Hanya kebimbangan terhadap rakan sekumpulan yang hilang itulah yang menjadi pendorong semangat.

Jun Wu Xie memeriksa keadaan ahli kumpulannya tanpa sepatah kata. Dia berasa lega setelah mengetahui mereka tidak mengalami kecederaan yang terlalu serius dan akan pulih sepenuhnya setelah berehat.

"Kita tak boleh terus berada di sini. Kita perlu kembali," kata Fan Zhuo. Dia merenung tangannya yang baru dibalut oleh Jun Wu Xie.

Melalui penjelajahan ini, mereka kini jelas faham tentang bahaya yang memenuhi seluruh kawasan Cenuram Penghujung Syurga. Mereka sedar tanpa memiliki peta yang lengkap, hampir mustahil untuk mencari lokasi makam Maharaja Kegelapan di sebalik kabus yang membataskan pandangan ini.

Sewaktu ibu bapa mereka menemui makam Maharaja Kegelapan dahulu, mereka tidak datang bersendirian ke Cenuram Penghujung Syurga. Sebaliknya mereka telah datang bersama teman-teman lain. Ada lapan orang daripada tujuh istana berbeza dan mereka membentuk sejumlah tujuh buah kumpulan. Tetapi akhirnya, orang yang dapat menemui lokasi makam itu hanyalah sejumlah lapan orang sahaja.

Memandangkan mereka dipilih oleh Dua Belas Istana untuk menyertai pencarian ini, tidak syak lagi bahawa mereka itu dianggap sebagai pakar pertempuran terhebat. Malah ketika Istana Dua Belas menghantar orang-orang terbaiknya, majoriti daripada mereka tidak mampu kekal hidup. Selain lapan orang dari tujuh istana berbeza itu yang berjaya tiba di makan tersebut, sejumlah lima buah pasukan lain dari istana-istana tersebut semuanya sudah menjadi korban.

Qiao Chu dan yang lain dianggap sangat kuat di Alam Bawahan. Namun ketika berhadapan dengan perangkap yang dipasang oleh Rejim Kegelapan, mereka tiba-tiba merasakan kekuatan mereka langsung tidak bermakna.

Jun Wu Xie mengangguk. 

Mereka sudah mencapai matlamat mereka datang ke situ iaitu memahami tentang Cenuram Penghujung Syurga dengan lebih lanjut lagi. Mereka tahu yang sekarang ini mustahil mereka dapat mencari lokasi destinasi terakhir dan mereka tidak berniat untuk terus berlengah.

Fan Zhuo dan yang lain menenangkan hati masing-masing lalu merehatkan badan. Mereka sudah bersedia untuk meninggalkan Cenuram Penghujung Syurga.

Ahli-ahli kumpulan ini berehat selama tiga hari di dalam rumah batu itu. Mereka kemudiannya menghabiskan bekalan makanan dan minuman yang terakhir sebagai langkah persediaan untuk meninggalkan neraka ini.

Jun Wu Xie membawa Tuan Embek Embek dalam dakapannya. Dia yang terakhir sekali melangkah keluar. Jun Wu Xie berpaling memandang rumah batu usang itu. Senyap-senyap dia menyerahkan Tuan Embek Embek kepada Ye Sha sebelum sekali lagi berdiri setentang dengan rumah batu yang telah banyak berjasa padanya.

Qiao Chu dan yang lain merenung Jun Wu Xie dengan keliru sewaktu terlihat sebentuk cincin perak telah muncul di tangannya. Jun Wu Xie tunduk memandang cincin lama yang sudah tidak digunakan lagi itu.

Cincin itu telah ditemui di satu sudut di bahagian dinding dan dianggap sebagai pemilik tuan punya rumah batu itu. Setelah dia mati, roh berkontraknya juga lenyap dan cincin itu kini hanyalah cincin biasa yang tidak mempunyai sebarang kuasa roh.

Jun Wu Xie menggosok-gosok permukaan cincin itu yang berkilat. Dia diam seketika sebelum tiba-tiba menyarungkan cincin itu ke jarinya.

Sejurus kemudian dia terus melutut di atas tanah!

Sambil menghadap rumah batu itu, dia tunduk dan menyentuhkan dahinya ke tanah sebanyak tiga kali.

"Saya tak tahu nama kamu tapi kamu masih memberikan iImu pada saya jadi saya anggap kamu sebagai Tuan Guru yang dihormati. Walaupun kamu tak lagi hidup di dunia ini, saya masih berhasrat membawa kamu keluar dari Cenuram Penghujung Syurga sepertimana yang kamu hajati." Suara Jun Wu Xie bernada serius dan matanya kelihatan tegas.

Walaupun hanya seketika, dia telah mendapat satu kemahiran yang penting. Tidak kira sudah berapa lama pun lelaki itu mati, selamanya dia akan dianggap sebagai Tuan Guru oleh Jun Wu Xie!

Dalam kesunyian di sebalik kabus itu, Qiao Chu dan yang lain menanti dengan sabar sambil memandang Jun Wu Xie. Selepas mendengar kata-katanya, mereka semua tersenyum.

Sewaktu suara Jun Wu Xie hilang ditelan kabus, rumah batu yang telah berdiri teguh sejak entah berapa lama tiba-tiba bergetar. Seketika kemudian, rumah batu yang telah melindungi Jun Wu Xie selama beberapa hari ini tiba-tiba runtuh!

Bongkah-bongkah batu itu jatuh berkecai di atas tanah yang hangus terbakar lalu membebaskan kepulan debu yang besar.

Di sebalik awan debu itu, Jun Wu Xie merasakan dia samar-samar dapat melihat susuk tubuh seorang lelaki, seolah-olah di dalam khayalan serta di luar realiti. Lelaki itu kelihatan seperti tersenyum. Namun setelah kepulan debu itu kembali reda, susuk tubuh itu turut lenyap ditelan kabus.