webnovel

Catatan Malim Gunung

Aku dah tak ingat berapa lama naik gunung. Aku harap aku sempat mencatitkan segala memori indah aku ketika aku masih hidup. Ada banyak perkara yang dipelajari ingin dikongsi bersama. Supaya pembelajaran melalui pengalaman ini dapat dihayati oleh yang lainnya yang bergelar pendaki. Semoga ilmu ini tidak hilang ditenggelam dek zaman. Insyallah.

nkamri · Real
Sin suficientes valoraciones
20 Chs

Budak Gunung

"Mana gunung pertama yang kau daki?"

Soalan seperti ini sering kali dilontarkan oleh petualang-petualang alam. Sifat ingin tahu amat kuat, untuk membezakan dan juga mempelajari sesuatu yang baru sesama mereka.

Tidak segan untuk aku kongsikan bahawa gunung pertama yang aku daki ialah Gunung Datuk. Terletak di daerah Rembau, Negeri Sembilan dengan ketinggian sebenar 660 meter dari aras laut. Gunung yang penuh dengan cerita lagenda. Sehingga kini masih tidak aku ketahui kebenaran sejarahnya atau sekadar mitos penduduk sekitar.

Aku bermula sebagai seorang 'Anak Serigala' atau nama lainnya Pengakap. Zaman kecil aku, menjadi seorang Pengakap adalah satu kebanggaan. Seorang budak Pengakap sangat segak dengan pakaian dan lencana, serta dipenuhi dengan ilmu kemandirian seperti ikhtiar hidup, berdisiplin dan memiliki akhlak yang baik.

Setiap budak Pengakap akan berpeluang untuk keluar daripada zon selamat mereka dengan aktiviti mengembara di dalam hutan dan pengalaman yang menjadikan aku seorang budak gunung bermula daripada kembara pertama aku ke Gunung Datuk.

Gunung Datuk mengingatkan aku dengan Hasri. Seorang sahabat aku ketika di bangku sekolah. Ketika itu, kami bersama-sama menggerakkan pasukan Pengakap 09. Dialah peneman aku, dan disebabkan dia juga aku menjadi seorang pendaki gunung yang tegar.

"Am, jom naik datuk hujung minggu ni?"

Bermula dari saat itu, hampir setiap hujung minggu kami berkunjung ke Gunung Datuk. Apa yang ada di tempat tersebut sehingga membuatkan kami angau dan terangsang untuk kembali berulang kali?

Oh sebelum itu aku nak ingatkan bahawa aku dan Hasri bukan gay. Kami tidak berada dalam kelompok LGBT. Kami adalah budak Pengakap yang mengamalkan setiap ajaran baik yang termaktub dalam Undang-undang Pengakap.

Jujur aku katakan, tiada apa yang menarik di puncak gunung tersebut. Sekadar pondok untuk melepaskan lelah setelah mengerah keringat selama 2 jam mendaki dan juga sudut pemandangan dari aras tinggi.

Setiap kali kami menjejakkan kaki di puncak gunung ini, kami akan melabuhkan punggung di atas seketul batu yang besar dan menikmati pemandangan cantik kampung-kampung di sekitar daerah Rembau. Jika cuaca cantik, kami dapat melihat kapal-kapal kecil di Selat Melaka. Jika bernasib baik kami dapat melihat keretapi melintas menuju ke Gemas.

"Minggu depan datang lagi yer?"

Inilah penangan keindahan alam yang kau nikmati setelah bermati-matian mengerah tenaga dan membuang masa remaja di hujung minggu. Semata-mata untuk duduk di atas puncak tertinggi dan menikmati keindahan dan kehijauan alam ciptaan Illahi yang terbentang luas. Kami terpesona. Kami jatuh cinta.

Namun sekarang, aku rasa hanya aku yang sepenuhnya terperangkap dengan godaan gunung. Apa dah jadi dengan Hasri sekarang? Masing-masing membawa diri dengan hala tuju sendiri setelah tamat pengajian di sekolah menengah. Aku harap dia memiliki kehidupan yang baik dan aku percaya dia mampu untuk menangani segala dugaan kehidupan kerana dia seorang Budak Pengakap.