webnovel

Lelongan untuk Orang Kaya (1)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Sebenarnya, kalau kita benar-benar mahu tahu siapa orangnya, kita ada petunjuk yang boleh digunakan," tiba-tiba Fei Yan bersuara.

"Maksud kamu, Mu Qian Fan?" tanya Rong Ruo sambil mengangkat keningnya.

Fei Yan mengangguk. "Mu Qian Fan kata ada orang beri kumpulannya duit dan suruh mereka pergi ke Cenuram Penghujung Syurga. Tambahan pula, Fan Zhuo baru sahaja sahkan yang makam Maharaja Kegelapan memang berada di dasar Cenuram Penghujung Syurga. Maksudnya, orang yang mengupah Mu Qian Fan dan rakan-rakannya untuk pergi ke situ pasti orang yang sama mempunyai kaitan dengan Istana Dua Belas. Tentu dia memiliki sebahagian peta itu!" Mu Qian Fan kini menjadi sekutu yang lebih berharga daripada yang mereka sangkakan. Dia bukan sahaja mampu membawa mereka ke Cenuram Penghujung Syurga, malah dapat memberikan mereka lebih banyak petunjuk untuk mendapatkan identiti orang di dalam Akademi Zephyr yang memiliki peta tersebut.

Fei Yan diam seketika sebelum berpaling dan bertanya dengan serius pada Jun Wu Xie, "Kamu yakin boleh sembuhkan Mu Qian Fan daripada racun itu dengan sepenuhnya?"

Jun Wu Xie membalas perlahan, "Ya."

Mendengarkan sepatah balasan dari Jun Wu Xie itu, Fei Yan berasa yakin tanpa ragu-ragu.

"Sebelum itu, lebih baik kita pergi ke Cenuram Penghujung Syurga dan meninjau keadaan di situ. Kita masih belum memiliki peta lengkap kawasan itu. Mungkin kita tidak dapat mencari lokasi tepat makam Maharaja Kegelapan, tapi pemahaman lebih mendalam tentang kawasan itu pasti akan dapat membantu kita," kata Hua Yao.

Semua orang bersetuju dengan kata-kata Hua Yao itu.

Selepas selesai berbincang, mereka semuanya berpisah dan melakukan tugasan masing-masing.

Ada dua hari lagi sebelum lelongan akan dijalankan di Rumah Lelong Chan Lin dan mereka akan terus tinggal di bandar itu sepanjang tempoh tersebut. Jun Wu Xie bertekad mahu menghasilkan penawar bagi racun di dalam badan Mu Qian Fan.

Hari demi hari berlalu dengan pantas dan Rumah Lelong Chan Lin membuka lelongannya sekali lagi. Kali ini, sebelum lelongan itu bermula, He Chang Le sudah mengupah orang untuk menyebarkan berita ke seluruh Bandar Chan Lin. Berita itu menyatakan bahawa di dalam lelongan yang akan datang ini, mereka bukan sahaja ada barang berharga, malah turut memiliki eliksir yang jarang ditemui!

Ramai orang yang tidak begitu berminat dengan lelongan itu sebelum ini kini berpusu-pusu menuju rumah lelongan tersebut setelah mendengar berita tersebut.

Eliksir yang jarang ditemui dan berharga sentiasa mendapat permintaan yang tinggi, tidak kira bila dan di mana. Walaupun tidak ada maklumat terperinci tentang jenis eliksir tersebut, berdasarkan barang berkualiti tinggi yang sering dibawa masuk oleh Rumah Lelong Chan Lin, pasti eliksir-eliksir itu bukan sekadar eliksir biasa.

Hari ini, Rumah Lelong Chan Lin jelas kelihatan lebih sesak daripada biasa. Lelongan belum pun bermula dan ruang tingkat bawah itu sudah pun penuh manakala semua bilik peribadi di tingkat kedua juga habis ditempah.

Mujurlah Qiao Chu telah datang dan bertemu dengan He Chang Le pada hari sebelumnya dan mengkhabarkan niat mereka untuk datang ke lelongan itu. Satu bilik peribadi telah disediakan untuk mereka.

Ketika Jun Wu Xie dan rakan-rakannya sampai ke tempat itu, bahagian tangga menuju ke tingkat kedua juga sudah dipenuhi orang ramai. Mereka perlu berhimpit-himpit di celah-celah orang ramai sebelum dapat masuk ke bilik peribadi yang telah disediakan.

"Ya Tuhan! Perlu ke jadi gila begini? Tempat ini betul-betul sesak hari ini, bukan?" Qiao Chu sedang memegang kasutnya. Sewaktu menaiki tangga tadi, kedua-dua belah kasutnya telah dipijak-pijak oleh kerumunan orang ramai itu dan dia hampir kehilangan kasutnya. Tindakan refleks yang pantas telah menyelamatkan dirinya dan kasut yang baru dibelinya.

Orang suruhan yang ditugaskan di bilik mereka itu tersenyum mesra sambil menghidangkan teh. Dia tahu yang tetamu-tetamu ini amat dihormati oleh He Chang Le, jadi dia berkhidmat dengan sangat baik.

"Tuan Muda semua mungkin tidak tahu, tetapi barang yang dilelong hari ini lebih menarik daripada biasa. Selain melelong batu roh seperti biasa, kami ada barisan eliksir-eliksir mengagumkan dan amat berharga. Itu yang menarik perhatian hampir seluruh penduduk bandar untuk ke sini. Lelongan belum pun bermula dan pada waktu sebegini, tempat ini tidak sepatutnya sebegini sesak. Sebaik lelongan bermula nanti, pasti semakin ramai yang akan berada di sini."