webnovel

Jangan Cari Maut dan Kamu akan Hidup (4)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Tugasan yang Tuan berikan pada saya pasti akan dijalankan dengan baik. Selepas perlawanan esok, saya akan terus menyebarkan lebih banyak khabar angin. Saya jamin Tuan tak akan kecewa," kata Zhao Xun dengan berhati-hati.

Lelaki berjubah hitam itu mengangguk kemudian terus berpaling dan berlalu pergi.

Selepas Zhao Xun dengan hormatnya memandang lelaki itu beredar, dia akhirnya dapat mengeluh lega. Pada masa yang sama, hatinya melonjak kegembiraan.

Sebaik hal ini selesai, dia akan mendapat kekayaan dan kemewahan yang tidak terbatas. Masa depannya juga cerah!

Zhao Xun yang penuh pengharapan itu bersenandung sambil berjalan pulang ke rumah tumpangan akademinya. Kegembiraan pada wajahnya tidak seperti seseorang yang akan berdepan dengan seorang lawan yang kuat. Rakan-rakan seguruny dari akademi yang sama mula berbisik-bisik sesama sendiri. Hampir semua orang meneka bahawa Zhao Xun pasti sudah menerima "kurniaan Putera Mahkota" dan akan menarik diri daripada perlawanannya esok. Sebab itulah dia begitu tenang dan bersahaja.

Malam semakin lewat. Zhao Xun kembali ke biliknya dengan gembira. Dia bercadang mahu mimpi yang indah-indah sebelum menjalankan arahan lelaki itu. Tetapi ketika dia membuka pintu biliknya, dia mendapati bilik itu gelap-gelita. Belum pun sempat dia menyalakan lilin, bilik itu tiba-tiba diterangi cahaya lilin yang dinyalakan oleh seseorang.

Di bawah cahaya lilin itu, Zhao Xun menyedari ada beberapa orang pemuda yang tidak dikenali telah muncul di dalam biliknya!

"Kamu semua siapa?" tanya Zhao Xun dengan perasaan terkejut. Dia merenung para pemuda yang berada di biliknya.

"Nampaknya kamu tak kenal siapa saya," kata seorang pemuda yang nampak lemah. Dia merenung Zhao Xun yang sedang gelisah. Pemuda itu mengangkat keningnya dan seorang lagi pemuda terus menutup pintu dengan rapat.

"Apa yang kamu mahu?" tanya Zhao Xun ketika melihat pintu itu sudah tertutup. Dia menjadi tertekan dan terus berwaspada. Zhao Xun memandang para pemuda itu dengan lebih teliti dan dia sedar bahawa mereka memakai pakaian seragam Akademi Zephyr!

"Kamu dari Akademi Zephyr?" Zhao Xun terus bertanya.

"Lebih tepat lagi, saya adalah lawan kamu dalam pertempuran esok," kata pemuda yang kelihatan lemah itu sambil menjeling sekilas ke arah Zhao Xhun.

Zhao Xun agak terperanjat. Dia memandang pemuda bertubuh kecil di hadapannya yang berusia empat belas atau lima belas tahun. Matanya menunjukkan perasaan terkejut, "Kamu ni JunXie!?"

Jun Wu Xie mengangguk.

Setitis peluh dingin mengalir dari dahi Zhao Xun. Dia memandang tiga orang pemuda lain di bilik itu dan dapat mengagak identiti mereka.

"Boleh saya tanya apa tujuan Tuan Muda Jun datang mencari saya malam ini?" Zhao Xun bergelut untuk kekal tenang. Dia tidak begitu mengenali orang-orang dari Akademi Zephyr. Sebaik menyedari yang dia akan bertempur dengan Jun Xie dalam perlawanan seterusnya, dia berasa bimbang. Tetapi setelah bertemu dengan Tuan itu, dia tidak lagi risau. Namun dia tidak sangka pada malam sebelum perlawanan, Jun Xie akan muncul di hadapannya!

"Tak ada apa-apa. Saya cuma ke sini untuk tanya sama ada kamu akan mengambil bahagian dalam pertandingan esok," kata Jun Wu Xie dengan lembut. Matanya langsung tidak menunjukkan sebarang riak emosi.

Apabila Zhao Xun mendengar kata-kata itu, dia terus tersenyum. Tadi dia tertanya-tanya apa halnya. Rupa-rupanya Jun Xie hanya mahu bertanya tentang perlawanan esok!

Prestasi Akademi Zephyr di Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini amat cemerlang. Mereka semua menunjukkan kuasa yang hebat, kecuali Jun Xie yang masih belum bertempur dalam satu perlawanan pun. Sejak daripada pusingan pertama, Jun Xie telah mara tanpa perlu berusaha walaupun dia adalah peserta paling muda dan paling tidak berpebgalaman dalam kejohanan tahun ini. Zhao Xun ada mendengar cerita yang semua itu disebabkan Jun Xie mempunyai hubungan rapat dengan Putera Mahkota. Zhao Xun cuma tahu yang Jun Xie adalah peserta termuda. Tetapi memandangkan Jun Xie tidak pernah bertempur, Zhao Xun tidak fikir Jun Xie memiliki kuasa yang hebat. Apa yang dia tahu, tiga orang pemuda lain di dalam bilik itu semuanya agak kuat.