webnovel

Game Over, Mr. Panther!

“Kalau kita dapat bunga yang pengantin lambung, tu maknanya jodoh kita dah dekat. Hahaha! What a nonsensical fact is that?” – IZZ HANA Dia bagaikan air. Dan air selalu menang jika berlawan dengan api. Mempermainkan lelaki adalah satu hobi untuk Izz Hana. Seorang gadis periang dan selamba. Luarannya kelihatan ‘innocent’ tapi hakikatnya ‘killer’ dalam permainan cinta. Tapi, apa yang akan terjadi apabila ‘air’ tidak dapat mengalahkan ‘api’ itu? Dialah Shah Danish, seorang pemuda yang dingin dan senang naik angin. Juga digelar ‘Mr. Panther’ oleh Izz Hana. Dia bukanlah lelaki sempurna yang menjadi dambaan wanita. Tidak lagi sejak dia ditimpa kemalangan yang mengakibatkan kakinya lumpuh. Namun begitu, Izz Hana bukanlah gadis yang mudah bersimpati dengan orang lain. Shah Danish dijadikan peserta seterusnya. Peserta yang dijemput tanpa diundang ke dalam permainan cintanya. Setiap bait yang diucapkan gadis itu hanyalah poin untuk mendapat ganjaran. “Kau ni pekak ke apa? Aku dah cakap, aku tak ada selera nak makan. Itu pun susah sangat ke kau nak faham?” – SHAH DANISH “Encik Shah, tak payah nak berdalih sangatlah. Aku tahu kau suka kek ni kan? Sebab tulah aku buatkan khas untuk kau. Barulah manis sikit senyuman tu. Sejuk mata aku memandang.” – IZZ HANA Setiap kali gadis itu berkata-kata, kali itu jugalah lidahnya kelu. Walau sekeras mana hatinya, akhirnya Shah Danish kalah dalam permainan cinta Izz Hana. Kehadiran gadis itu sudah meniup semangatnya untuk berubah. Tapi, apa yang akan terjadi apabila rahsia gadis itu terbongkar? Selepas enam bulan berlalu, mereka berjumpa semula sebagai pesakit dan doktornya. “Kenapa Encik Shah pandang saya macam tu? Kalau awak tenung saya lagi, nanti saya suruh nurse siapkan pembedahan untuk awak. Daripada kaki tu baru nak elok, baik tak ada kaki terus.”

Sariel_Y · Teenager
Zu wenig Bewertungen
6 Chs

BAB 5

LUKISAN di dalam pejabatnya sangat cantik. Aku yang tidak pandai melukis pun kagum dengan lukisan itu. Ianya cukup romantik. Lelaki dingin sepertinya juga masih ada hati untuk memiliki lukisan sebegini.

Aku mengalihkan pandangan ke arah lain. Aku tahu Shah masih merenungku sejak tadi. Aura hitamnya dapat aku rasakan. Berapa lama lagi dia perlu tenungku begitu?

"Aku tahulah aku cantik tapi janganlah tenung lama-lama," ujarku dengan selamba.

Kedengaran dia berdehem. Aku menoleh ke arahnya bersama senyuman manis. Agaknya apa komennya tentang kek yang dibuat olehku?

"Biasa aje. Tak ada kek lain ke yang kau nak buat?"

Lelaki itu memang dilahirkan beginikah? Keras benar lidahnya untuk memujiku. Tapi, aku tidak akan sesekali mengalah. Kemahiranku dalam permainan inilah yang berguna sekarang.

"Bukan ke kau suka kek red velvet? Aku dah buatkan khas untuk kau, tahu tak?"

Dia tersenyum sinis. Aku masih mengekalkan senyuman manis di bibir. Aku tahu apa yang dia bakal katakan.

"Macam mana kau tahu aku suka kek red velvet?" soalnya dingin.

Sengaja aku mengangkat bahu. Langkahku diatur mendekatinya. Pemegang kerusi rodanya aku pegang. Dia nampak terperanjat dengan tingkahku. Senyuman sinisnya pudar. Sekarang, dia memandangku dengan mata yang membulat.

Aku menggigit bibir seraya merapatkan bibirku ke telinganya. Permainan bermula!

"I can see it in your eyes, Encik Shah. You like it, don't you? Tak salah kau ringankan mulut untuk puji aku, kan?" bisikku. Betul-betul pada deria pendengarannya.

Perlahan-lahan, aku menjauhkan diri darinya. Aku senyum lagi apabila halkumnya bergerak sedikit. Riaknya berubah. Setahu aku, aku belum lagi cuba memikatnya dengan kata-kata yangs sering aku gunakan selamai ini. Tapi lelaki ini seperti cepat rasa tergugat apabila aku mendekatinya.

Kiranya, dapatlah satu poin untukku. Shah Danish, mungkin hatinya keras tapi sifat lelakinya masih tidak berubah.

"So?"

Dia melarikan anak matanya daripadaku. Seketika kemudian, dia berdehem lagi. Sekarang, dia nampak tidak berpuas hati.

"Kau ni memang nak kena pecat, kan? Lain kali kau buat macam tu, aku takkan teragak-agak untuk pecat kau terus!"

"Kan aku dah cakap, aku tak kisah kalau dipecat. Ramai lagi yang nak ambil aku bekerja," balasku dengan tenang.

Dia mengetap gigi. Aku tahu dia geram dengan sikapku yang tidak ambil peduli akan amarannya. Tapi, aku tidak kisah semua itu. Dia takkan berani memecatku. Selain Cef Muaz, Cef Fikri dan Suraya, dia juga memerlukan khidmat aku untuk mengekalkan reputasi hotelnya.

Shah kembali fokus menatap komputer ribanya. Kek baldu merah yang aku sediakan untuknya dibiarkan di atas meja. Dia tidak lagi mempedulikan aku. Okey, dia mahu terus bersikap dingin ya? Kali ini aku akan biarkan dia lakukan apa saja yang dia mahu. Tapi kali yang seterusnya, aku tidak akan berputus asa.

Aku berjalan ke pintu pejabatnya. Belum sempat aku mencapai tombol, suara dinginnya menghentikan aku.

"Kau nak pergi mana?"

Walaupun soalannya ditanya dengan agak dingin, aku masih tersenyum. Aku berpaling ke belakang untuk memandangnya.

"Nak turun bawahlah. Bukan ke tadi kau kata ada klien penting yang nak menginap kat sini? Jadi sekarang, aku nak siapkan makanan tengah hari."

"Tak payah. Cef Muaz boleh uruskan semuanya."

Sengaja aku memuncungkan bibir. "Takkan nak harapkan Cef Muaz aje? Aku pun pekerja kat sini juga."

Terhincut bahuku apabila dia menghentak meja. Dia merengus lalu merenungku dengan tajam.

"Menjawab! Bukan ke aku dah kata, kau dah jadi cef peribadi aku. Kau tak perlu rajinkan diri siapkan makanan bagai. Bila aku cakap 'peribadi', maksudnya kau cuma dibenarkan memasak untuk aku aje."

"Tapi…"

"Sekali lagi kau menjawab, aku akan pecat kawan kau tu!"

Aku menghela nafas perlahan. Cuba mengawal rasa geram di hadapannya. Sesuka hati saja dia mengugutku. Kalau diikutkan hati, pasti aku akan tolak kerusi rodanya sambil berlari di seluruh tingkat hotel. Biar dia menjerit dan merayu minta belas kasihan.

Aku kembali memandangnya. Dia berpeluk tubuh tanpa melarikan anak matanya daripadaku. Aku membuang pandangan ke arah lain. Menyampah! Dia fikir dia sangat berkuasa ke atasku? Jangan harap!

Kedengaran lagu How Do You Sleep dari poket. Aku mengeluarkan telefon pintar dan tertera nama 'Naufal' di skrin. Tanpa menghiraukan Shah, aku terus menekan butang hijau.

"Helo, Naufal." Sengaja aku menyebut nama Naufal di hadapan Shah.

Di hujung talian, Naufal mengajakku keluar untuk makan tengah hari. Katanya, sehingga aku menyelesaikan misi dia akan belanja aku makan setiap hari. Yalah, selama ini aku yang selalu mengorbankan duit untuk belanja dia makan. Bukan dia saja, malah Harraz juga.

"Okey, kalau macam tu kita jumpa kat sana."

Butang merah aku tekan seraya mengunci telefon. Aku menoleh ke arah Shah. Senyuman manis aku tayangkan.

"Encik Shah, aku nak pergi lunch ya? Aku dah siapkan lunch untuk kau. Nanti aku minta Cef Fikri tolong bawakan," ujarku selamba.

"Apa-apa ajelah! Pergilah sesuka hati kau. Pastikan sebelum pukul dua kau dah ada kat sini. Faham?" soalnya dengan tegas.

Aku senyum nakal. Pintu pejabatnya aku buka.

"Aku tak janji."

"Hana!"

Aku ketawa kuat. Jeritannya jelas kedengaran dari luar pejabatnya. Sungguh, aku seronok mengusiknya. Kalau ayahanda nampak apa yang aku lakukan tadi, pasti dia menggeleng berkali-kali. Keanak-anakan, itulah perkataan yang akan disebutnya.

Sejak kecil lagi, ayahanda selalu mengingatkan aku dan Harraz untuk menjadi orang yang berkarisma apabila berhadapan dengan orang lain. Aku perlu menjaga adab dan sentiasa menjadi matang. Statusku sebagai anak perempuan Tengku Fayyadh dan Tengku Surina amat dikenali semua golongan berada. Jadi, tidak mustahil Shah juga tahu tentangku memandangkan Uncle Daniyal rapat dengan ayahanda.

Tengku Izz Hana. Itulah nama aku yang dikenali orang. Sebelum ini, belum ada lagi orang yang memanggilku Hana. Malah, keluargaku dan keluarga Shah juga memanggilku Izz. Jadi, aku tidak perlu menggunakan nama samaran untuk melaksanakan misi.

UDANG karang yang penuh di dalam pinggan membuatkan aku terliur. Aku sukakan udang karang! Pantas garpu dan pisau aku ambil. Udang karang yang paling besar aku masukkan perlahan-lahan ke dalam pinggan.

"Oppa, kamsahamnida!" ucapku dalam bahasa Korea. Sungguh, aku terlalu teruja untuk menjamah makanan laut kegemaranku.

Aku cuba mengopek cengkerang udang yang keras. Argh! Walaupun aku sangat sukakan udang karang, tapi bahagian inilah yang aku benci. Dari dulu lagi, aku tidak pandai membuang cengkerang udang ini. Isinya menyelerakan tapi luarannya menghampakan.

"Kau ni, dah banyak kali aku ajar. Nak makan pun menyusahkan orang. Sini, biar aku yang buat," kata Naufal seraya mengambil pingganku.

Aku rasa kagum setiap kali dia tolong membuang cengkerang udang karang untuk memudahkan aku menikmati makanan. Lagaknya seperti seorang abang kepadaku amat aku hargai.

Pingganku dikembalikan semula. Tanpa membuang masa, isi udang yang lazat aku masukkan ke dalam mulut. Sedap!

"Aku kagumlah dengan kau, Naufal. Benda susah macam ni pun kau mampu buat."

"Kau tu yang lembab. Benda senang macam tu pun kau tak boleh buat. Nak buang cengkerang tu pun tak boleh, Entah macam mana kau boleh mahir guna skalpel."

Hisy! Kedua-duanya berbeza. Mengupas cengkerang lebih susah daripada segalanya. Dia yang sudah mahir tidak perlu mengutukku begitu.

"Nah! Tutup mulut kau." Aku menyumbat isi udang karang ke dalam mulutnya. Barulah mulutnya senyap sementara mengunyah.

"Aku kena balik ke hotel sebelum pukul dua. Nanti kau tolong hantar aku ke masjid terdekat. Kejap lagi dah Zohor," sambungku.

Naufal yang sedang mengunyah mengangguk. Aku menyentuh skrin telefon pintar. Ada mesej daripada Cef Muaz.

Cef Muaz: Hana, apa pasal kau suruh Fikri hantar lunch pada Encik Shah? Sekarang, dia suruh Fikri letak balik makanan tu kat dapur.

Aku: Kenapa pula? Saya ada kat luar ni. Sebab tu saya tak sempat hantar sendiri. Cef ajelah yang bagi.

Telefonku bergetar lagi.

Cef Muaz: Kau kan cef peribadi dia. Mestilah dia nak kau yang hantar sendiri kat dia. Cepat sikit balik sini, tak pasal-pasal mengamuk pula bos tu.

Aku mengeluh. Lelaki itu memang cerewet! Dia mahu aku masakkan makanan tengah hari untuknya, aku sudah siapkan. Sekarang, dia mahu aku juga yang menghidangkannya? Cerewet! Berilah aku masa lapang sedikit.

"Kenapa tu?" soal Naufal ingin tahu. Makanannya sudah pun dihabiskan.

"Si Shah tulah. Cerewet betul lelaki tu. Sehari tak ganggu hidup aku memang tak sah! Aku tukar fikiran, hantar aku ke hotel terus. Nanti aku solat kat sana ajelah. Kalau aku lambat nanti lagi teruk dia mengamuk."

"Laa… takut rupanya. Tempoh hari punyalah berani, kau cakap apa-apa yang jadi kau boleh uruskan. Benda macam ni pun dah gelabah."

"Pembetulan, aku bukan gelabah. Dan aku langsung tak takut dengan si harimau kumbang tu. Kalau dia mengamuk nanti, bukan aku aje yang kena. Semua pekerja kat situ pun akan kena tempiasnya. Aku tak naklah awal-awal dah ada musuh. Rosak reputasi aku nanti," balasku bersahaja.

Naufal ketawa. "Oh ya, apa pasal kau panggil dia harimau kumbang? Dia ada ganas dengan kau ke?"

Aku mengetap gigi. Kalau aku tidak berada di restoran mewah ini, sudah lama kepala Naufal diketuk dengan sudu. Seperti biasa, di luar aku perlu menjaga adab. Aku tidak boleh bersikap keanak-anakan.

"Jangan fikir bukan-bukanlah, Naufal. Aku panggil dia macam tu sebab dia tu nampak menakutkan. Cuba kau bayangkan, setiap kali bertembung dengan dia mesti ada aura hitam kat sekeliling kau. Dia tu perlukan teh tarik ekstra manis. Asyik ketat aje muka dia. Kalau senyum pun, dia akan senyum macam ni." Aku membuat demonstrasi di hadapan Naufal. Senyuman sinis persis Shah.

Abang sepupuku ketawa. Tawanya cuba dikawal untuk menghormati pelanggan lain.

"Seram gila muka kau. Meremang bulu roma aku."

Aku membuat muka sedih. "Itulah perasaanku setiap kali bertentang mata dengannya. Seramnya, oh hanya Tuhan saja yang tahu."

Kami ketawa. Aku kembali menghabiskan makanan yang masih bersisa.

TELEKUNG surau aku gantung semula. Aku menepuk bedak tipis di muka lalu mengoles lipstik berwarna krim merah jambu di bibir. Aku menyisir rambut supaya kekal kemas semula. Rambutku diikat menjadi tocang kuda.

Kasut sarung bentuk B aku pakai sebelum membuka pintu surau wanita. Aku mempercepatkan langkah ke lif. Baru saja aku menekan butang lif untuk naik ke atas, pintu lif sudah pun terbuka. Nasib aku baik. Tidak perlulah aku menunggu lama.

Butang '12' aku tekan. Pintu lif yang semakin menutup perlahan-lahan aku perhatikan. Belum sempat pintu lif tertutup sepenuhnya, ada tangan seseorang menghalang. Terperanjat aku dibuatnya. Pembantu peribadi Shah, Encik Khai muncul dan sepertinya dia menolak sesuatu dari luar.

Shah! Encik Khai masuk ke dalam lif bersama Shah. Sebaik sahaja pintu lif tertutup, suasana menjadi sunyi. Aku berlagak seperti biasa. Sekarang masih awal sebelum pukul dua. Jadi aku tidak lambat. Tiada sebab untuk dia mengamuk sekarang.

Sementara menunggu, aku menilik pantulan Shah di dinding cermin sebelahku. Mukanya ketat seperti biasa. Nampaknya pagi esok aku memang patut buatkan satu teh tarik ekstra manis untuknya. Aku menilik semula pantulannya. Hampir saja aku menjerit kecil apabila pantulannya juga memandangku.

Aku cuba senyum manis. Kekok rasanya apabila pantulannya merenung tajam ke arahku.

"Encik Shah dah makan ke? Macam mana? Sedap tak nasi ayam yang aku masak?"

Soalanku dibiarkan tergantung. Dalam hati aku ketawa. Pasti dia marah denganku kerana menyuruh orang lain yang melakukan tugasku. Bukankah sebelum keluar tadi aku sudah memberitahunya, aku akan minta Cef Fikri yang hidangkan makanan menggantikan aku. Tidak pula dia membantah tadi.

Ding! Pintu lif terbuka. Encik Khai terlebih dahulu membawa Shah keluar dari lif. Aku hanya mengikutinya dari belakang sehingga sampai di pejabat. Aku membukakan pintu pejabatnya untuk memudahkan Encik Khai menolaknya masuk.

Shah masih berdiam tidak bersuara. Tangannya memberi isyarat kepada pembantu peribadinya untuk menolaknya ke sofa.

"Encik Shah perlukan apa-apa?" soal Encik Khai dengan sopan.

Shah menggeleng. Encik Khai menunduk sedikit sebelum keluar dari pejabat. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan sekarang. Bosan. Daripada terus berlama dengan lelaki itu, lebih baik aku turun ke bawah. Sekurang-kurangnya aku dapat tonton video di youtube sebelum shif seterusnya.

"Encik Shah, aku turun bawah dulu ya?"

"Kau memang sengaja nak buat aku kebulur, kan?"

Aku memandangnya. Dia merengus kasar. Rambut hitamnya diraup ke belakang. Dia nampak begitu tertekan. Takkan dia belum makan lagi? Nasi ayam yang aku masak dengan penuh kasih sayang dibiarkannya. Cerewet!

"Janganlah marah. Aku bukannya sengaja. Cef Muaz cakap kau suruh Cef Fikiri hantar balik nasi ayam tu kat dapur. Kenapa? Aku dah buat apa yang kau nak. Kau minta aku masak nasi ayam, aku dah buat."

"Susah sangat ke kau nak hantar sendiri pada aku?"

Aku mengetap gigi. Geramnya aku! Lelaki ini pekak jugakah? Atau dia sudah hilang ingatan? Aku sudah memberitahunya yang aku tidak akan hantar makanan itu tadi. Dia sendiri yang tidak membantah malah mengalu-alukan aku untuk keluar dari pejabatnya.

Tapi, aku tidak boleh membantah kata-katanya. Kalau aku menjawab, pasti dia akan menyinga.

"Okey." Aku menghela nafas perlahan. "Kau nak aku sendiri yang hantar, kan? Biar aku ambil sekarang."

Aku melangkah keluar dari pejabat. Pintu pejabatnya aku tutup perlahan.

"Fussy guy! Dia fikir aku ni girlfriend dia ke apa? Setiap hari aku sendiri yang kena buat semua benda untuk dia. Macam tak kena aje dia jadi abang Ju. Muka ketat macam buat plastic surgery aje," rungutku dengan nada perlahan.

Sungguh, aku geram dengan lelaki itu. Mahu saja aku kisar cili dan letakkan di dalam mulutnya.

Your gift is the motivation for my creation. Give me more motivation!

I tagged this book, come and support me with a thumbs up!

Creation is hard, cheer me up!

Like it ? Add to library!

Sariel_Ycreators' thoughts