webnovel

Lawatan ke Penjara (1)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Setelah kereta kuda itu tiba di Kediaman Putera Mahkota, Jun Wu Xie berlalu pergi dengan Qiao Chu yang menunggunya di situ. Mereka menolak pelawaan Lei Chen untuk makan malam bersama-sama.

Jun Wu Xie kembali ke Lof Dewa bersama-sama Qiao Chu. Fan Zhuo dan yang lain sudah lama menunggu di situ.

"Macam mana?" Fan Zhuo terus menuangkan secawan air suam dan meletakkannya di hadapan Jun Wu Xie.

"Hal ini lebih mendalam daripada apa yang disangka," kata Jun Wu Xie. Dia menerima air yang dihulurkan itu untuk membasahkan tekak.

"Kamu dah dapat apa-apa maklumat?" Fan Zhuo amat yakin dengan kemahiran perubatan Jun Wu Xie kerana dia juga pernah menjadi pesakit gadis itu.

Jun Wu Xie mengangguk tetapi tidak menunjukkan tanda dia mahu mengulas lanjut.

"Saya akan bertukar tempat kembali dengan Abang Hua malam ni. Kalau ada apa-apa berita tentang keadaan Qu Ling Yue selepas ini, pergi ke sana dan beritahu saya." Jun Wu Xie terdiam seketika kemudian berkata pada Fei Yan, "Selepas ini apabila kamu pergi menyiasat keadaan Qu Ling Yue, periksa jika ada kesan lebam di belakang telinganya."

Walaupun Fei Yan tidak begitu faham apa yang Jun Wu Xie maksudkan, dia tetap mengangguk tanpa banyak soal.

Malam itu Jun Wu Xie kembali ke bilik penjaranya untuk bertukar tempat dengan Abang Hua. Tidak lama selepas itu, seorang pelawat khas tiba di penjara.

"Jun Xie!" Suara pemuda itu kedengaran jelas, amat kuat di dalam penjara yang sunyi pada waktu lewat malam itu.

Jun Wu Xie mendongak perlahan-lahan dan terlihat Putera Keempat, Lei Fan yang berpakaian sut broked mewah, berdiri di hadapan bilik penjaranya.

Akhirnya seperti yang dijangka, dia telah tiba.

Jun Wu Xie ketawa sendiri, tetapi tidak ada apa-apa yang terlihat secara luaran.

"Atas sebab apa Tuanku ke sini?" tanya Jun Wu Xie dengan nada tanpa perasaan. Matanya yang jernih dan dingin itu langsung tidak menunjukkan sebarang riak.

"Jun Xie, kamu pasti dah terseksa di sini. Beta dengar Ayahanda sebut tentang kamu dan Beta dapat tahu kamu dipenjarakan di sini. Beta dah cuba cari pelbagai cara untuk datang berjumpa dengan kamu. Beta tahu kamu bukan begitu orangnya. Tak mungkin kamu akan menyerang seorang perempuan dengan ganas. Beta rasa pasti kamu tak sengaja," kata Lei Fan. Dia berdiri di luar bilik penjara itu dan memandang Jun Xie dengan bimbang. Matanya dipenuhi kerisauan.

Lei Fan menggigit bibir. Dia kelihatan amat hiba dan terkilan sewaktu memandang Jun Xie.

"Walaupun kamu menolak pelawaan Beta sebelum ini, Beta benar-benar sukakan kamu. Mungkin kamu tak sanggup menjadi rakan belajar Beta tapi Beta masih mahu seorang kawan seperti kamu. Sewaktu Beta dengar kamu dah dipenjarakan, mana mungkin Beta boleh berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa?"

"Terima kasih atas kebimbangan Tuanku. Saya tak apa-apa." Jun Wu Xie langsung tidak terkesan.

"Kamu tak perlu berpura-pura berani seperti ini," kata Lei Fan sambil mengeluh. Dia memandang ke sekeliling penjara yang lembap dan gelap itu sebelum meneruskan, "Macam mana kamu boleh tak apa-apa setelah berada di tempat seperti ini? Tetapi orang yang kamu cederakan kali ini adalah Cik Muda Bandar Seribu Binatang. Orang-orang mereka sememangnya amat kuat. Orang biasa tak berani pun menentang mereka. Kini setelah kamu cederakan Cik Muda mereka. Bandar Seribu Binatang pasti tak akan biarkan saja hal ini."

Sambil bercakap, wajah Lei Fan kelihatan sedikit resah.

Jun Wu Xie ketawa dingin di dalam hatinya. Wajahnya langsung tidak menunjukkan apa yang dia sedang fikirkan. Dia hanya memandang wajah Lei Fan yang kelihatan ikhlas dan amat risau itu.

"Betul atau salah, kebenaran akan terdedah satu hari nanti."

Lei Fan membalas, "Mudah saja kamu bercakap. Kamu tahu tak Cik Muda Bandar Seribu Binatang itu masih tak sedarkan diri? Ayahanda dah panggil semua doktor ternama dan Tabib-tabib Diraja dari Istana. Mereka semua dihantar ke sana tapi dia masih belum menunjukkan tanda-tanda akan sembuh. Beta diam-diam ada bertanya pada Tabib-tabib Diraja dan mereka kata… mereka kata Qu Ling Yue mungkin tidak dapat bertahan lama lagi."