webnovel

Mengubah Markah

Editor: EndlessFantasy Translation

Di ruang minda, Empat Kecil sedia maklum dengan peringatan Ling Lan dan kemudian menjadi senyap dan tidak bergerak. Ling Lan tahu yang kesedaran diri Empat Kecil telah hilang, masuk ke dalam rangkaian maya dan hanya meninggalkan jasadnya sahaja.

Kemajuan teknologi selama 10,000 tahun, serta kemunculan kuasa rohani, telah banyak mengubah kaedah dan pendekatan penggodam moden. Menjadi penggodam pada zaman sekarang bukanlah satu kemahiran yang hanya perlu dipelajari. Seorang penggodam juga memerlukan bakat menggodam secara semula jadi. Bakat ini merujuk pada kuasa rohani manusia dan keupayaan untuk menyamar dan menyembunyikan diri mereka yang sebenar.

Penilaian untuk mengkategorikan kuasa rohani hanya boleh dilakukan selepas usia sepuluh tahun, kerana ketika itu kekuatan rohani seorang kanak-kanak mencapai tahap matang dan mula berevolusi menjadi pelbagai jenis. Ini yang akan menentukan arah perkembangan dan pertapaan mereka.

Sudah tentu, Ling Lan tidak tahu yang pada zaman ini, kuasa rohani akan berubah seperti itu. Dia juga tidak tahu yang penggodam internet pada zaman ini jauh lebih berbahaya dan menakutkan berbanding 10,000 tahun yang lalu. Sejak kebelakangan ini, pertarungan di antara penggodam dengan mudahnya boleh mengakibatkan kematian atau kecederaan. Kematian otak juga merupakan akibat yang agak biasa.

Pada era ini, pertarungan penggodam dikenali sebagai pertarungan maut tanpa senjata api. Pertarungan ini ada kalanya dianggap lebih berbahaya berbanding pertarungan sebenar.

Namun nasib baik juga Ling Lan tidak tahu menahu mengenainya, jika tidak dia tidak akan membiarkan Empat Kecil masuk ke dalam sistem tersebut. Di dalam hatinya, Empat Kecil sudah menjadi saudara yang paling dihargai. Walaupun risiko rahsianya akan terdedah lebih tinggi jika dia tidak berjaya masuk ke kelas khas, masalah itu bukannya tidak dapat ditangani. Jika Empat Kecil hilang disebabkan risiko menggodam, Ling Lan tidak akan dapat menerimanya.

Pada saat Empat Kecil memasuki avatar yang dia sembunyikan dalam sistem Akademi Pusat Pengakap, 137 tersentak. Dia segera menghentikan tindakannya yang sedang mengubah markah.

Seperti yang dijangka dari seorang penggodam hebat dalam Persekutuan, walaupun kemasukan Empat Kecil tidak begitu ketara, kuasa rohani 137 yang tajam masih dapat merasakan beberapa gangguan di persekitarannya. Peluh sejuk mula menitis-nitis daripada dahinya.

Pemeriksa 413, yang sedang mengawal tubuh fizikal 137, menjadi kaku. Mungkinkah 137 berada dalam bahaya? 137 hanya cuba mengubah markah disebabkan oleh cadangannya. Jika 137 telah diapa-apakan kerana berbuat demikian, dia tidak akan memaafkan dirinya sendiri. Walaupun bonus yang akan dia diperolehnya daripada cadangan-cadangan ini agak besar, rakan sepasukannya lebih penting.

137 sangat berhati-hati, secara diam-diam dia menghantar antena mental untuk menyiasat. Walaupun dia tidak tahu siapa lawannya, dia tahu pasti orang ini hebat kerana dapat menyembunyikan kewujudannya dengan baik.

Empat Kecil memerhatikan semua ini dengan tenang. Dia tidak terikat dengan had manusia di Internet, di mana setiap orang hanya terhad pada satu avatar semasa berada di atas talian. Malah penggodam juga tidak terkecuali daripada had-had ini. Perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh seorang penggodam ialah menyembunyikan identiti mereka dan mengaburkan titik masuk. Jadi selagi dia berada di atas talian, dia dapat menukar dirinya menjadi perlbagai avatar dengan mudah dan menyembunyikan dirinya di dalam jaringan internet yang tersendiri.

Empat Kecil hanya perlu mengesan kekuatan rohani lawannya untuk mencari titik masuknya. Walaupun pihak lawan menggunakan kuasa rohani untuk menyembunyikan identiti dan lokasi mereka, muslihat kecil ini ibarat permainan kanak-kanak bagi Empat Kecil. Tanpa sebarang masalah, Empat Kecil berjaya menyasarkan lawannya.

Walau bagaimanapun, apabila dia masuk ke peranti pemantauan pada lokasi lawan dan melihat pemeriksa 413, dia sedar yang perkara ini bukanlah masalah yang dia jangkakan.

Dengan pantas dia menghantar berita ini kepada Ling Lan di ruang fikiran dan Ling Lan terkejut melihat pemeriksa mereka, 413.

"Apa yang mereka cuba buat?" Ling Lan terpinga-pinga. Lagipun, markah semasanya telah diberikan oleh pemeriksa terlebih dahulu. Dia sudah mengetahui markah terakhirnya beberapa minit yang lalu dan walaupun dia bukan di tempat pertama (kerana markah kecerdasannya terlalu teruk), dia dengan mudahnya mendapat tempat kedua maka sudah pasti dia akan masuk ke kelas istimewa.

Sekiranya pemeriksa itu tidak mahu dia memasuki kelas khas, mereka boleh sahaja memberikan dia markah yang rendah. Tiada alasan untuk mereka bersusah payah dengan dengan penggodam untuk mengubah markahnya sekarang. Mungkinkah ada motif lain di sebalik tindakan ini?

Ling Lan memutuskan untuk memerhatikan sahaja buat masa ini; dia boleh membuat keputusan selepas dia mengetahui apa sebenarnya sedang berlaku.

Sudah tentulah Ling Lan mampu menjadi sangat berani kerana dia mempunyai jaminan dari Empat Kecil. Tidak kira apa yang dilakukan oleh orang lain, dia boleh membalikkannya tanpa perlu banyak berusaha.

Sementara itu, Nombor 137 telah menyebarkan kuasa rohaninya untuk meneroka kawasan sekelilingnya beberapa kali, tetapi dia masih tidak dapat menangkap bayangan orang lain sekalipun di dalam sistem itu. Ini menyebabkan dia resah dan mula meragui dirinya. Adakah dia terlalu tegang sehingga menyebabkan derianya tertipu oleh perasaan paranoia?

Masa semakin suntuk dan tidak kira betapa susahnya 137 mencarinya, dia tidak dapat menemui punca gangguan yang dia rasakan tadi. 137 berasa tidak berdaya kerana melihat dia tidak banyak masa lagi. Mengingatkan yang dia masih belum menyelesaikan misi yang diberikan kepadanya oleh komandernya, dia memutuskan untuk cuba mengubah suai markah Ling Lan terlebih dahulu.

Dia sudah memikirkan semuanya. Saat dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam situasi itu, dia akan melarikan diri. 137 tidaklah begitu sombong untuk percaya yang dia boleh berdepan dengan seorang profesional yang kehadirannya sekalipun tidak dapat disahkan oleh 137. Oleh itu, atas sebab keselamatan, melarikan diri ialah jalan yang terbaik.

Setelah dia membuat keputusan, 137 mula menukar markah Ling Lan secara berhati-hati. Sememangnya dia tidak berani menyentuh markah dua ujian pertama, yang bukan berada di bawah bidang kuasa mereka. Sebarang perubahan membuatkan mereka mudah ditangkap. Hanya markah untuk stamina dan kelajuan dikawal oleh pasukan ops khas mereka. Markah ini dimasukkan oleh 413 dan dirinya sendiri. Oleh itu dia bebas mengubahnya. Jika sebarang masalah timbul, komander mereka ada untuk menjamin mereka, maka dia tidak takut.

Sudah tentulah sebelum ini 413 dan 137 mahu terus memasukkan markah yang rendah. Walau bagaimanapun, mereka tidak tahu bagaimana prestasi kanak-kanak dari kumpulan lain. Jika markah yang mereka masukkan terlalu rendah atau jika sesuatu berlaku sehingga mereka tidak dapat mengubah markah tersebut selepas ini… Bukankah sia-sia sahaja kanak-kanak ini kehilangan tempat mereka di dalam kelas khas? Oleh itu, bagi mengecilkan risiko kejadian itu berlaku, mereka telah memutuskan untuk memasukkan markah tinggi yang asal.

Mengikut apa yang telah diubah oleh 137, markah keseluruhan Ling Lan membuatkannya jatuh dari tempat kedua ke tempat ketujuh belas.

Selepas 137 selesai mengubah markah Ling Lan, dia menunggu dengan sabar untuk seketika. Melihatkan tiada sebarang perubahan di persekitarannya, dia beralih untuk mengubah markah Qi Long, Han Jijyun, dan Luo Lang, menyebabkan mereka jatuh dari tempat ke-3, ke-5 dan ke-6, ke tempat ke-18, ke-21 dan ke-24.

137 tidak lupa dengan pesanan komandernya. Dia perlu pastikan empat orang kanak-kanak itu dapat memasuki ke Kelas Khas-A, tetapi pastikan mereka tidak terlalu menarik perhatian. Buat masa ini, markah di peringkat pertengahan ini dapat menyelesaikan semua kebimbangan komandernya. Lagipun, 50 orang pelajar pertama akan memasuki Kelas Khas, manakala pelajar di kedudukan 51-100 akan masuk ke Kelas Khas-B.

Empat Kecil memaklumkan markah dan ranking yang telah diubahsuai pada Ling Lan dan Ling Lan akhirnya menyedari apa yang dilakukan oleh pemeriksa itu. Nampaknya dia melakukan ini dengan niat yang baik. Kedudukan sekarang sangat bagus, tidak terlalu cemerlang tetapi pada masa yang sama tidak terlalu teruk.

Pada asalnya dia bimbang sama ada kedudukan tempat kedua terlalu menarik perhatian kerana Ling Lan tidak mahu meningkatkan risiko rahsianya terbongkar. Masalahnya dia sendiri tidak berani untuk mengubah markah tersebut. Lagipun, terlalu ramai orang yang terlibat dalam pemberian markah. Sebarang perubahan sudah tentu akan diketahui dengan pantas maka, Ling Lan tidak berani untuk mengambil tindakan terburu-buru. Kini pemeriksa itu telah menyelesaikan masalah ini untuknya, jadi dia bebas mendapat faedah tanpa perlu melakukan apa-apa.

Namun, Ling Lan masih hairan. "Siapakah sebenarnya pemeriksa ini?"

Kanak-kanak lain mungkin tidak tahu tetapi Ling Lan dapat mengesan sesuatu, kesan darah yang tidak dapat disembunyikan, pada aura pemeriksa itu. Keadaan ini hanya dapat ditemui pada para veteran yang telah bersusah payah berjuang di medan perang dan pertempuran yang kejam. Pemeriksa itu sama sekali berbeza dengan pegawai-pegawai lain yang telah mengendalikan ujian kecerdasan dan kekuatan.

Ling Lan tidak akan melupakan kepuasan yang bersinar dari mata pemeriksa itu apabila dia menghantar mereka keluar. Mungkin ada pihak-pihak di dalam Persekutuan yang tertarik dengan keempat-empat mereka dan bersedia untuk melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi mereka ketika mereka membesar?

Walau apa sekalipun, ini ialah perkara yang baik! Dengan pantas Ling Lan meletakkan perkara ini jauh dari mindanya.