webnovel

Ini Hanya Satu Pemacu Kilat USB

Redakteur: EndlessFantasy Translation

"Apa? Kenapa awak tanya begini?" Song Shuhang tertanya-tanya.

"Sebab saya ternampak seseorang bertanya-tanya tentang maklumat 'Song Shuhang, seorang pelajar Kolej Jiangnan' dalam kolej semalam pada waktu tengah hari. Mereka dapat tahu tentang kelas awak, umur, tempat kediaman, dan kawan rapat. Saya berasa ada sesuatu yang tak kena, oleh itu saya sengaja mengingatinya. Lagipun, saya ahli Jabatan Informasi Awam dalam kolej." Zhu Geyue tersenyum.

"Ada seseorang yang sedang menyiasat saya?" Song Shuhang terpegun. Dia tidak rasa dia ada menyinggung sesiapa baru-baru ini.

Mahaguru Ubat telah memberitahunya ada orang sedang mengikutnya. Mungkin orang itu ternampak dia bersama dengan Mahaguru Ubat, dan oleh itu menyiasat latar belakangnya bersama-sama. Tetapi, Mahaguru baru datang ke sini pagi tadi!

Song Shuhang betul-betul tidak tahu apa-apa tentang ini.

"Bagaimanapun, saya cadangkan awak lebih berhati-hati sekarang. Mungkin ada orang yang tak suka pada awak dan ingin mencari peluang untuk membelasah awak. Itu saja yang saya tau. Saya kena pergi sekarang. Semoga Berjaya." Zhu Geyue tersenyum, menepuk bahu Song Shuhang dan meninggalkan asrama, sambil bernyanyi.

"Terima kasih." Song Shuhang berkata.

Dia tidak takut jika dia menjadi sasaran seseorang itu. Tetapi, lelaki itu bukan sahaja menyiasat dia, malah juga menyiasat tentang saudara-mara dan rakan dia.

Itu menyebabkan dia susah hati.

Bagaimanapun… dia perlu lebih berhati-hati beberapa hari ini.

Apabila Mahaguru Ubat tiba, dia akan bertanya jika ada cara untuk menyiasat orang itu. Senior Mahaguru Ubat kelihatan seperti mempunyai banyak pengalaman dalam penyiasatan balas.

❄️❄️❄️

Berfikir tentangnya, Song Shuhang memasuki bilik tidur.

Gao Moumou masih berbaring tanpa bergerak seperti anjing mati, oleh itu Shuhang berasa bimbang tentangnya. "Gao Moumou, awak tidak apa ke?"

"Shuhang, saya dah dicemarkan," Gao Moumou berbisik.

"Itu perkataan yang tidak sesuai digunakan. Awak bukan anak dara zaman kuno. Jangan cakap macam ni." Song Shuhang menepuk Gao Moumou dan mengambil peluang untuk bertanya, "Oh ya, Zhu Geyue tu sebenarnya lelaki ke?"

Muka Gao Moumou tiba-tiba menjadi pucat. Selepas sebentar, dia menggeleng kepala dengan perasaan pahit, "Bukan."

"Oleh itu, dia perempuan? Celaka! Kenapa awak berkelakuan seperti perempuan yang dinodai jika awak hanya dicium oleh perempuan? Awak tau tak? Awak sedang berbangga tentangnya!" Song Shuhang menepuk Gao Moumou dengan kuat. "Jangan risau, mulut saya tertutup. Saya tak akan beritahu teman wanita awak tentangnya. Anggapnya sebagai percintaan yang tak disangka, boleh?"

Namun, Gao Moumou kelihatan lagi terseksa, dan menggelengkan kepala dengan kuat lagi.

"Apa maksud gelengan kepala awak? Adakah… Zhu Geyue bukan perempuan? Habis tu dia apa? Dia seorang dwiseksual atau transeksual?" Song Shuhang bertanya-tanya.

"Dua-dua pun bukan… Macam mana nak jelaskan ni? Awak tak akan faham." Gao Moumou menyengetkan kepala, dan kelihatan terdesak.

Budak ini… memang tidak boleh diharapkan.

"Baiklah, terus berbohong." Song Shuhang menepuk bahu Gao Moumou.

Selepas itu, dia pergi ke balkoni dan merenung langit, menyenandungkan sebuah lagu.

'Oh, menghantar buku dengan pedang terbang! Macam mana rupanya nanti?'

❄️❄️❄️

Selepas berbaring tanpa bergerak selama lebih sepuluh minit, Gao Moumou bangun dengan muka kebas. Dia mencuci muka dan bertanya, "Shuhang, Tubo cakap dia nak minum arak malam ni, oleh itu suruh kita berkumpul di apartmen Yangde petang ni. Awak macam mana? Ada masa tak?"

Song Shuhang berfikir sebentar dan menjawab, "Tak ada masalah, tapi ada kawan nak datang ambil barang kejap nanti. Saya mungkin akan lewat, dan sampai lebih kurang pukul enam!"

"Kalau macam tu saya pergi dulu, hari ni… saya nak mabuk." Gao Moumou kelihatan sangat menyedihkan.

"Melupakan segala kesusahan awak dengan menjadi mabuk?" Song Shuhang ketawa.

Gao Moumou mengangguk, dan membuka pintu asrama. "Saya pergi dulu, ingat datang cepat ya."

"Ok, boleh."

❄️❄️❄️

Masa berlalu.

Song Shuhang berasa dia mesti kelihatan seperti 'Patung Batu Merenung-Suami1', memandang langit dengan penuh harapan.

Dua puluh minit kemudian, pada 4:07pm.

Akhirnya, dia mendapat panggilan daripada Mahaguru Ubat dari telefon bimbitnya. "Kawan Kecil Shuhang, pedang terbang Mahaguru Utama Prinsip Pemikir sedang datang. Saya tengah nak pergi asrama awak. Ada orang kat sana?"

"Tiada masalah. Rakan sebilik saya semua dah keluar untuk minum petang. Tinggal saya di asrama." Song Shuhang menjawab dengan cepat.

"Tunggu saya. Saya akan datang dengan segera." Mahaguru Ubat meletakkan gagang.

Dua minit kemudian.

Mahaguru Ubat muncul di tepi Song Shuhang.

"Saya dah sampai!" Dia ketawa.

"Kita perlu buat apa-apa tak?" Song Shuhang bertanya. "Atau, kita hanya duduk dan tunggu?"

"Saya akan uruskannya." Mahaguru Ubat pergi ke balkoni, menghulurkan dua jarinya, dan menunjukkan mereka ke langit sekali lagi. Dua jari tersebut bertukar menjadi merah dan bersinar.

Merenung langit, Song Shuhang ternampak cahaya berkelip di langit, dan ia terbang dengan cepat ke arah Mahaguru Ubat.

Dengan cepat, cahaya itu semakin dekat dan dekat—ia objek yang berbentuk pedang.

'Oh, mereka buat saja di kawasan terbuka? Mereka tidak tutup dengan suatu sihir penyembunyian ke?' — Song Shuhang tiba-tiba faham— 'Dalam beberapa tahun ini, manusia selalu menangkap gambar UFO dan objek yang tidak diketahui dalam udara. Adakah mereka sebenarnya pedang terbang yang diguna oleh pertapa? Atau, mereka hanya pertapa yang menaiki pedang terbang?'

Ia sangat bahaya untuk pertapa berbuat demikian. Sebab teknologi semakin maju, setiap negara mempunyai misil tanah-ke-udara, senjata pembinasa kapal terbang, dan benda sepertinya untuk dilancarkan. Bagaimanakah jika mereka terkena serangan senjata ini?

Pedang terbang sudah jatuh di tepi Mahaguru Ubat ketika fikiran Song Shuhang masih bercelaru.

Ia merupakan pedang besi hitam yang tajam, terapung di udara di atas jari merah Mahaguru Ubat. Terapung di udara tanpa apa-apa daya penyokong… ini melanggar semua hukum fizik di dunia.

Song Shuhang sangat tenang. Dia telah mengabaikan separuh ilmu fiziknya yang telah dipelajari sepanjang lapan belas tahun hayatnya sejak pandangan dunianya dihancurkan pada hari itu. Jika bukan kerana hukum fizik masih diaplikasikan di dunia biasa, dia akan membuang kesemuanya dan bukan hanya separuh.

"Tapi, mana teknik-teknik itu?" Song Shuhang tiba-tiba bertanya. Seperti yang disangkakan, sepatutnya ada bungkusan besar yang mengandungi buku ikatan tali atau skrol kulit haiwan yang tergantung pada pedang.

Namun, tiada apa-apa yang digantung pedang besi hitam ini, tiada apa-apa pun.

"Adakah ia hilang semasa penerbangan?" Song Shuhang berfikir secara terbuka.

"Teknik-teknik ada di sini." Mahaguru Ubat menghulurkan tangan dan pedang besi hitam yang kecil itu terjatuh ke dalam tangannya. Selepas itu, dia mencabut sebuah tiub jed sebesar ibu jari yang kelihatan seperti cincin ibu jari jed daripada pemegang pedang besi hitam itu.

Sebuah tiub jed? Ketika Song Shuhang nampak objek tersebut, dia tersebut nama suatu objek yang ada dalam mindanya, "Slip Jed Penyampaian Teknik?"

Ia juga dipanggil Slip Jed Warisan, Slip Jed Pewarisan Kemahiran, atau nama seperti itu.

Ia merupakan benda yang mesti ada untuk hero dalam novel Xianxia. Dengan meletakkannya pada kepala seseorang, teknik dan benda lain yang telah direkodkan dalamnya akan tertera dalam minda seseorang itu! Malah orang yang bodoh pun boleh menghafal satu teknik dengan menggunakannya!

"Awak berfikir terlalu banyak…" Mahaguru Ubat mengangkat bahunya. "Slip Jed Penyampaian Teknik" sangat berharga, malah tidak ternilai. Ia hanya akan digunakan untuk merekod teknik yang paling berharga yang tak boleh direkod dengan perkataan. Tak berbaloi untuk menggunakan Slip Jed Penyampaian Teknik untuk merekod teknik Penubuhan Asasi yang biasa seperti ini."

Hanya teknik paling berharga yang mengandungi hukum syurga dan bumi serta prinsip Jalan Utama, yang tidak boleh direkodkan dengan perkataan, dan mungkin akan dipadamkan oleh kuasa syurga dan bumi meskipun direkod dengan perkataan secara paksa, perlu direkodkan dengan benda yang berharga seperti 'Slip Jed Penyampaian Teknik'.

"Kalau macam tu, apa benda ni?" Song Shuhang bertanya.

"Ini hanya pemacu kilat USB yang biasa. Sebenarnya, teknologi manusia dah semakin maju, dan banyak benda yang telah dicipta juga sangat berguna untuk pertapa. Pemacu kilat USB yang kecil boleh mengisi kandungan yang mampu memenuhi satu perpustakaan buku, malah awak juga boleh menambahkan video ke dalamnya. Ia sangat senang untuk diguna."

'Sakitnya, mak! Sakitnya hati saya!'