webnovel

Kekayaan Sebenar (1)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie memandang Jun Wu Yao dengan bingung.

Jun Wu Yao hanya tersenyum memandangnya, seolah-olah di seluruh langit dan bumi ini tiada apa yang layak mendapat perhatiannya selain Jun Wu Xie.

"Tak perlu buat begini." Walaupun Jun Wu Xie tidak begitu faham tentang duit, dia sedar yang bidaan Jun Wu Yao yang terlampau tinggi itu jauh melebihi harga Teratai Darah.

Bidaan terakhir terhenti di empat juta lapan ratus ribu. Tindakan menaikkan jumlah bidaan terus ke sepuluh juta menjadikan situasi itu bukan lagi perang bidaan tetapi terus menghancurkan pesaing yang lain.

Selepas keadaan senyap-sunyi seketika, seluruh rumah lelong itu gegak-gempita dengan sorakan yang menggegarkan seluruh bangunan itu! Semua orang berpaling memandang pembida gila tersebut, seorang lelaki yang teramat tampan!

Jurulelong di atas pentas itu masih lagi terpaku. Dia tidak pernah terfikir sekuntum Teratai Darah ini akan mencapai harga yang begitu mengejutkan.

Sepuluh juta…

Ini ialah harga yang memecahkan rekod, belum pernah lagi dicapai dalam sejarah Rumah Lelong Roh Api yang panjang. Harga itu pula hanya untuk sekuntum Teratai Darah…

Selain gila, tak ada perkataan lain yang sesuai untuk menggambarkan bidaan lelaki itu.

Jun Wu Yao memandang wajah kecil Jun Wu Xie yang kelihatan terkejut. Terlintas sedikit kegembiraan di mata Jun Wu Yao. Dia tersenyum dan nada suaranya kedengaran terhibur, "Memandangkan Adik Xie mahukannya, tak perlulah lagi tawar-menawar." Daripada bersaing sedikit demi sedikit untuk mendapatkannya, mengapa tidak naikkan terus harganya ke satu tahap yang orang lain tidak mampu bayar? Jun Wu Yao langsung tidak mahu membazirkan masa dengan orang-orang di lelongan ini. Apa yang penting padanya ialah Jun Wu Xie mahukan teratai itu. Jadi dia mendapatkannya supaya dapat diserahkan kepada gadis itu.

Jun Wu Xie terkelip-kelip, "Tinggi sangat."

Dia cuma sedang mengira-ngira berapa banyak eliksir yang perlu ditukarkan dengan nilai sepuluh juta. Walaupun dia tidaklah pandai dalam pengiraan wang, sekurang-kurangnya dia mampu mengira dari segi jumlah eliksir.

"Tak tinggi mana pun." Jun Wu Yao masih tersenyum.

Jun Wu Xie jarang meminta apa-apa darinya. Personaliti gadis itu yang dingin dan kurang mesra membuatkan Jun Wu Yao tidak pernah dapat meneka barangan apa yang akan menarik minatnya. Hanya dua barang sahaja setakat ini, dapur eliksir dan Teratai Darah, yang Jun Wu Yao tahu gadis itu mahukan.

Kalau gadis lain, emas, perak, batu permata, sutera dan fabrik sudah cukup untuk memenangi hati mereka. Tetapi kalau diikutkan personaliti Jun Wu Xie, jika biliknya dipenuhkan dengan semua barang biasa ini pun dia hanya akan menganggap barang-barang ini menyusahkan. Sedikit pun dia tidak akan berterima kasih.

Jun Wu Xie menggigit bibir seketika dan mengeluarkan sebotol eliksir daripada jubahnya. Kemudian dia cepat-cepat menyerahkan eliksir itu ke tangan Jun Wu Yao.

Walaupun lelaki itu adalah "abangnya", dia tidak akan membenarkan dirinya terbiasa menerima hadiah tanpa membalas apa-apa.

Jun Wu Yao mengangkat keningnya dengan keliru dan memandang Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie berkata, "Ini eliksir yang saya baru hasilkan. Eliksir ini boleh bantu kamu terus hidup."

Eliksir itu dihasilkannya di hutan buluh kecil kira-kira sebulan yang lalu. Dia sudah hampir kehabisan stok herba perubatan dan hanya dapat menghasilkan satu eliksir sahaja. Proses penghasilan eliksir ini sangat rumit sehinggakan Jun Wu Xie pun hanya mampu menghasilkan satu sahaja. Tetapi sebiji eliksir ini mampu mengubah nasib seseorang. Asalkan orang itu masih bernafas, eliksir ini mampu menyelamatkan nyawanya. Jun Wu Xie menghasilkannya untuk dirinya sendiri sebagai harapan terakhirnya. Malah sewaktu mendapati dia tidak cukup wang tadi pun dia masih tidak pernah sekali pun terfikir untuk menggunakan eliksir ini sebagai tukaran.

Tapi dalam keadaan ini, orang itu ialah Jun Wu Yao. Jadi dia tidak berasa ragu-ragu untuk memberikan barangan berharga ini kepada lelaki itu.

Pada mulanya Jun Wu Yao terfikir untuk menolak. Tetapi dia mengubah fikirannya setelah memikirkan hal ini lalu menerima eliksir itu dengan senyuman yang lebar.

"Memandangkan ini ialah hadiah dari kamu, Abang pasti akan menyimpannya dengan baik."

Daripada perspektif lain, eliksir ini adalah barangan pertama yang diterimanya daripada Jun Wu Xie, satu-satunya "hadiah". Tak kiralah barang itu bagus atau tidak, dia tetap akan menyimpannya dengan gembira.

Lagipun barang ini adalah sesuatu yang Jun Wu Xie hasilkan dengan tangannya sendiri dan diserahkan sendiri pada Jun Wu Yao.