webnovel

Kemarahan Gu Li Sheng (1)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas meninggalkan hutan buluh, Fan Jin cepat-cepat berjalan menuju fakulti Pemulih Roh. Di hadapan Fan Zhuo dan Jun Wu Xie tadi dia bersikap biasa, tetapi insiden di dewan makan tersebut membuatkan dia berasa bingung.

Macam mana Jun Xie boleh ditendang keluar dari fakulti Pemulih Roh?

Siapa si Li Zi Mu yang membuat kecoh tu?

Di kampus fakulti Pemulih Roh, Gu Li Sheng sedang memeriksa kemajuan latihan para pelajar sewaktu pintu masuk ke pejabatnya dibuka. Dia terkejut sebentar sebelum mengangkat kepalanya dan terlihat Fan Jin sedang tercungap-cungap di muka pintu. Gu Li Sheng tersenyum.

"Ada apa kamu jauh-jauh datang berjumpa Pak Cik hari ni?"

Fan Ji masuk ke dalam pejabat itu dan menutup pintu. Dia terus bertanya, "Hal ini berkaitan Jun Xie. Apa yang sebenarnya berlaku? Dari mana si Li Zi Mu tu muncul? Pak Cik Gu sudah tersilap ke?"

Sepanjang perjalanan ke situ, beratus kali Fan Jin membandingkan Li Zi Mu dengan Jun Wu Xie. Tidak kira bagaimana dia cuba memikirkannya, Li Zi Mu yang pengecut itu hanya dapat masuk terus ke kampus utama disebabkan roh berkontraknya yang agak kuat. Budak tak guna tu langsung tak ada bakat dalaman. Macam mana pula Li Zi Mu mampu menghalau Jun Xie keluar dari fakulti Pemulih Roh dan mengambil tempatnya?

Gu Li Sheng terkejut. Dia tak sangka Fan Jin datang berjumpa dengannya disebabkan hal ini.

"Bukankah Pak Cik dah kata hal itu satu kesilapan?" tanya Gu Li Sheng.

"Pak Cik Gu, apa hebatnya Li Zi Mu tu? Kalau sejak mula lagi Pak Cik tak berniat nak terima Jun Xie sebagai pelajar, kenapa beri harapan padanya? Pak Cik tahu tak betapa teruknya pelajar lain di akademi ni mengutuk dan memarahi Jun Xie sekarang?" Fan Jin memang menghormati Gu Li Sheng dan sukakan Tuan Guru yang tak sombong ini. Tetapi dalam hal berkaitan Jun Xie kali ini, Gu Li Sheng benar-benar terlepas pandang dalam memikirkan pihak yang terlibat.

Mungkin pada Gu Li Sheng, hal ini kecil saja. Tapi pada seorang pelajar yang baru masuk, hal ini boleh dianggap sebagai bencana.

Kalau Fan Jin tidak terserempak dengan mereka tadi, dia tak tahu betapa teruknya para pemuda yang bersama-sama dengan Li Zi Mu tadi akan menyeksa Jun Xie.

Mendengar nada suara Fan Jin yang seolah-olah menuduhnya, Gu Li Sheng berasa keliru.

"Kamu cakap apa ni? Dikutuk dan dimarahi? Apa yang sedang berlaku?" Gu Li Sheng merasakan ada lagi yang belum dia dengar dari Fan Jin, lalu dia cepat-cepat bertanya lebih lanjut.

"Apa lagi? Pelajar baru kesayangan Pak Cik, si Li Zi Mu tu, bawa geng dia untuk menyusahkan Jun Xie. Dia menuduh Jun Xie telah mencuri kedudukannya di fakulti Pemulih Roh. Katanya, Pak Cik tak pernah mahukan Jun Xie. Cuma Jun Xie tu sendiri yang berlari-lari mengejar Pak Cik kemudiannya Pak Cik sendiri yang menendang dia keluar dari sini," kata Fan Jin dengan sedikit perasaan jengkel.

Wajah Gu Li Sheng menjadi pucat. "Merepek! Bila pula Pak Cik cakap begitu?"

Tak pernah mahukan Jun Xie? Mana mungkin dia sanggup melepaskan kurniaan seperti itu?

Dia sudah mahukan budak itu sejak saat dia terpandangnya dahulu. Hakikatnya, dia memang pandai memilih orang berbakat. Jun Xie faham sepenuhnya tentang teknik Pemulihan Roh Gu Li Sheng dalam masa yang amat singkat, tanpa latihan praktikal. Malah dia juga dapat menunjukkan kelemahan teknik itu. Namun begitu, sebab itulah Gu Li Sheng risau yang Jun Xie akan membazirkan masa di fakulti Pemulih Roh. Jadi dia telah membenarkan Jun Xie belajar bagaimana mahu melatih dan memperkembangkan roh berkontraknya di fakulti Roh Binatang sambil mengkaji bagaimana untuk menambah baik teknik Pemulihan Roh.

Sementara teknik itu masih dalam kajian dan perkembangan, Jun Xie boleh mendapat lebih banyak ilmu di fakulti Roh Binatang serta dilindungi dari mata-mata yang suka memerhati dan telinga yang suka mencuri dengar.

Tetapi niat baiknya terhadap budak kecil itu telah memakan dirinya sendiri. Gu Li Sheng tidak menyangka hal ini akan berlaku.

Selepas melihat reaksi Gu Li Sheng, Fan Jin merasakan hal ini bukan seperti yang diketahui. Dia memaksa dirinya untuk bertenang dan menceritakan segala-galanya yang berlaku di dewan makan itu kepada Gu Le Sheng.

Wajah Gu Li Sheng kelihatan marah setelah mendengar kata-kata Fan Jin!

"Itu yang Li Zi Mu katakan?" Gu Li Sheng meradang dan suaranya semakin rendah.

Fan Jin mengangguk.

Wajah Gu Li Sheng menjadi berang.