webnovel

Puting beliung yang kuat itu pasti telah mencampakkan mereka ke merata-rata tempat. Pada ketika itu dia tidak ada cara untuk mengetahui di mana Qiao Chu dan yang lain berada.

Dasar Cenuram Penghujung Syurga itu sendiri dipenuhi pelbagai bahaya. Kawasan muka buminya terselindung dari pandangan dan tak ada siapa yang tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Kedinginan yang membeku, keadaan gelap gelita dan bahaya yang boleh muncul bila-bila masa sahaja menyebabkan tempat ini dirasakan seperti neraka.

Jun Wu Xie yang terbeban dengan kaki yang patah serta ketidakpastian sama ada Tuan Embek Embek akan selamat, tidak dapat berganjak daripada tempatnya.

Walaupun dia mempunyai pengalaman sebagai doktor haiwan sebelum ini, Binatang Roh berbeza dengan binatang peliharaan biasa. Dia tidak pasti mampu merawat Tuan Embek Embek sehingga pulih sepenuhnya.

Kabus yang menyelubungi Jun Wu Xie semakin tebal dan dia terus berada dalam keadaan berjaga-jaga. Jun Wu Xie menyeru Teratai Kecil lalu menyerahkan sebalang wain dari dalam Beg Kosmos. Teratai Kecil memandang Jun Wu Xie kemudian mengalihkan matanya ke arah Tuan Embek Embek yang teramat lemah. Bibirnya bergetar. Dia terkedek-kedek mendekati Jun Wu Xie sebelum mengeluarkan dan menyerahkan satu biji benih teratai.

"Berilah Tuan Embek Embek makan ni. Mungkin boleh membantu. Kalau tak berkesan… betul-betul tak berkesan… saya akan benarkan dia gigit saya," kata Teratai Kecil sambil memandang Jun Wu Xie dengan mata yang ikhlas dan serius. Teratai Kecil sudah nekad. Sama seperti ketika di Puncak Berawan dulu sewaktu dia dengan beraninya menggigit badannya sendiri dan menyuapkan "dagingnya" pada Jun Wu Xie.

Selepas menyatakan tawarannya yang tidak mementingkan diri itu, Teratai Kecil mengangkat balang wain ke mulutnya dan terus meneguk wain di dalamnya. Dia sedar tempat ini dipenuhi bahaya yang datang dari setiap arah. Dirinya yang satu lagi itu lebih berguna.

Beberapa ketika kemudian, Teratai Mabuk muncul di hadapan mata Jun Wu Xie. Sebaik terlihat keadaan Jun Wu Xie yang menyedihkan, matanya terus membara dengan kemarahan. Teratai Mabuk terus meluru mendapatkan Jun Wu Xie.

"Tak guna," kata Teratai Mabuk sambil menumbuk kedua-dua tangannya ke tanah.

"Pergi tinjau keadaan sekeliling. Kalau kamu ada terjumpa dengan mereka yang lain, bawa mereka ke sini," kata Jun Wu Xie dengan tenang. Dia tertanya-tanya jika semua orang selamat dari krisis yang mereka tempuhi tadi.

"Baiklah." Teratai Mabuk sekali lagi menjeling sekilas pada luka di kaki Jun Wu Xie dan menjawab dengan serius. Susuk tubuhnya menjadi kabur seketika dan dia terus lenyap dari situ untuk pergi menyiasat keadaan sekeliling.

Roh berkontrak tidak memerlukan penglihatan untuk mencari laluan. Mereka adalah makhluk roh dan mampu mengesan sebarang bentuk kehidupan melalui aura. Kalau bertembung dengan bahaya, roh berkontrak boleh terus bertukar rupa menjadi roh yang tidak berbentuk dan kembali pada tuan mereka.

Jun Wu Xie berasa tenang setelah menyuruh Teratai Mabuk pergi menyiasat kawasan itu. Akhirnya dia dapat berehat sedikit. Jun Wu Xie kemudiannya mengambil sedikit masa untuk memeriksa kecederaannya.

Kecederaan pada kaki kirinya adalah yang paling jelas sekali. Selain itu, daya gegaran akibat tercampak tadi turut mengakibatkan beberapa kecederaan parah pada badannya. Beberapa bahagian tubuhnya berasa sakit. Paling ketara sekali ialah kesakitan pada bahagian belakang badannya.

Dia tetap berasa bertuah kerana walaupun badannya dipenuhi kecederaan dan luka-luka, tak ada satu pun yang membawa maut.

Jun Wu Xie menyuapkan biji benih teratai yang diberikan oleh Teratai Kecil tadi kepada Tuan Embek Embek. Setelah itu dia menuangkan air Mata Air Syurga ke dalam mulut Tuan Embek Embek. Dia berharap kekuatan sebagai Binatang Roh Gred Penjaga cukup untuk membantu kambing biri-biri kecil ini supaya dapat terus hidup.

Tak lama kemudian, Teratai Mabuk kembali. Dia tidak berjaya menemui orang lain tetapi dia terjumpa sebuah rumah batu usang. Rumah itu nampaknya sudah lama ditinggalkan.

"Rumah batu?" tanya Jun Wu Xie sambil mengangkat keningnya. Rumah batu di dasar Cenuram Penghujung Syurga?

"Ya, tapi nampaknya dah lama tinggal usang." Teratai Mabuk menambah.

Jun Wu Xie mula berfikir. Kewujudan rumah batu itu agak pelik. Namun jika difikirkan tentang keadaannya sekarang, sebarang bentuk perlindungan pun amat dialu-alukan.