webnovel

Batu Hitam Misteri (3)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Lelaki berpakaian mewah itu mengeluh sekali lagi lalu berkata, "Kurang tu lebih baik daripada tak dapat apa-apa. Ambillah untuk keperluan kamu dulu."

Namun lelaki berbalut itu tetap menggelengkan kepalanya. "Satu ratus ribu tak cukup! Ini berkaitan dengan sepuluh nyawa! Mereka teman seperjuangan yang dah menempuh hidup dan mati dengan saya! Tak mungkin… Macam mana saya…. Kalau saya tak dapatkan jumlah tu, saya tak boleh serahkan kepada keluarga mereka. Apabila bertemu dengan saudara-saudara saya ini selepas mati nanti, macam mana saya nak berhadapan dengan mereka!?"

Sambil dia bercakap, lelaki itu begitu terganggu sehingga dia jelas kelihatan menggigil. Kesakitan yang sentiasa menyeksa badannya sering mengingatkan dia tentang apa yang berlaku pada hari yang membawa padah itu.

Sebelas orang telah turun ke Cenuram Penghujung Syurga. Sebelas orang…. Akhirnya hanya dia seorang sahaja yang dapat pulang hidup-hidup. Semua rakan seperjuangannya tidak berjaya melepaskan dari dari tempat yang dahsyat itu dan dia langsung tidak dapat membawa pulang mayat mereka. Kalau dia tidak dapat memastikan keluarga mereka mampu meneruskan hidup tanpa sebarang kebimbangan, dia lebih teruk daripada binatang!

Batu hitam legam ini dipenuhi darah sebelas orang ini dan dibawa pulang ke sini dengan nyawa sepuluh orang sebagai galang gantinya.

Sebelas orang turun ke Cenuram Penghujung Syurga, hanya seorang dapat naik semula hidup-hidup. Membawa bersamanya batu hitam yang mereka telah bawa naik sewaktu awal-awal pengembaraan mereka.

Lelaki berbalut itu sudah tidak ingat bagaimana dia membawa batu hitam itu kembali bersamanya. Dia hanya ingat yang perjalanan pulangnya itu dipenuhi tangisan dan titisan darah yang seringkali mengganggu penglihatannya.

Lelaki berpakaian mewah itu sekali lagi mengeluh dengan tidak berdaya. Dia telah menemui lelaki yang cedera parah dan berlumuran darah ini di luar Bandar Chan Lin tempoh hari. Dia menjangkakan lelaki itu akan mati akibat kecederaannya. Luka-luka mengerikan yang dilihatnya ketika itu pasti akan meragut nyawa orang biasa, tetapi rakannya ini bergelut dan bertekad untuk terus hidup.

"Baiklah, kita tunggu sekejap lagi." Lelaki berpakaian mewah itu tidak mampu melakukan apa-apa selain terus menunggu bersama-sama rakannya. Tetapi sebagai orang yang menguruskan Rumah Lelong Chan Lin, sudah jelas padanya yang tak kira apa sekalipun rahsia di sebalik batu hitam legam itu, mereka tidak akan dapat menjualnya.

Bagi orang biasa, itu hanyalah batu yang tidak ada keistimewaannya.

Suasana di dalam dewan lelong itu amat sunyi. Tiada siapa mahu memberikan perhatian pada seketul batu yang teramat mahal.

Sementara itu, di tingkat kedua, Qiao Chu sedang merenung batu hitam legam itu tanpa dapat menahan ketawa.

"Jarang betul dapat lihat ni. Saya tak tahu pula ada orang bawa batu untuk dilelong. Harganya pula tiga ratus ribu tahil!? Orang tu sudah hilang akalkah?" Qiao Chu tidak tahu tempat jenis apa yang dinamakan Cenuram Penghujung Syurga atau mana-mana sahajalah tempat batu itu berasal. Harga seketul batu itu sama seperti yuran kemasukan ke Akademi Zephyr. Ini hampir membuatkan seseorang seperti Qiao Chu, yang sudah biasa hidup dalam kemiskinan, hampir ternganga.

"Tak kiralah dia gila atau tak, tapi tak ada sesiapa yang mahu melayan kegilaannya ni. Kamu tak nampakkah semua orang tak ambil peduli dengan batu tu?" kata Fei Yan sambil mengangkat bahu. Dia sering memerhatikan orang ramai dengan teliti. Menurut pemerhatiannya, kerumunan orang ramai di situ sudah agak tidak sabar dengan penantian yang berterusan ini. Dia menjangkakan barang yang mengejutkan yang sedang dilelong itu akan dibawa turun dari pentas tersebut tidak lama lagi.

"Saya rasa hebat juga ada orang yang sangat yakin dan membawa seketul batu ke sini untuk dilelong!" kata Qiao Chu dengan marah. Mereka menjalani hidup tanpa mengetahui sama ada mereka dapat makan atau tidak dan di sini ada orang yang mahu mengaut keuntungan dengan seketul batu!

"Entah kenapa, saya rasa ini bukan sekadar batu biasa." Fan Zhuo yang selama ini diam sahaja, tiba-tiba bersuara.

Semua orang berpaling lalu memandangnya.

"Barang-barang dari Cenuram Penghujung Syurga tak mungkin barang biasa sahaja. Kalau tekaan saya betul, batu hitam itu ialah Batu Jed Hitam. Kamu boleh mendapatkan Perak Hitam dari Batu Jed Hitam ini. Perak Hitam pula boleh digunakan untuk menempa cincin roh dan kesannya lebih hebat daripada menggunakan emas, perak atau mana-mana logam berharga. Tetapi Batu Jed Hitam ini terlalu keras dan sukar dipotong. Namun saya percaya masalah ini boleh diselesaikan dengan proses pembajaan menggunakan api."