38 Loli Lidah Beracun Tak Mungkin Boleh Kahwin

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Apa kau kata?!" Ouyang Xiaoyi sangat marah sambil dia menjerit dan merenung ke arah Zhao Ruge dan memuncungkan bibirnya.

"Bagaimana Wain Nektar Berhias Permata boleh dibandingkan dengan seluruh restoran tauke busuk? Zhao Ruge ni bodoh ke? Dia tahu ke tentang restoran tauke busuk? Kalau pun Wain Nektar Berhias Permata itu mahal, satu balang hanyalah lima ratus syiling emas. Itu pun tak setanding harga sepinggan Nasi Goreng Telur biasa!" fikir Ouyang Xiaoyi.

"Ouyang Xiaoyi, salah ke aku cakap? Bernilai sangat ke restoran yang terletak di lorong terpencil begitu?" Zhao Ruge berkata sambil mengejek dan tak mengendahkan pandangan marah loli itu.

"Hmph! Nampak sangat kau tak pernah rasa hidangan tauke busuk!" Ouyang Xiaoyi mendengus dan menolehkan kepalanya tanda menyampah. "Kalau kau pernah rasa, kau tak akan cakap macam tu. Cuba kau tanya orang yang pernah rasa hidang Tauke Bu dan tengok sama ada jawapan mereka sama bodoh macam kau."

"Kebodohan tak menakutkan. Yang menakutkan ialah kau tu berlagak sombong sedangkan kau tak tahu apa-apa!"

Wajah kacak Zhao Ruge bertukar masam dan dia sangat marah sehingga hampir muntah darah. Macam mana dia tak pernah sedar selama ini yang Ouyang Xiaoyi mempunyai lidah beracun! Loli dengan lidah beracun tak mungkin dapat berkahwin!

Bila Xiao Yanyu dan lain-lain terpandang Zhao Ruge yang telah diaibkan, mereka tak boleh menahan diri daripada ketawa. Ini menyebabkan wajah Zhao Ruge menjadi lebih masam seperti seluruh dunia mengetawakan dia.

Dan seperti yang dia jangka, Xiao Yanyu dan lain-lain mengetawakan kebodohan dia.

"Tuan muda, ini adalah Wain Nektar Berhias Permata yang dikurniakan Tuanku. Sila rasa." Beberapa gadis istana yang langsing dan cantik dengan suara selembut buih sedang membawa balang nilam sambil mereka pergi ke setiap meja dan menuang wain dengan berhati-hati.

"Wain Nektar Berhias Permata ini sangat laris sehinggakan bandar diraja hanya mendapat bekalan sebanyak dua ribu balang saja setahun. Kali ini, Tuanku mengeluarkan lima ratus balang untuk meraikan kejayaan Jeneral Xiao. Kamu semua patut rasa wain berkualiti tinggi yang tak mungkin boleh didapati di restoran yang menyedihkan itu!" Zhao Ruge mengangkat cawan wain dan mengejek.

Xiao Xiaolong dan tiga orang gasar keluarga Ouyang sudah pun tertawan apabila melihat wain itu.

"Hmph! Siapa kata tauke busuk itu tak ada wain? Dia sedang membru wain sekarang ini!" Ouyang Xiaoyi berkata kerana tak mahu mengaku kalah.

Mata Zhao Ruge bersinar. "Oh, kalau macam tu mari kita bertaruh. Kita buat pertaruhan sama ada wain di restoran itu mampu menandingi Wain Nektar Berhias Permata!"

"Bertaruh? Kau mahu bertaruh dengan adik kami?!" Sebelum Ouyang Xiaoyi sempat menerima pertaruhan itu, ketiga-tiga orang gasar keluarga Ouyang itu menggertak.

Keluarga Ouyang memang sentiasa mengambil berat pendidikan ideologi keturunan mereka dan mereka lebih tegas dengan Ouyang Xiaoyi. Biasanya, mereka akan menggesa Ouyang Xiaoyi untuk berlatih seni mempertahankan diri dan seni sulaman untuk menjadikannya seorang wanita muda yang cantik, bijak dan atletik.

"Perkara pertama yang Zhao Ruge sebut ialah pertaruhan; adakah dia cuba nak menyesatkan adik kita?"

"Aku terima pertaruhan kau," ketiga-tiga orang gasar keluarga Ouyang berjaya menahan Ouyang Xiaoyi daripada menerima pertaruhan itu, tapi Xiao Yanyu yang senyap itu pula yang membuka mulutnya yang merah dan lembut itu sambil berkata perlahan.

Semua orang terkejut yang dewi, Xiao Yanyu, sanggup bertaruh dengan Zhao Ruge.

"Bagus! Kalau dewi ini kalah, kau akan menemani aku naik bot untuk melihat bulan selama satu malam. Bagaimana?" Zhao Ruge sangat seronok. Dia baru sedar yang Xiao Yanyu yang biasanya pendiam dan tenang boleh buat sesuatu secara spontan.

Xiao Yanyu tersenyum lemah. Wajahnya yang cantik seperti lukisan itu mampu menawan sesiapa saja yang melihatnya.

"Baiklah, tapi jika kau kalah, kau perlu berikan aku Pil Menghimpunkan Semangat kelas kelima," Xiao Yanyu berkata dengan acuh tak acuh. Suaranya yang merdu seperti kicauan burung itu terngiang-ngiang seperti guruh di telinga Zhao Ruge.

"Ini… Pil Menghimpunkan Semangat kelas kelima agak…" Zhao Ruge berkata teragak-agak. Secara jujurnya, dia tak mampu mempertaruhkan Pil Menghimpunkan Semangat itu.

"Celaka, kau berlagak masa bertaruh dengan adik aku. Sekarang bila si dewi yang bertaruh, kau jadi macam anjing? Kau pandang rendah adik aku ke apa?" Ouyang Zhen berteriak sambil menuding jari ke arah Zhao Ruge.

"Dia takut kalah," Ouyang Xiaoyi berkata sambil mengejek dan menyilangkan tangannya di dada.

Kalah? Adakah dia akan kalah? Ada kemungkinan ke Zhao Ruge yang banyak helah itu, dan merangka strategi membunuh Raja Pertempuran kelas kelima - sedangkan dia hanya Maniak Pertempuran kelas ketiga masa itu - betul takut kalah… Tak, adakah dia akan kalah?

"Aku terima! Tak mungkin restoran sebegitu ada wain yang bagus," kata Zhao Ruge sambil mendengus.

Sambil jamuan keraian diteruskan di Dewan Besar, Bu Fang dengan gembira menajamkan pisaunya di dapur.

Dia mengambil satu bahan yang disediakan sistem dari peti sejuk beku.

Bahagian babi yang digunakan dalam Tulang Rusuk Masam Manis ialah daging berhampiran tulang belakang. Tulang belakang itu dipotong kecil dulu dan dicampurkan dengan kanji. Kemudian, setiap bahagian digoreng celur dalam kuali berisi minyak. Akhirnya, satu sos masam manis istimewa akan dituang di atasnya untuk melengkapkan hidangan.

Tulang rusuk utama yang diletakkan di atas papan pemotong tak sama dengan yang digunakan dalam Shumai Keemasan, iaitu daripada Babi Berapi. Tulang rusuk yang tebal dan lembut itu penuh dengan tenaga semangat dan bercorak seperti marmar jelas seperti lukisan. Jelaslah ia bukan daging babi biasa.

"Daging babi ini datang daripada semangat binatang kelas kelima yang berkeliaran di Gunung Tiandang, iaitu Babi Hutan Awan Terbang. Ia dinamakan sedemikian kerana ada tompokan bulu putih di antara bulu hitam yang nampak seperti awan dan ia boleh berlari laju. Babi Hutan Awan Terbang mempunyai peha yang kuat dan berotot tapi rasanya tak sedap. Tapi, daging di bahagian tulang belakangnya bukan sahaja segar dan lembut, tapi penuh dengan tenaga semangat juga. Kualiti dagingnya memang hebat."

"Daging semangat binatang kelas kelima… Ia sangat berharga." Mata Bu Fang bersinar sambil dia mengambil pisau dan memotong tulang rusuk utama. Apa yang memeranjatkan, tulang rusuk itu tak patah dan kesan pemotongan itu menyebabkan lengan Bu Fang kebas.

"Seperti dijangka, daging semangat binatang kelas kelima ini memang luar biasa…" Bu Fang berkata sambil mengeluh, dan dia terus cuba memotong dan melembutkan daging…

Selepas mengasingkan tulang rusuk utama kepada bahagian kecil, dia meletakkannya ke dalam pes kanji yang telah disediakan. Sumber pes kanji itu tak kurang hebatnya. Ia diperbuat daripada kentang semangat yang tumbuh di tanah tandus tengah Empayar Bayu.

Selepas setiap bahagian disaluti kanji, Bu Fang menyediakan kuali berisi minyak. Dia menggunakan minyak berkualiti tinggi yang dituang separuh kuali dan menunggu sehingga suhu naik.

Dia menghalakan tapak tangannya ke permukaan minyak, supaya dapat merasa habanya. Bila haba itu cukup panas untuk melecurkan tangannya, Bu Fang menuang semua tulang rusuk bersalut kanji ke dalam kuali.

Pssst!

Sambil daging itu digoreng dalam minyak, kanji di bahagian luar daging mula bertukar kepada warna kuning...

Bu Fang menggunakan penyepit panjang untuk membalik-balikkan setiap ketulan. Dia dengan mahirnya memastikan semua bahagian masak sempurna supaya rasanya seragam.

Bila warna kanji bertukar kuning gelap, Bu Fang mencedok kesemuanya keluar dan meletakkannya dalam mangkuk tembikar besar. Masih ada minyak yang keluar dari permukaan kanji.

Bu Fang berpengalaman membuat sos masam manis. Sistem telah memastikan bahan-bahan penting disediakan dan Bu Fang bebas menggunakannya.

Dengan segera, sos masam manis tangerin disediakan dan ketulan daging dalam mangkuk tembikar juga telah sejuk sedikit. Walaupun masih berwap, minyak telah berhenti menitis keluar dari kanji itu. Dia menuang sos masam manis ke dalam mangkuk tembikar, digaul dan bersedia untuk dihidang dalam pinggan.

Daripada menuang sos masam manis kepada dicampur dengan daging, setiap proses tak lebih daripada tiga puluh saat. Ini menguji kemahiran Bu Fang kerana dia perlu pantas untuk pastikan setiap ketulan disalut sempurna dengan sos.

Dia meletakkan ketulan daging dalam pinggan porselin oval berwarna biru putih dan hidangan Tulang Rusuk Masam Manis yang lazat, beraroma dan menyelerakan itu pun siap.

Haruman masam manis meresap ke udara dan menusuk ke rongga nafasnya membuatkan dia menelan air liur.

Bu Fang mengambil sepasang penyepit buluh dan membawa hidangan Tulang Rusuk Masam Manis itu ke tempat makan. Sambil dia berjalan, haruman itu menyapa mukanya dan membuka seleranya lebih lagi.

Haruman Tulang Rusuk Masam Manis itu sangat kaya kerana campuran rasa manis, masam dan daging.

Anjing hitam besar yang sedang tidur di pintu masuk itu membuka matanya dengan tiba-tiba. Matanya bersinar seperti mentol lampu yang dipasang dalam gelap. Dengan sekelip mata, anjing itu sudah masuk ke dalam restoran.

Bu Fang yang baru saja hendak menyuap seketul Tulang Rusuk Masam Manis ke dalam mulut, menyedari yang sepasang mata anjing yang bersinar sedang memerhatikan… ketulan daging di penyepitnya.

avataravatar
Next chapter