webnovel

Kemunculan Tuan Tua (1)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Matahari kini mencapai kemuncak ketinggiannya dan kawasan itu penuh sesak dengan orang ramai. Hari ini ialah hari pertama kemasukan pelajar baru di Akademi Zephyr dan semua orang bergegas menuju pintu pagar akademi tersebut untuk mendapatkan tempat. Sinaran matahari memancar dengan panas dan suhu sekeliling menjadi semakin tinggi. Tak lama kemudian anak-anak manja daripada keluarga yang kaya dan berada itu merintih dan mengerang sambil berpeluh-peluh. Tetapi demi mengekalkan penampilan mereka yang bermaruah, mereka menahan kepanasan yang melampau ini dengan pelbagai cara. Mereka yang beratur di bahagian belakang terutamanya, tahu yang penantian ini masih lama, tetapi tetap tak mahu meninggalkan tempat mereka. Sejurus kemudian, orang-orang gaji mereka mula bertindak. Payung-payung dibuka dan barisan tuan serta cik muda ini mula dikipas. Malah ada yang menyimpan ais di dalam kereta kuda dan orang-orang gaji mereka berulang-alik menyediakan minuman buah plum yang sejuk.

Bulan September mungkin bukan bulan yang paling panas sepanjang tahun, tetapi cahaya matahari tetap begitu bahang sehingga boleh menyebabkan orang ramai di situ berasa pening.

Beberapa orang gadis-gadis muda yang agak lemah tubuh badan, terus pengsan. Mereka dibawa masuk ke kereta kuda masing-masing untuk berlindung daripada bahang matahari.

Gelombang kepanasan ini terus membuatkan kerumunan yang tadinya teruja, menjadi senyap. Para pemuda yang rancak berbual kini mula merasakan kehangatan matahari dan hanya mampu bersuara untuk mengarahkan orang gaji mereka terus mengipas. Mereka langsung hilang mood untuk berbual-bual kosong.

Bunyi suara yang kuat dan teruja memecahkan kesunyian itu. Semua mata tertumpu ke arah bunyi jeritan teruja tersebut. 

Orang ramai di situ sudah pun menjadi gelisah akibat kepanasan, namun mereka masih mengangkat kepala dengan perasaan ingin tahu. Mereka berpaling dengan wajah yang berkerut dan terpandang dua susuk tubuh di bawah sebuah pokok besar yang berdekatan. Seorang lelaki yang kelihatan segak berpakaian putih sedang berdiri di bawah pokok tersebut dengan tangannya disilangkan di belakang. Seorang pemuda yang amat teruja pula berdiri di hadapan lelaki tersebut sambil menutup mulutnya sendiri. Jeritan teruja itu tadi nampaknya datang dari pemuda itu.

Anak-anak muda yang sedang beratur di hadapan akademi itu semuanya meninjau-ninjau untuk melihat punca kekecohan berkenaan. Kata-kata yang diucapkan oleh pemuda yang teruja itu membuatkan mereka semua memberikan perhatian pada apa yang berlaku di bawah pokok berkenaan.

"Mu Chen! Bukankah Tuan ini Mu Chen, Tuan Tua Kumpulan Qing Yun? Akhirnya saya jumpa Tuan Tua Mu di sini. Saya merayu kepada Tuan. Tolonglah jual satu lagi eliksir seperti sebelum ini. Selepas abang saya makan eliksir itu, kepantasan peningkatan kuasa rohaninya menjadi begitu tinggi! Saya merayu pada Tuan! Jual eliksir itu pada saya!" Pemuda yang teruja itu merayu dengan kuat pada lelaki berpakaian putih tersebut.

Para pemuda lain di hadapan akademi itu mengelip-ngelipkan mata. Mereka merenung dengan perasaan tidak percaya mendengarkan perbualan di bawah pokok itu.

Fikiran mereka hampir meletup mendengarkan tiga patah perkataan tersebut, "Kumpulan Qing Yun!". Jelas kedengaran di telinga mereka, seperti bunyi dentuman guruh!

Siapa yang tidak pernah dengar tentang Kumpulan Qing Yun, kumpulan terhebat di dunia ini? Sesuatu yang besar telah berlaku pada kumpulan tersebut baru-baru ini. Tuan Tua Puncak Menjejak Awan, Mu Chen, tiba-tiba mengumumkan pembubaran Kumpulan Qing Yun dan Pemerintah serta Tuan Tua lain sudah pun meninggalkan Puncak Berawan. Mu Chen satu-satunya Tuan Tua yang tinggal dan selepas membuat pengumuman tersebut, dia turut menghilangkan diri. Tiada siapa yang tahu di mana dia berada sekarang.

Kumpulan terhebat tiba-tiba mengumumkan pembubarannya. Berita ini telah menggemparkan seluruh dunia. Pelbagai spekulasi dibuat, namun tiada siapa yang tahu sebab sebenar di sebaliknya.

Pembubaran Kumpulan Qing Yun telah menyebabkan para pesakit yang masih menantikan rawatan di seluruh dunia ini menangis. Selain itu, orang-orang di seluruh dunia bukan saja mencari Kumpulan Qing Yun untuk mendapatkan rawatan, tetapi juga untuk mendapatkan eliksir mereka yang jarang ditemui!

Pemuda itu memanggil lelaki berpakaian putih itu "Mu Chen"!?

Bukankah itu nama Tuan Tua Puncak Menjejak Awan yang terakhir sekali meninggalkan Kumpulan Qing Yun?

Apabila menyedari lelaki berpakaian putih di bawah pokok tersebut mungkin merupakan Tuan Tua dari Kumpulan Qing Yun, semua mata di situ mula memerhatikan situasi di bawah pokok itu dengan teliti.

Puncak Menjejak Awan mengkhususkan pemupukan dan perkembangan urat darah serta arteri. Tak ramai orang yang pernah melihat Mu Chen secara berdepan. Ramai yang ragu-ragu dengan apa yang mereka lihat, sehinggalah mereka terpandang perhiasan jed yang tergantung di pinggang lelaki berpakaian putih itu. Segala perasaan curiga lenyap sekelip mata!

Itu lencana jed yang diukir menjadi karakter tulisan Cina yang bermaksud "Awan", simbol Kumpulan Qing Yun!

Lencana sebegini hanya dibawa oleh Pemerintah, barisan Tuan Tua serta pengikut Rumah Dalaman secara eksklusif. Pengikut Rumah Luaran juga hanya boleh bermimpi untuk memiliki lencana ini.

Pemerintah serta barisan Tuan Tua kumpulan itu seolah-olah lenyap sekelip mata. Hanya orang-orang dari Puncak Menjejak Awan saja yang dapat dilihat sejak itu!