webnovel

Amaran tegas Fan Jin tidak berani dibantah oleh para pemuda ini, tetapi mata mereka menunjukkan yang mereka tidak yakin.

Di tingkat kedua dewan makan itu, Senior Ning memerhatikan semua yang sedang berlaku dan bibirnya yang menawan itu tersenyum. Dia mengangkat tangan dan menunjuk pada Fan Jin yang kelihatan seperti sedang mengatakan sesuatu pada Jun Xie. Senior Ning berkata, "Fan Jin dah buat silap besar. Nampaknya Jun Xie si budak tak guna tu pandai berlakon. Fan Jin juga terpedaya sepenuhnya. Saya rasa, kalau bukan sebab budak tak guna itu sendiri memberitahu Fan Jin yang dia akan dimasukkan ke fakulti Pemulih Roh, saya tak rasa Fan Jin akan begitu teruja mahu menjadi mentornya. Saya tertanya-tanya, kini setelah harapannya musnah, pasti dia amat kecewa. Apa pendapat kamu, Yan Kecil?"

Wajah Yin Yan menguntum senyuman kejam. Berbanding orang lain, Yin Yan yang paling gembira sekali melihat harapan Fan Jin musnah.

"Ingat lagi kejadian pada tahun kemasukan kamu? Fan Jin sepatutnya menjadi mentor kamu, tetapi dia ingkar arahan Naib Guru Besar dan bermati-matian enggan membawa kamu masuk ke dalam akademi. Masih ingat lagi perasaan malu yang kamu rasai sewaktu semua orang mentertawakan kamu?" kata Senior Ning sambil berpaling memandang Yin Yan.

Yin Yan membalas, "Saya tak akan lupakan hari di mana Fan Jin memalukan dan menjatuhkan maruah saya."

Pada tahun itu, Yin Yan baru saja diterima masuk ke Akademi Xephyr dan Fan Jin belum lagi menyertai Kejohanan Pertempuran Roh. Fan Jin belum mendapat kedudukan dalam kejohanan tersebut, jadi dia dipilih untuk menjadi mentor pada kumpulan pelajar-pelajar baru. Ketika itu, Yin Yan dipadankan dengan Fan Jin. Kekuatan dalaman Yin Yan agak hebat dan dia menarik perhatian Naib Guru Besar yang memberikan arahan khusus kepada Fan Jin untuk menjaga pelajar baru tersebut. Siapa sangka Fan Jin tiba-tiba telah menolak arahan itu, mengingkari permintaan Naib Guru Besar dan berlalu pergi tanpa memandang sekilas pun pada Yin Yan.

Sejak hari itu, Yin Yan menjadi bahan jenaka pelajar-pelajar lain. Dia kelihatan lemah kerana telah ditolak oleh Fan Jin. Kalau tak kerana Senior Ning yang telah telah menghulurkan tangannya dan menerima Yin Yan di bawah jagaannya, Yin Yan mungkin sudah meninggalkan akademi itu akibat ejekan dan penderaan oleh para pelajar lain.

Tak lama kemudian, Yin Yan telah bertuah kerana dipilih untuk menyertai fakulti Pemulih Roh dan itu telah mengubah nasibnya. Namun penolakan Fan Jin telah meninggalkan kesan yang tak dapat dipadamkan pada Yin Yan dan dia tak dapat melupakannya,

"Bukankah ini peluang yang baik untuk kamu? Biar Fan Jin lihat kamu betul-betul sekarang. Biar dia lihat bagaimana hebatnya kamu setelah dia menolak kamu di hadapan semua orang. Biar dia lihat betapa lemahnya Jun Xie pilihannya itu berbanding dengan kamu." Senior Ning memujuk dengan senyuman yang baik dan lembut di bibirnya.

Yin Yan tersenyum licik dan mengangguk, "Senior ini memang bijak. Banyak yang saya dah belajar ni."

Selepas berkata begitu, Yin Yan berjalan turun ke tingkat bawah.

Di tingkat bawah dewan makan itu, keadaan yang kecoh tadi sudah reda selepas kemunculan Fan Jin.

"Jangan bimbang, saya akan tanya Pak Cik Gu apa yang sebenarnya sudah berlaku." Fan Jin memandang raut wajah Jun Xie yang dingin dan tidak berperasaan itu lalu dia berasa tidak berdaya. Dia tidak meragui Jun Xie. Hakikatnya, Jun Xie berjaya mencapai tahap roh jingga pada usia empat belas tahun dan tak ramai orang dapat berharap untuk mendapat pencapaian ini. Tambahan pula, walaupun masih amat muda, Jun Xie tidak dinafikan seorang yang sangat bersikap wajar dan bijak. Tak mungkin Gu Li Sheng tidak menyedari sifat-sifat keperibadian ini.

Sekarang ini Fan Jin diberitahu yang Gu LI Sheng telah memilih Li Zi Mu si bedebah itu berbanding Jun Xie. Fan Jin tak dapat menerima keadaan ini.

Jun Xie menjawab ringkas, "Tak payah."

Fan Jin mengeluh dan menepuk-nepuk bahu Jun Xie untuk meyakinkannya, "Lupakan sajalah, tak payah makan di sini lagi. Saya akan bawa kamu ke tempat yang bagus. Saya jamin makanan di situ lebih baik daripada apa yang dihidangkan di sini."

Jun Wu Xie mengangguk sedikit. Walaupun dia tidak lapar, dia tak mahu menolak niat baik Fan Jin terhadapnya.

Jun Wu Xie sudah banyak berubah sejak dia dilahirkan semula. Dia baru mula dapat menerima sifat baik orang lain dan perlahan-lahan belajar untuk menerima dan membalas kebaikan.

Sebaik mereka berdua mahu berlalu pergi, tiba-tiba kedengaran satu suara dari sisi mereka.

"Senior Fan melindungi juniornya Jun Xie memanglah sesuatu yang boleh difahami. Tetapi kalau pelajar junior itu dah buat kesalahan dan langsung tidak meminta maaf, melampau juga tu."