webnovel

Akademi Zephyr (3)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Ada satu sekitar kawasan ni, tapi kami tak pernah ke sana sebelum ni," balas Qiao Chu sambil menggaru-garu kepalanya. Mereka selalu pergi ke kedai pajak, tapi rumah lelongan…. Mereka tak mempunyai pengalaman dengan tempat itu.

Lebih satu juta tahil diperlukan dan tak mudah untuk mereka mendapatkan jumlah sebanyak itu. Mereka bergegas untuk sampai ke situ pada bulan September dan Akademi Zephyr hanya membuka permohonan kemasukan selama tiga hari. Kalau mereka terlepas kali ini, mereka perlu menunggu sehingga tahun depan.

Kebanyakan orang di Akademi Zephyr berkemahiran tinggi sehinggakan Qiao Chu dan rakan-rakannya juga teragak-agak untuk merempuh masuk secara terburu-buru.

Sewaktu mereka berlima sedang berbincang cara untuk mendapatkan duit yang cukup, beberapa orang pemuda yang sedang melintasi pokok berkenaan terdengar perbualan mereka. Para pemuda ini mula bercakap dengan suara yang kuat serta penuh cemuhan.

"Kalau tak ada duit, tak payahlah datang ke Akademi Zephyr. Yuran sekecil tu pun tak mampu nak bayar sampai perlu ke rumah lelongan!? Kamu semua ni memang orang kampung! Biar aku beritahu kamu. Kalau kamu dapat ke rumah lelongan pun tak ada gunanya! Cuma ada satu saja rumah lelongan di sini dan mereka akan memulakan lelongan seterusnya tiga hari dari sekarang. Jadi kalau kamu ke sana sekarang pun tak ada gunanya." Pemuda ini memakai baju yang penuh dengan perhiasan emas dan jed. Beberapa orang pemuda lain yang mengekori di belakangnya, ketawa mengejek dengan kuat sewaktu pemuda yang berpakaian menyakitkan mata ini bercakap.

Sesiapa yang datang ke Akademi Zephyr untuk menyertai kemasukan tahunannya sudah pun membuat persediaan lebih awal dan sudah tahu tentang yuran tersebut. Siapa yang datang ke sini dan menyedari mereka tak ada duit yang cukup?

"Orang miskin sepatutnya berhentilah berangan-angan. Akademi Zephyr ni bukan tempatnya untuk anjing dan kucing jalanan." Selesai bercakap, pemuda yang berpakaian menyakitkan mata itu berpusing dan pergi dari situ.

Pada ketika itu, muka Qiao Chu menjadi marah. Hua Yao memegang bahu Qiao Chu sambil menggelengkan kepala.

"Kata-katanya mungkin sukar ditelan tapi walau apa sekalipun, dia sudah menyelamatkan kita dari membuat perjalanan yang sia-sia. Sekarang kita tahu yang rumah lelongan tu bukan lagi satu pilihan," kata Rong Ruo sambil mengeluh kecewa. Jika dibandingkan dengan Akademi Zephyr, kini amat jelas di mata mereka betapa daifnya keadaan di Akademi Phoenix.

"Kita nak buat apa sekarang ni?" tanya Fei Yan.

Mata Jun Wu Xie sekali lagi menjadi kecil sewaktu dia berfikir dengan mendalam. Tiba-tiba dia bertanya pada Fei Yan, "Di mana Mu Chen selama ini?"

Selepas Kumpulan Qing Yun dihapuskan, Jun Wu Xie berada di Akademi Phoenix dan tidak memberikan perhatian pada apa yang berlaku di luar. Sepanjang masa sebulan ini, Jun Wu Xie menyedari yang Qiao Chu serta rakan-rakannya yang lain mendapatkan maklumat daripada Fei Yan.

Fei Yan berfikir sejenak lalu membalas, "Dua minggu lalu Mu Chen mengumumkan yang Kumpulan Qing Yun sudah dibubarkan. Kecoh juga jadinya. Dia menyingkirkan para pengikut dari Rumah Luaran dan hanya membawa pengikut dari Puncak Menjejak Awan bersama-sama dengannya sewaktu dia pergi dari situ. Tak ada siapa yang tahu di mana dia sekarang."

Mata Jun Wu Xie bersinar dan dia memberikan isyarat kepada Hua Yao untuk mendekatinya. Jun Wu Xie berbisik ke telinga Hua Yao. Wajah Hua Yao yang kelihatan terkejut besar, perlahan-lahan bertukar menjadi tersenyum.

"Idea ini memang bagus. Tapi kalau tak ada orang di sini yang pernah bertemu dengan Mu Chen, mungkin idea ini tak berkesan." Hua Yao memikirkan cadangan Jun Xie dan cuba menjadi lebih berhati-hati.

Jun Wu Xie menyerahkan satu perhiasan jed yang diukir menjadi bentuk karakter tulisan Cina yang membawa maksud "awan". Hua Yao terkejut seketika kerana dia pernah melihat kepingan jed yang diukir sebegini. Kepingan jed ini hanya dimiliki oleh orang-orang yang berada di dalam Kumpulan Qing Yun.

"Xie Kecil, macam mana kamu boleh dapat benda ni?" Qiao Chu memandang Jun Wu Xie dengan perasaan terkejut. Sewaktu berada di Puncak Awan Tersembunyi, mereka berdua ada menyimpan satu kepingan jed itu setiap seorang. Namun sewaktu meninggalkan Puncak Berawan, Qiao Chu tidak membawa pulang kepingan jed miliknya.

"Saya terlupa nak buang." Jun Wu Xie membalas sambil mengangkat bahunya. Semuanya berlaku terlalu pantas dan pada ketika itu dia tidak mempunyai banyak masa. Sewaktu dia sedar, dia sudah pun berada di Akademi Phoenix dan kepingan jed itu ada bersama-sama barangan miliknya yang lain.

Dia tidak menyangka hari ini dia dapat menggunakan kepingan jed tersebut.