webnovel

Berita Orang Dalam (4)

Editor: EndlessFantasy Translation

"Kalau mereka begitu rapat, kenapa ketika jamuan di Kediaman Putera Mahkota tu kenapa dia tak datang sedangkan Lei Yuan pun hadir ke situ juga?" tanya Fan Zhuo sambil mengangkat keningnya.

Fei Yan mengangkat bahu menandakan dia pun tak tahu sebabnya.

"Dalam kalangan empat orang putera tu, Maharaja paling sayangkan Putera Keempat. Tapi dia masih terlalu muda, baru empat belas tahun umurnya," kata Fei Yan.

"Empat belas." Jun Wu Xie mengecilkan mata. Berbanding dengan tiga putera yang lain, dia jauh lebih muda. Tapi… usia Lei Fan membuatkan Jun Wu Xie terfikirkan sesuatu. Dia berfikir sejenak tetapi tidak menyuarakannya. Dia hanya berkata, "Tak kiralah siapa pun orangnya yang menentang Lei Chen. Tapi kalau orang itu menggunakan saya untuk menjatuhkan Lei Chen, rancangan kita perlu diubah supaya nama Akademi Zephyr tidak terpalit sama."

Mereka telah menyertai Kejohanan Pertempuran Roh untuk memulihkan reputasi Akademi Zephyr. Tapi kalau khabar angin ini terus tersebar, nama baik Akademi Zephyr tidak akan dapat kembali gemilang tetapi mungkin akan terus menjadi buruk.

"Kamu dah pun fikirkan sesuatu?" Fan Zhuo bertanya pada Jun Wu Xie sambil mengangkat kening.

Jun Wu Xie membalas "Demi mengelakkan nama Akademi Zephyr turut terkesan, kita mesti menyatakan batasan kita dan Lei Chen dengan jelas. Tak kira siapa pun yang membuat rancangan jahat terhadapnya, kita tak boleh biarkan Akademi Zephyr terlibat sekali. Jadi kita perlu bertindak sebelum hal ini berlaku."

Pada mulanya Jun Wu Xie bercadang untuk menggunakan hubungan mereka dengan Lei Chen demi mendapatkan kepingan peta itu selepas Kejohanan Pertempuran Roh berakhir. Tapi berdasarkan keadaan sekarang, rancangan mereka perlu diubah.

"Kalau kita buat kecoh, adakah itu akan menarik orang-orang dari Alam Pertengahan datang ke sini?" tanya Rong Ruo.

Kalau Leo Chen menyuruh orang-orang dari Alam Pertengahan masuk campur, mereka berenam tidak akan dapat terus mengambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh.

Tetapi Jun Wu Xie menggelengkan kepala.

"Kita hanya perlu mencari lokasi peta dan suruh Fei Yan buat salinan." Walaupun agak baik juga kalau dapat memiliki salinan asal, dalam keadaan sekarang ini kalau tiada rotan akar pun berguna juga.

Jun Wu Xie mahu memiliki peta dan juga membantu Akademi Zephyr mendapatkan kembali nama baiknya. Dia tidak sanggup melepaskan salah satu.

"Bila kita nak lakukannnya?" tanya Hua Yao sambil memandang Jun Wu Xie.

"Malam ini," kata Jun Wu Xie dengan tenang. Sementara khabar angin ini masih hangat diperkatakan, lebih baik ia dihapuskan ketika masih memuncak.

Rakan-rakannya yang lain saling berpandangan dan mengangguk.

"Fan Jin, pergi ke Kediaman Putera Mahkota dan beritahu dia yang kita akan datang melawat malam nanti."

Fan Jin terus bangun setelah mendengar kata-kata Jun Wu Xie lalu meninggalkan Lof Dewa.

Sementara itu, di Kediaman Putera Mahkota, Lei Chen duduk di dalam bilik bacaannya. Keningnya berkerut. Dia sudah menyuruh semua pengawalnya pergi dan dia duduk seorang diri di meja. Matanya merenung marah pada berita yang baru diterimanya itu.

"Mereka dah mula bertindak?" Lei Chen menggenggam erat beberapa keping surat di dalam tangannya. Matanya dipenuhi perasaan benci dan terkilan.

"Beta tak akan benarkan kamu berbuat sesuka hati. Hidup dan nafas Beta tak akan diserahkan pada sesiapa pun!" Mata Lei Chen mengecil penuh berbisa. Dia meletakkan surat-surat itu ke atas api lilin, memerhatikan surat-surat itu mula menghitam dan bergulung dijilat api. Namun renungan matanya langsung tidak menjadi semakin tenang.

Dia kesuntukan masa. Kalau dia masih tidak bertindak, mungkin dia tidak akan ada peluang lagi…

Kalau dia perlu menukar ganti dan menyerahkan semua yang ada padanya pada syaitan pun dia tak akan teragak-agak!

Ketika api itu semakin membakar surat-surat tersebut, kedengaran satu ketukan dari luar pintu bilik itu.

Lei Chen menahan renungan berbisa pada matanya lalu bertanya dengan suara yang lembut, "Ada apa?"