Ramai yang berkata aku laju. Panjang langkah ku bersamaan dengan dua langkah mereka. Lihat sahaja pada tubuh aku. Kalau orang yang tinggi tapi langkahnya pendek kan menjadi sedikit pelik?
Ada juga yang berkata aku padu. Kadang-kadang aku berfikir, "Padu tang mana yang mereka katakan?". Setiap perjalanan tetap meletihkan. Kadang kala sampai terduduk, tersembam dan terlentang. Cuma tidak diperlihatkan secara jelas. Air muka seorang malim gunung perlu dijaga untuk memastikan keadaan mental peserta tidak terjejas.
Apakah untuk menjadi seorang Malim Gunung seseorang itu perlu laju dan padu?
Jawapannya adalah 'Ya' dan juga 'Tidak Semestinya'.
Seorang malim mestilah mampu untuk bergerak dengan laju agar tindakan pantas dapat diberikan pada waktu-waktu kecemasan sahaja. Bukan pada setiap masa untuk menunjuk-nunjuk kehebatan (meskipun tanpa niat) ataupun untuk kepuasan sendiri.
Tidak aku sangkal pada permulaan kerjaya ini aku juga seperti mereka. Laju untuk sampai ke perhentian seterusnya agar memperoleh rehat yang lebih panjang daripada yang lain. Lalu meninggalkan barisan peserta jauh kebelakang tanpa disedari. Bersaing secara santai dengan peserta di barisan hadapan. Untuk apa? Akhirnya tanggungjawap yang sebenar telah kau abaikan.
Seorang Malim Gunung tidak semestinya perlu laju dan padu. Kerana tanggungjawap besar lainnya adalah memastikan keadaan peserta sentiasa selamat dan berada dalam kawalan. Sentiasa bergerak bersama-sama peserta lain dalam jarak yang selamat. Jarak seorang malim tidak boleh menjauhi peserta melebihi tempoh seminit daripada pandangan mata dan capaian komunikasi hendaklah diuji daripada masa ke semasa melalui laungan atau panggilan.
Tujuannya tidak lain dan tidak bukan supaya khidmat anda dapat diberikan dengan pantas. Jangan sesekali menjauhi peserta tanpa tujuan yang kukuh. Dalam aktiviti pendakian gunung, kerjasama antara satu sama lain sangat penting. Hakikatnya, kudrat seorang malim tidak mampu untuk menjaga keselamatan semua peserta yang dibawa.
Memiliki stamina fizikal yang padu adalah satu kelebihan pada seorang malim. Kemampuan fizikal yang tinggi dapat membantu pada situasi kritikal yang sering berlaku dalam setiap pendakian. Ini adalah kerana setiap barisan peserta yang dibawa tidak mungkin sama sekali memiliki kudrat yang setara antara satu sama lain. Selain dapat membantu pendaki lain yang turut berkongsi denai yang sama.