webnovel

Berita Orang Dalam (1)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Sehari kemudian barulah tiba giliran Jun Wu Xie untuk bertempur dalam perlawanannya. Selepas prestasi Akademi Zephyr yang mengakibatkan kejutan besar, tiada siapa yang berani memandang rendah pada peserta dari Akademi Zephyr. Malah peserta paling muda, Jun Xie, juga dianggap sebagai berkemahiran tinggi.

Namun begitu...

Sewaktu perlawanan pertama Jun Wu Xie, satu lagi kejadian tidak diduga telah berlaku.

Pada hari perlawanan, Jun Wu Xie melangkah naik ke tengah-tengah pentas tetapi Lin Qi langsung tidak kelihatan. Semua orang dalam kerumunan di situ begitu ternanti-nanti mahu melihat Li Qin dari Akademi Pembunuh Naga bertempur hebat dengan Jun Xie. Mereka sudah tahu yang lima orang peserta Akademi Zephyr yang lain memiliki kuasa yang luar biasa. Jadi mereka kini tertanya-tanya tentang Jun Xie yang merupakan peserta termuda.

Saat berganti minit. Mata para penonton memerhatikan seluruh arena itu tetapi langsung tidak terlihat kelibat Lin Qi. Pengadil yang bertanggungjawab ke atas perlawanan ini asyik memandang pintu masuk arena tetapi tidak terlihat kemunculan peserta seorang lagi itu.

Mereka menanti selama dua jam sebelum tidak mempunyai pilihan selain memanggil pasangan lawan yang seterusnya.

Peraturan Kejohanan Pertempuran Roh tidak membenarkan pesertanya menangguhkan pertandingan tanpa sebab yang kukuh. Apabila penangguhan itu berlanjutan sehingga dia jam, perlawanan itu dianggap terbatal!

Lin Qi tidak muncul dalam tempoh dua jam yang diberikan. Menurut keputusan para pengadil, perlawanan ini dianggap batal dengan sengaja!

Situasi ini amat membingungkan ramai orang. Walaupun pelajar lain di Akademi Zephyr mendapat keputusan mengejutkan dalam perlawanan mereka sebelum ini dan Jun Xie yang kecil molek itu tidak seharusnya dipandang ringan… Lin Qi itu adalah pelajar dari Akademi Pembunuh Naga yang amat dihormati! Tindakannya melarikan diri tanpa bertarung membuatkan orang ramai di situ mula memikirkan sebabnya.

Jun Wu Xie langsung tidak ambil peduli dengan tindakan Lin Qi yang membatalkan perlawanan. Dia turun dari pentas dan terus meninggalkan arena. Jun Wu Xie mencapai kemenangan tanpa perlu melakukan sebarang serangan.

Selepas itu, pusingan pertama kejohanan tersebut berakhir dengan pantas. Hua Yao dan yang lain terus menghancurkan lawan masing-masing dengan kekuatan mereka yang luar biasa. Sementara itu, keadaan di pihak Jun Wu Xie pula menjadi semakin pelik.

Lawannya di pusingan kedua datang dari akademi kecil yang tidak terkenal. Pada hari perlawanan, lawannya tiba-tiba menghantar wakil untuk memberitahu mereka yang dia menarik diri secara sukarela. Ketika pelajar yang datang membawa berita itu terpandang Jun Wu Xie, matanya dipenuhi ketakutan.

Kali pertama mungkin tidak sengaja dan kali kedua hanya kebetulan.

Tetapi apabila perlawanan pusingan ketiga bermula dan lawan Jun Wu Xie terus menyerah kalah, suasana di arena itu tiba-tiba menjadi aneh!

Akademi Zephyr mungkin telah bangkit dari abu tetapi apabila peserta termuda itu berkali-kali mendapat lawan yang menyerah kalah atau menarik diri tanpa bertempur, tentulah orang ramai berasa curiga! Perlu diketahui bahawa tidak ada orang lain yang menarik diri dalam perlawanan di daerah-daerah lain tetapi Jun Wu Xie sudah pun berhadapan dengan situasi ini sebanyak tiga kali!

Walaupun dikatakan orang-orang ini telah menjadi gerun dengan kehebatan kuasa Akademi Zephyr, mereka sepatutnya mengelak Qiao Chu dan yang lain. Jun Xie masih muda dan walaupun orang lain menganggap dia lebih berbakat berbanding para pelajar dari akademi lain, kekuatannya tetap terbatas. Situasi yang merepek sebegini tak sepatutnya berlaku.

Ketika perasaan curiga di hati semua orang semakin bertambah, satu khabar berita tiba-tiba tersebar di akademi-akademi lain.

Menurut khabar angin itu, sebab mengapa lawan-lawan Jun Xie membatalkan perlawanan secara berturut-turut adalah kerana Putera Mahkota Negara Yan, Lei Chen, telah pergi bertemu para peserta ini sebelum perlawanan bermula lalu memberi ancaman atau rasuah pada mereka. Dia memaksa mereka membatalkan perlawanan dengan Jun Xie!

Sebaik berita itu tersebar, semua orang berasa terkejut!