webnovel

Menghiris Seribu Batang Lobak Putih

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Ia terang bagaikan bulan purnama dalam kegelapan dan jelas seperti bintik putih dalam dakwat hitam.

Mata anjing hitam besar itu merenung tulang rusuk pada penyepit Bu Fang. Tulang rusuk itu disaluti sos masam manis berwarna oren dan harumannya yang menggoda.

Anjing itu memandang dengan penuh rasa mengidam dan membuatkan Bu Fang melompat terkejut.

"Hai, Si Hitam, tahu tak betapa menakutkan bila kamu tiba-tiba keluar macam ini?" Tangan Bu Fang menggeletar dan hampir terlepas Tulang Rusuk Masam Manis dari penyepitnya.

Lidah Si Hitam terjulur keluar dari mulutnya sambil ia melihat Bu Fang.

"Kamu nak makan?" Bu Fang melambai tanpa perasaan sekeping Tulang Rusuk Masam Manis sementara Si Hitam menganggukkan kepalanya dengan lidah terjulur.

Namun, wajah kaku Bu Fang tak berubah walaupun mulutnya melebar dengan senyuman. Kemudian, dia membuka mulutnya dan menyuap Tulang Rusuk Masam Manis yang kelihatan lembut berlemak itu ke dalam mulutnya.

Seluruh mulutnya membonjol ketika dia menggigit dan mengunyah Tulang Rusuk Masam Manis itu. Terdapat juga sedikit kesan sos masam manis pada bibirnya.

Mata Si Hitam merenung Tulang Rusuk Masam Manis sejak tadi. Apabila ia mendapati Bu Fang hendak makan tulang rusuk itu, matanya bertukar gelap dan keinginannya untuk terus hidup hilang kerana ia merasakan seperti seluruh langit akan runtuh.

'Geram betul! Manusia ini pasti sengaja buat begitu!' Si Hitam berfikir.

Kerana tulang rusuk itu, Si Hitam menjadi sangat marah. Bulunya di belakang badannya berdiri tegak dan ia menunjukkan taringnya sambil merenung ke arah Bu Fang.

Bu Fang, pada masa itu tak ada masa untuk mengendahkan Si Hitam. Rasa daging Khinzir Awan Terbang yang begitu enak sedang meletup di dalam mulutnya. Haruman kaya daripada daging itu meletup dengan serta-merta seperti bom dan memenuhi deria rasanya.

Sos masam manis yang dimasak sempurna itu dicampur dengan daging khinzir gred tinggi yang rasanya tidak terlalu masam atau manis.

Tekstur daging tidak keras dan ia menjadi rangup selepas digoreng. Rasa salutan tepung yang dimakan bersama daging khinzir itu amat lazat.

Daging khinzir yang digunakan ialah daging berhampiran tulang belakang dan telah dilembutkan secukupnya oleh Bu Fang. Terdapat juga rawan-rawan yang rangup di dalamnya, yang membuat bunyi keriut dan menambah rasa apabila dikunyah.

Mata Bu Fang bersinar sepenuhnya sambil dia mengambil satu keping lagi Tulang Rusuk Masam Manis dan menyuapnya masuk ke dalam mulut dengan pantas. Matanya mengecil sambil dia mengunyah tulang rusuk dengan penuh nikmat dan tenggelam dalam lautan haruman.

Anjing hitam besar itu berasa sangat marah! Ia menggoyangkan ekornya sambil berjalan ke hulu ke hilir. Matanya penuh dengan konflik sambil ia berfikir, 'Patutkah aku rampas saja tulang rusuk daripada manusia bodoh ini?'

'Tidak, bagaimana kalau manusia ini tak nak beri makan anjing kacak ini nanti? Deria rasa anjing kacak ini sudah terbiasa dengan masakan manusia bodoh ini!'

'Patut ke aku rampasnya? Mungkinkah aku tak patut rampasnya?' Kepingan Tulang Rusuk Masakan Masam Manis hampir hilang daripada pinggan porselin biru dan putih. Si Hitam rasa seolah-olah hatinya makin kosong...

Akhirnya, tinggal sekeping tulang rusuk di atas pinggan.

Penyepit Bu Fang perlahan-lahan mendarat di atas tulang rusuk yang terakhir. Saat itu, sos masam manis yang menyalutinya terpercik dan memenuhi udara dengan bau harum.

Mata Si Hitam bergenang dengan air mata sambil ia menatap kepingan terakhir itu!

Bu Fang masih mengunyah; ekspresinya kelihatan lucu seperti komik, dan mungkin ini ialah ungkapan dia yang paling menarik.

"Ambillah ni. Nampaknya saya masih terlalu baik hati." Bu Fang berkata sambil menyerahkan kepingan terakhir itu kepada Si Hitam.

Si Hitam berasa sangat gembira. Matanya dipenuhi dengan sinaran yang tak dapat dijelaskan ketika ia memakan sekeping tulang rusuk dengan satu gigitan.

Aroma yang kaya daripada daging itu meletus di dalam mulut Si Hitam sehingga seluruh badannya menggigil. Dengan wajah yang penuh dengan keseronokan, ia melolong kecil.

Bu Fang terkejut... Bagaimanakah ia bertukar daripada seekor anjing menjadi seekor serigala hanya dengan makan sekeping daging?

Selepas menelan tulang rusuk itu, Si Hitam masih sedikit tidak berpuas hati. Walau bagaimanapun, Bu Fang yang dahsyat itu sudah habiskan semuanya. Ia hanya boleh kembali ke pintu masuk dan sambung tidur.

Malah Bu Fang dengan santanyai membersihkan pinggan dan pergi tidur.

Keesokan paginya, Bu Fang bangun awal.

Dia menuju ke dapur selepas mencuci muka. Dia bangun begitu awal hanya untuk berlatih Teknik Pemotongan Meteor yang disebut oleh sistem. Bunyinya agak menarik.

Ketika Bu Fang masuk ke dapur, pandangannya tertumpu ke arah pisau dapur yang tebal dan besar.

"Sila hiris seribu batang lobak putih menggunakan pisau dapur khas ini dalam masa satu jam. Setiap hirisan perlu berukuran sama. Selepas tuan sudah selesai, tuan akan dianugerahi dengan sepuluh markah Penguasaan Teknik Pemotongan Meteor," kata sistem dengan bersungguh.

Hiriskan seribu batang lobak putih dalam satu jam dan setiap ukuran hirisan harus sama... Itu misi yang hampir mustahil untuk dicapai cef biasa, tapi bukan untuk Bu Fang.

Namun, bila dia mengangkat pisau dapur yang tebal dan besar itu, wajahnya menjadi gelap.

Pisau dapur yang diperbuat daripada bahan yang tak diketahui itu sangat berat. Bila dia menggunakan sebelah tangan, Bu Fang hanya dapat mengangkatnya. Agak susah kalau dia terpaksa menggunakan pisau dapur ini untuk menyelesaikan misi.

"Sistem, adakah kamu sengaja membuat perkara susah bagi saya?" Bu Fang bertanya pada sistem dengan penuh dingin.

"Sebagai seorang pemuda yang bercita-cita menjadi Tuhan Masakan, tuan rasa tuan tak boleh atasi sedikit kesusahan? Jalan untuk menjadi Tuhan Masakan tidaklah mudah. Anak muda, kamu perlu belajar untuk menahan rasa susah. Sistem rasa tuan mesti boleh lakukannya, bekerja keraslah." Galakan sistem menyebabkan Bu Fang terkejut.

Dia tahu tak guna jika dia berdebat dengan sistem, jadi dia hanya boleh berlatih mengikut arahan.

Mengambil lobak putih yang berisi, Bu Fang mengangkat pisau dapur itu dan mula menghiris dengan penuh mahir. Lobak itu hanya lobak putih biasa, tetapi kualitinya sangat baik dan kelihatan enak dan berisi.

Setelah lobak pertama habis dihiris, Bu Fang segera mengambil lobak yang kedua dan menghirisnya tanpa perasaan. Oleh kerana dia telah bermula berlatih, dia akan buat dengan sepenuh hati. Teknik pemotongan sebenarnya ialah sejenis kemahiran yang memerlukan perhatian penuh dan memberikan tumpuan ialah satu-satunya cara untuk menyempurnakan kemahiran.

Dengan itu, bunyi pisau dapur memotong di atas papan kedengaran di Restoran Fang Fang sejak awal pagi.

...

"Eh, Tauke busuk tak buka kedai hari ini?"

Ketika Ouyang Xiaoyi dan orang lain tiba di Restoran Fang Fang, mereka mendapati sudah ada sekumpulan orang yang beratur di hadapan pintu masuk. Ramai di antara mereka cuba mengintip ke dalam kedai dengan wajah yang penuh keraguan.

"Hmph! Jangan beritahu saya dia tahu tentang pertaruhan kami dan takut membuka kedai?" Zhao Ruge, berpakaian putih itu mengejek.

"Tauke Bu takut? Adakah kau datang ke sini untuk membuat lawak? Kau hanya perlu menunggu dan menyerahkan Pil Pengumpul Tenaga Semangat Kelas Kelima kepada kakak Yanyu!" Loli kecil mendengus sambil membalas.

Tiga orang orang gasar keluarga Ouyang dan adik-beradik Xiao juga berada di situ. Mereka juga pelik kenapa kedai itu belum dibuka untuk perniagaan.

"Tauke Bu mungkin ada hal lain." Xiao Yanyu berkata lembut dengan suaranya yang indah, "Mari kita tunggu seketika."

Saat dia berhenti bercakap, pintu masuk restoran tiba-tiba dibuka dan Bu Fang tanpa ekspresi muncul di depan mata mereka.

"Restoran dibuka untuk perniagaan." Bu Fang berkata dan dia kembali masuk.

Hanya ada lapan orang dalam barisan dan selepas mengambil kira Zhao Ruge dan lain-lain, hanya ada lima belas pelanggan sahaja.

Ouyang Xiaoyi pun bersungguh-sungguh berlari ke dalam untuk membantu dan dia ingin mengambil kesempatan untuk bertanya pada tauke busuk mengenai status pembuatan wain.

"Eh? Tauke busuk, kenapa tangan kamu menggeletar?" Ouyang Xiaoyi melihat tangan Bu Fang yang asyik bergerak-gerak.

Bu Fang melihatnya seketika dan hanya berkata, "Tak ada apa. Sekejap lagi baiklah tu."

Tangannya menggeletar kerana dia telah menghiris lobak putih dengan pisau dapur yang berat itu lebih daripada satu jam... Kalau guna pisau biasa pun tangannya akan menggeletar, inikan pula bila dia menggunakan pisau khas yang berat itu.

Tak lama kemudian, sistem memanipulasi aliran tenaga yang lembut untuk mengalir ke dalam tangan Bu Fang, menyebabkan getaran dan kekejangan itu hilang.

Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya memesan hidangan mereka dengan rasa teruja dan Xiaoyi tidak segera memberitahu Bu Fang tentang pertaruhan mereka. Selepas Si Gemuk Jin dan lain-lain berpuas hati, akhirnya sampai giliran Zhao Ruge dan lain-lain masuk ke dalam restoran.

Ketika Zhao Ruge melangkah masuk, tiba-tiba dia rasa hendak menangis... Dia akhirnya dapat merasakan hidangan restoran ini!

"Tauke Busuk, orang ini bertaruh dengan kami bahawa kualiti wain yang kamu buat lebih rendah daripada Wain Nektar Berhias Permata dari istana!" Sementara Zhao Ruge dan lain-lain masuk ke dalam restoran, Ouyang Xiaoyi berkata kepada Bu Fang dengan kuat.

Bu Fang agak terkejut, tetapi kemudian menjawab tanpa perasaan, "Wain Nektar Berhias Permata itu... tak sedap pun."