webnovel

Highschool Memories

Pertemuan mereka tidak terlalu singkat. Namun tidak juga terlalu lama. Mereka bertemu dan berpisah atas suratan takdir.

syeriffofheart · Urban
Zu wenig Bewertungen
2 Chs

1 - Era Baru Bermula

Suasana pagi itu hingar dengan gelak tawa para pelajar yang baru sahaja memulakan hari pertama persekolahan setelah bercuti selama lebih sebulan. Banyak cerita dikongsikan berkaitan cuti mereka yang penuh dengan kebahagiaan.

Ada yang melancong bersama keluarga, menyambut hari keluarga bersama-sama dan bermacam kisah lagi. Namun tidak kurang juga yang menceritakan perihal cuti mereka yang hanya berada di rumah dan melakukan aktiviti seharian yang membosankan.

Suasana hingar di kelas ternyata berbeza dengan suasana di dewan sekolah di mana para pelajar tingkatan 1 sedang berorientasi. Sebagai junior baru, mereka masih lagi bingung dengan suasana baru dan belum mengenali sesiapa.

Jika ada yang pernah bersekolah di sekolah yang sama semasa sekolah rendah, mereka duduk bersebelahan. Yang tidak mengenali sesiapa akan cuba memperkenalkan diri dengan insan di sebelah mereka.

Sementara menunggu para fasilitator untuk meneruskan program orientasi tingkatan 1, masing-masing cuba membuat kawan baru.

Namun di satu sudut, seorang gadis kecil yang berkulit putih mulus memencilkan dirinya. Tidak mahu berkenalan dengan sesiapa. Matanya melilau ke serata arah, cuba mengenalpasti keadaan sekeliling.

Pelajar perempuan dan lelaki dipisahkan di mana pelajar perempuan berada di sebelah kiri manakala pelajar lelaki di sebelah kanan.

Pandangan gadis kecil itu terhenti kepada seorang pelajar lelaki bertubuh montel yang sedang lahap mengunyah coklat. Bibirnya mengukir senyum. Comel. Pandangannya beralih pula kepada pelajar perempuan yang sibuk bercerita di hadapannya.

Aneh. Bagaimana boleh mereka punya banyak perkara yang ingin diceritakan padahal baru sahaja berkenalan. Sebagai seorang yang kurang terbuka kepada insan baru, dia menganggap hal itu sangatlah menghairankan.

"Hai." Teguran daripada seseorang pantas membuatkan dia menoleh. Terlihat seorang pelajar perempuan yang sedang tersenyum manis kepadanya.

"Nama awak siapa?" Pertanyaan ramah itu dia balas dengan senyuman nipis sebelum menjawab sopan, " Dahlia."

Jawapannya mengundang senyuman lebar di bibir yang bertanya.

"Saya Hani." Salam perkenalan diberi. Selepas itu, tiada lagi bicara di antara mereka melainkan pertanyaan Hani kepada Dahlia tentang sekolah lamanya dan asal dari mana. Lebih daripada itu, mereka belum cukup saling mengenali.

Sesi orientasi berjalan dengan lancar. Sepanjang program berlangsung, Dahlia dan Hani tidak pernah berenggang. Apatah lagi apabila mereka berdua berada di kumpulan yang sama.

Walaupun tidak banyak perbualan di antara mereka, berada di sisi antara satu sama lain sudah tidak janggal lagi di antara mereka.

Seminggu selepas itu berakhirlah sudah sesi orientasi tingkatan satu dan mereka diagihkan kepada 4 kelas. Penilaian dilakukan melalui ujian yang dijalankan.

Sekali lagi, Hani dan Dahlia berada di dalam kelas yang sama. Hubungan mereka semakin erat malah mereka dianggap teman rapat kerana di mana ada Hani di situ ada Dahlia dan begitu juga sebaliknya.