webnovel

Dia Tak Tahu Li Sicheng Boleh Bersikap Seperti Itu

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Tang Mengying cuba mengelak tetapi rambutnya ditarik oleh Su Qianci. Menyedari tangan Su Qianci menghampiri wajahnya, Tang Mengying bergelut tetapi dia telah ditampar sebelum sempat dia mengangkat tangannya. Kemudian, tamparan kedua hinggap di pipinya, diikuti tamparan ketiga dan keempat…

Su Qianci menampar Tang Mengying seperti orang gila dan menarik perhatian semua orang di situ. "Tak tahu malu, tak tahu malu!" Dia menjerit sambil memukul Tang Mengying. Nenek Rong terkejut tetapi tidak cuba untuk menghentikannya.

Bagus! Macam itulah!

Nenek Rong mengelap air matanya dan memandang situasi itu dengan dingin.

Li Sicheng sedang bercakap dengan Atuk dan pintu wad Atuk terbuka. Sebaik terdengar suara Su Qianci, hatinya berasa berdebar dan dia terus berlari keluar. Pada saat itu, dia melihat isterinya sedang menampar seseorang dengan kuat.

"Tak tahu malu, tak tahu malu!" Su Qianci terus menampar Tang Mengying sambil menangis. Hati Li Sicheng terasa pedih dan dia menarik Su Qianci. Tangan isterinya itu telah menjadi merah. Sebaik merasakan seseorang sedang menariknya, Su Qianci bergelut dengan kuat. Walau bagaimanapun, apabila menyedari orang itu ialah suaminya, Su Qianci berhenti. Seluruh tenaganya hilang dan dia rebah ke dalam pelukan Li Sicheng sambil menangis dengan kuat.

Li Sicheng memeluknya erat sambil berbisik, "Tak apa. Tak apa…"

Wajah Tang Mengying merah dan bengkak. Serangan mengejut daripada Su Qianci tidak dijangka olehnya. Dia langsung tidak berpeluang untuk melawan kembali.

Salah seorang yang memerhatikan kejadian itu datang melihat keadaan Tang Mengying dan terkejut. "Oh Tuhan, tengoklah muka kamu. Cepat, pergi jumpa doktor. Ia nampak teruk. Saya akan bawa kamu…"

Tang Mengying tidak mengendahkan orang yang baik hati itu sebaliknya merenung Su Qianci dan Li Sicheng dengan dingin. Su Qianci yang berada dalam pelukan Li Sicheng terus menangis seperti budak kecil, seolah-olah dia yang baru sahaja ditampar.

"Tak apa… Jangan menangis. Atuk mesti sedih kalau dia dengar." Li Sicheng memeluk Su Qianci erat sambil menenangkannya dengan lembut seakan bercakap dengan budak kecil.

Hati Tang Mengying terasa remuk dan lebih sakit daripada wajahnya. Dia tidak tahu Li Sicheng boleh bersikap sebaik itu…

Su Qianci berkata dalam tangisannya, "Abang, saya nak balik. Rumah kita."

"Ya, rumah, saya bawa kamu balik rumah."

"Abang sayangkan saya, kan?"

"Saya sayang kamu dan hanya kamu."

"Abang tak akan pernah terima perempuan itu kan?"

"Tak, saya hanya mahukan kamu."

Setiap patah perkataan ibarat pisau yang menikam hati Tang Mengying.

Su Qianci tersenyum dan menyembamkan wajahnya ke dada Li Sicheng. "Bawa saya balik, Abang."

"Mari pergi." Kepedihan yang dirasakan pada hati Li Sicheng hampir membuatkannya tidak berdaya. Dia menjeling Tang Mengying dengan dingin sebelum berkata kepada Nenek Rong, "Bawa Cik Tang jumpa doktor. Saya akan bayar rawatannya. Tolong pastikan kandungannya selamat."

Bukankah perempuan itu mengatakan kandungan itu adalah anaknya? Jadi dia akan lihat Tang Mengying jalani satu lagi ujian DNA. Walau bagaimanapun, pesanannya kepada Nenek Rong mempunyai maksud yang berlainan dalam fikiran Su Qianci. Dia melepaskan tangan Li Sicheng dan berdiri tanpa berkata apa-apa.

Li Sicheng mendukung Su Qianci keluar dari hospital itu. Dia meletakkan isterinya itu di tempat duduk sebelah pemandu dan memakaikannya tali pinggang keledar, tetapi tiba-tiba satu tamparan hinggap di pipinya. Li Sicheng memandang Su Qianci dan melihat air mata berlinangan jatuh dari mata yang kelihatan penuh dengan kebencian itu…