webnovel

Melarikan Diri dari Cenuram Penghujung Syurga (5)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Mereka yang berasal dari Alam Pertengahan pun tidak begitu memahami cara yang mereka gunakan untuk meningkatkan kuasa rohani. Selama ini mereka memang sudah tahu cara menggunakannya kerana memang sudah memiliki kemahiran ini sejak lahir. Kalau orang lain menyuruh mereka menganalisa kemahiran unik ini dan menerangkan konsepnya, pastinya hal itu berada di luar kemampuan mereka.

Kalau konsep di sebalik kebolehan itu begitu mudah difahami, jurang perbezaan kuasa di antara orang-orang Alam Pertengahan dan Alam Bawahan tidak akan menjadi begitu besar!

Bukan sahaja anak-anak muda seperti Qiao Chu dan rakan-rakannya yang tidak memahaminya, orang dari Dua Belas Istana yang benar-benar memahami kemahiran ini juga sukar ditemui. Tidak ramai yang tahu tentangnya. Dua Belas Istana agak keberatan menggunakan kemahiran ini sebagai umpan supaya orang-orang di Alam Bawahan sanggup bergadai nyawa untuk mereka.

Selain pemilik rumah batu ini orang-orang lain seperti Ke Cang Ju dari Kumpulan Qing Yun atau Ning Rui dari Akademi Zephyr tidak tahu apa-apa tentang kemahiran tersebut. Ini membuatkan Jun Wu Xie sedar yang Dua Belas Istana itu tidak begitu rela untuk berkongsi pengetahuan dan membiarkan maklumat ini tersebar ke Alam Bawahan. Ini kerana sebaik orang-orang di Alam Bawahan mula memahami asas dan konsep kemahiran tersebut dan menyebarkannya, kuasa Alam Bawahan pasti meningkat dan kemudiannya akan merapatkan jurang kekuatan di antara kedua-dua alam.

Kemahiran yang enggan dikongsi oleh Dua Belas Istana yang kuat itu sekali pun berjaya ditafsirkan dan dipelajari oleh Jun Wu Xie dalam masa beberapa hari sahaja!?

Itu pun sekadar berdasarkan sebaris ayat yang hanya menyentuh secara samar-samar tentang kemahiran itu. Mereka yang lain langsung tidak menyedarinya.

Kalau tidak kerana mereka telah mengembara bersama-sama Jun Wu Xie sebelum ini dan tahu bahawa gadis itu sememangnya berasal dari Alam Bawahan, pasti mereka tersalah faham dan menganggap Jun Wu Xie juga berasal dari Alam Pertengahan, sama seperti mereka.

Bagaimana Alam Bawahan mampu menghasilkan gadis kejam yang genius dan luar biasa ini!?

Malah Ye Sha juga terkejut dengan kemahiran luar biasa Jun Wu Xie.

"Saya sangka Jun Wu Xie ni orang yang genius. Nampaknya saya dah tersilap. Dia ni bukan manusia, tahu. Dia ibarat dewa!!" Qiao Chu berasa rendah diri melihatkan kebolehan Jun Wu Xie. Dengan hanya sepotong ayat yang kurang jelas sahaja dia sudah mampu membongkarkan rahsia paling kritikal bagi fenomena Alam Pertengahan. Dia juga mempelajari semuanya dalam masa beberapa hari sahaja. Dalam dunia ini, hanya Jun Wu Xie seorang sahaja yang mampu melakukannya!

Bisikan Qiao Chu pada yang lain membuatkan Jun Wu Xie curiga.

"Saya ada tersalah cakapkah?" Jun Wu Xie memikirkan semua yang telah disebutnya. Dia tidak menemui apa-apa yang tak kena.

[Tapi kenapa semua orang memandangnya dengan pelik?]

Rong Ruo akhirnya ketawa kuat dan menggelengkan kepalanya.

"Tapi saya belum begitu mahir lagi. Ini cubaan pertama saya yang berhasil. Untuk menggunakannya dengan baik seperti kamu semua, saya masih memerlukan sedikit masa." Jun Wu Xie berputus asa untuk cuba mentafsir ekspresi wajah pelik rakan-rakannya. Satu-satunya perkara yang difikirkannya sekarang adalah kemahiran barunya yang membolehkan dia mencapai peningkatan sementara kuasa rohaninya.

Kalau dia berjaya, bukan dia sahaja di Alam Bawahan yang akan menggunakan kemahiran tersebut.

Datuk, Pak Cik, Tentera Rui Lin… Setelah dia mahir nanti, dia boleh merekodkan segalanya dengan teliti dan menghantar maklumat tersebut ke Istana Lin.

Agak lama juga Qiao Chu dan yang lain dapat menerima hakikat yang Jun Wu Xie dengan pantasnya berjaya belajar cara untuk meningkatkan kuasa rohaninya. Setelah pulih daripada keadaan terkejut dan menyedari semua orang selamat berlindung di dalam rumah batu itu, kerisauan mereka terhadap kehilangan Jun Wu Xie akhirnya lenyap. Kelesuan dan kesakitan akibat kecederaan mereka akhirnya meletus dan menyelubungi mereka.

Dalam beberapa detik sahaja mereka sudah terjelepok, terduduk di atas tanah sambil tercungap-cungap.

Jun Wu Xie merenung semua ahli kumpulannya yang tadinya begitu bersemangat tapi kini tiba-tiba berwajah pucat. Tiba-tiba dia sedar apa yang ditempuhi oleh rakan-rakannya selama beberapa hari ini amat berbeza dengan apa yang dilaluinya.

Rumah batu biasa yang Teratai Mabuk temui ini rupa-rupanya menjadi tempat yang bagus untuk Jun Wu Xie berehat dan memulihkan diri. Walaupun tidak begitu lengkap, rumah batu ini tetap dapat menjadi penghalang pada bahaya yang ada di sekelilingnya.