38 Siapa Pencabarnya?

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas menunggu selama beberapa saat, suara pegawai penguasa itu yang kedengaran tenang, dihantar melalui peranti komunikasi itu, "Cadangan kamu telah diluluskan! Kamu akan menerima ganjaran sebaik kamu balik dan menyertai pasukan kamu semula." Pegawai penguasa itu terus memutuskan talian tanpa menunggu sebarang jawapan.

Walaupun talian diputuskan dengan segera, pemeriksa itu tidak kisah. Ekspresi wajahnya yang tadinya ketat, menjadi tenang semula. Dia juga tersenyum kecil.

Dia mengelap peluh di dahinya dan mengeluh lega. Dia bersyukur dia terselamat daripada ketuanya yang menakutkan. Sudah tentu dia juga bangga dengan dirinya kerana dapat melaporkan penilaian yang bagus.

Pada mulanya, dia menyangkakan yang tugasan di akademi pengakap ini hanyalah untuk membolehkan ahli tentera sepertinya berehat, sesuatu yang berbeza dengan rutin harian mereka sambil menambah duit simpanan mereka. Dia tidak menyangka yang dia akan begitu bernasib baik dan menjumpai bakat muda yang hebat. Penemuan ini membolehkan dia mendapat ganjaran tambahan yang akan membantu perkembangan kerjayanya...

Walau bagaimanapun, dia agak hairan. Kenapa ketuanya sendiri ditugaskan untuk memantau ujian ini? Apa yang sedang berlaku sebenarnya?

Pemeriksa untuk bilik 072 ialah sebahagian daripada Pasukan Mecha Khas Persekutuan, ahli Pasukan Operasi Khas, Nombor 413. Sebelum ini, pasukannya baru sahaja kembali daripada medan perang, tetapi sebelum mereka balik ke rumah masing-masing, mereka telah menerima arahan ketenteraan untuk pergi ke Pusat Akademi Pengakap untuk mengawasi ujian pendaftaran tahun ini (dua ujian terakhir).

Dia masih ingat ketika menerima arahan itu, semua ahli pasukannya bingung... Lagipun, mereka semua dianggap sebagai pembunuh kejam di medan perang. Dan sekarang, daripada menjadi penyembelih, mereka akan menjadi pengasuh bagi sekumpulan kanak-kanak?

Sudah tentulah komander Pasukan Khas Mecha ini, Ketua Jahat, iaitu pegawai penguasa ujian ini (mereka menggunakan pangkat ini hanya di khalayak ramai, pangkat yang sebenar hanya diketahui oleh anggota tentera lain), telah membantah tugasan ini, tetapi tidak dipedulikan. Maka, komander mereka terpaksa mengarah Pasukan Operasi Khas menjadi pemeriksa. Walau bagaimanapun, pemeriksa itu tidak sangka yang komandernya sendiri akan turut berada di situ...

********

Pegawai penguasa itu, yang juga merupakan komander Pasukan Khas, menutup peranti komunikasinya dan berkata pada pegawai yang bertugas, "Nombor 137, ini tanggungjawab kamu. Uruskan supaya mereka berempat masuk ke kelas khas, dan markah mereka sederhana saja dalam kelas itu. "

Nombor 137 keliru. "Ha?"

Pegawai penguasa itu memandangnya, walaupun Nombor 137 tidak berkata apa-apa lagi, wajahnya jelas menunjukkan yang dia tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.

Pegawai penguasa itu mengeluh. Kenapalah orang bawahannya ini semuanya bersikap ingin tahu? Tadi 413, sekarang 137 pula.

"Pokok yang tumbuh melebihi hadnya... jika markah mereka terlalu tinggi, ini akan mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan," jelas pegawai penguasa itu. 137 ialah seorang penggodam. Jika pegawai penguasa itu tidak memberikan jawapan yang jelas, 137 akan mencari jawapannya sendiri dan ini boleh menimbulkan masalah.

137 menerima jawapan itu, maka dia tersenyum dan berkata, "Baik, Tuan. Percaya pada saya. "

Oh, sekarang dia sudah puas hati, dia panggil saya Tuan? Pegawai penguasa itu berasa jengkel dengan 137 dan menjelingnya, tetapi dia berlalu pergi untuk memantau pegawai-pegawai yang lain.

Okey, jadi dalam tempoh masa yang singkat, sewaktu dia berhenti untuk bercakap dengan 137, sudah ada beberapa pegawai yang mula menguap di dalam bilik pengawasan, dan ada juga yang sudah tertidur...

Hehe! Adakah mereka fikir yang dia ini ialah seorang pegawai penguasa yang biasa? Berani betul mereka berkelakuan sambil lewa di depannya. Komander Pasukan Khas itu tersenyum jahat. Dia tidak akan membenarkan ahli pasukannya bersikap begini, tidak menumpukan perhatian dan tidak berhati-hati semasa bertugas, walaupun mereka tidak berada dalam bahaya di Pusat Akademi Pengakap ini.

"Perhatian!" dia memberi arahan. Suasana bilik pemerhatian itu terus menjadi huru-hara. Bunyi lolongan dan laungan dapat didengari. Ketua Jahat akan mendisiplinkan anggota tenteranya, dan dia tidak akan menunjukkan belas kasihan pada mereka biar di mana sekalipun mereka berada.

********

Sementara itu, Ling Lan akhirnya bersatu semula dengan ibunya, Lan Luofeng. Lan Luofeng bertanya dengan gelisah, "Sayang lulus ujian tadi?" Sekiranya dia tidak khuatir yang jantina Ling Lan akan terdedah di sekolah, Lan Luofeng sebenarnya tidak kisah dengan keputusan ujian anaknya. Dia tidak pernah berniat mahu menjadikan Ling Lan sebagai seorang anggota tentera yang hebat.

Ling Lan menjawab dengan bangganya, "Mestilah. Saya anak ibulah." Keyakinan Ling Lan menenangkan Lan Luofeng, dan dia juga tersenyum bersama Ling Lan.

Demi kebahagiaan ibunya, Ling Lan sudah terbiasa berkelakuan comel dan seperti seorang kanak-kanak. Walau bagaimanapun, usahanya tidak sia-sia. Lan Luofeng, yang pada awalnya sedih dengan pemergian suaminya, perlahan-lahan mengalihkan perhatiannya pada Ling Lan dan perlahan-lahan kembali bersemangat. Sinar harapan muncul kembali dalam matanya dan kesedihannya sudah dilupakan.

Markah akan diumumkan setengah jam setelah semua ujian berakhir. Ling Lan tidak tahu berapa lama lagi kanak-kanak lain akan menyelesaikan ujian mereka. Jadi, dia mencadangkan pada Lan Luofeng supaya mereka pulang ke rumah untuk menunggu pengumuman markahnya. Lagipun, keputusan akan dipaparkan di laman web Pusat Akademi Pengakap dan boleh dibaca oleh orang ramai.

Lan Luofeng memikirkannya dan bersetuju, maka mereka semua pulang ke rumah.

********

Ketika langit perlahan-lahan menjadi gelap, pelajar terakhir akhirnya menyelesaikan ujian di Pusat Akademi Pengakap. Semua pemeriksa yang bertanggungjawab untuk merekodkan markah, mula memasukkan markah yang telah mereka kumpul ke dalam sistem utama Pusat Akademi Pengakap. Sistem itu kemudiannya akan mengira dan menyusun markah sebelum mengaturnya mengikut turutan menurun bagi menghasilkan senarai nama.

Nombor 137 sedang teruja ketika ini. Sebagai salah seorang daripada 10 penggodam terhebat dalam dunia maya, dia pastinya dapat menyempurnakan misi yang ditugaskan oleh komandernya.

Di rumah Ling Lan, Lan Luofeng duduk di hadapan satu skrin besar untuk menunggu pengumuman markah ujian tadi.

Sementara itu, Ling Lan sedang berbaring di atas sofa dan bercakap dengan Empat Kecil dalam mindanya.

'Empat Kecil, boleh tidak kamu mengakses internet dari sini?' Ling Lan bertanya dengan bimbang. Dia tahu yang Empat Kecil boleh mengakses internet tanpa wayar dari jarak yang tertentu.

Empat Kecil menjawab dengan yakin. 'Boleh. Kalau jauh sikit dari jarak ini juga masih boleh.'

'Empat Kecil, saya mahu kamu memasuki sistem Pusat Akademi Pengakap untuk memastikan saya dapat memasuki kelas khas. Jangan buat benda lain,' kata Ling Lan.

Walaupun Ling Lan yakin dengan dirinya, dia masih ingin Empat Kecil mengawasi markahnya. Dia tidak mahu ada orang lain menukar markahnya. Ling Lan nampaknya sangat berhati-hati.

137 berjaya menyusup ke sistem utama Pusat Akademi Pengakap, bagaimanapun, dia tidak tahu yang Empat Kecil boleh mengesannya. 'Eh? Ada orang sedang mencuri masuk ke dalam sistem. Nampaknya dia mahu menukar markah kamu... Biar saya ajar dia, habislah dia.' Empat Kecil sangat marah. Empat Kecil merasakan seperti dirinya dicabar. Perlu diingat yang dia seperti dewa di alam maya. Siapa yang berani mencabar kuasanya?

Ling Lan perasan yang Empat Kecil sedang marah dan cepat-cepat bertanya, 'Apa yang berlaku, Empat Kecil?'

Empat Kecil menjawab, 'Seseorang sedang mencuri masuk ke dalam sistem ini. Nampaknya dia mahu mengubah markah kamu. Saya akan singkirkan dia sekarang…' Empat Kecil kelihatan seperti dia sudah menajamkan pisaunya dan bersedia untuk menyembelih si penyusup itu.

"Sekejap, jangan lagi. Kita tengok dahulu rancangan dia. Lagi satu, boleh tolong saya menjejak lokasinya?" Ling Lan sangat tenang. Menghentikan penyusup itu sekarang tidak akan menyelesaikan masalah dan hanya akan mengejutkannya. Lebih bijak jika mereka memerhatikannya dahulu, dan cuba mencari latar belakangnya. Ling Lan suka mengetahui semua fakta dahulu sebelum membuat tindakan. Tetapi jika orang itu memang berniat jahat, Ling Lan tidak akan berbelas kasihan padanya.

avataravatar
Next chapter