Dalam sekelip mata, sebulan telah berlalu dan sudah tiba masanya pihak Persekutuan mengumumkan secara rasmi mengenai pewarisan itu.
Sepanjang tempoh sebulan itu, Ling Lan tidak melakukan apa-apa selain makan atau tidur. Sudah semestinya, 'tidur' Ling Lan sebenarnya ialah latihan pertapaan.
Sekarang Ling Lan semakin bijak dalam melakukan latihan. Dia memberikan tugasan kepada Empat Kecil untuk mengejutkannya sebaik tiba waktu makan. Dia tidak berniat untuk tersalah agak masa latihannya lagi. Dia tidak mahu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Ini boleh mendatangkan risiko rahsianya serta kewujudan Empat Kecil terdedah dan dia dijadikan bahan uji kaji.
Siapa Empat Kecil, kamu tanya? Siapa lagi kalau bukan si kecil yang mengaku dirinya sebagai alat pembelajaran mecha?
Dua minggu lalu, di bawah bimbingan Empat Kecil, Ling Lan berjaya menguasai jaringan mental setelah melakukan eksperimen selama sepuluh hari. Melalui jaringan ini, dia boleh meneroka mindanya dan berjaya menemui badan utama alat pembelajaran itu di dalamnya. Dia kemudiannya berjaya membuka kunci ruang pembelajaran maya Empat Kecil. Pada masa hadapan, lebih mudah untuk dia bertemu dengan Empat Kecil, dia hanya perlu menginginkannya dan kesedarannya akan membawa dia ke ruang pembelajaran maya itu.
Ling Lan masih ingat sewaktu dia menemui badan maya Empat Kecil, dia hampir muntah darah.
Sebenarnya, penampilan Empat Kecil sangat menarik. Dia kelihatan seperti budak lelaki yang berumur tiga atau empat tahun, dengan senyuman yang ceria dan naif di wajahnya. Kalau menggunakan bahasa slanga moden ialah sangat 'moe1'. Ling Lan merasakan Empat Kecil sangat comel.
Masalahnya, si budak kecil itu terlalu teruja dan menggelepar ke arahnya dalam keadaan berbogel, dengan punggungnya bergoyang-goyang.
Maka tragedi menimpa Empat Kecil yang kasihan itu. Dia diangkat dan ditampar di punggungnya sehingga kesan tapak tangan Ling Lan jelas dapat dilihat.
Tak guna, kenapalah dia perlu menunjukkan zakarnya? Walaupun zakarnya kecil dan hampir tidak dapat dilihat ... tapi tetap zakar, bukan? Sanggup dia lakukan begitu pada gadis yang suci dan naif seperti Ling Lan?
Sudah tentu, tamparan itu melegakan perasaaan malu dan marah Ling Lan. Namun, budak lelaki itu pula menjadi marah. Sebagai protes, Empat Kecil menyorok jauh ke dalam minda Ling Lan dan enggan keluar kembali.
Mula-mula, Ling Lan tidak memikirkannya sangat tetapi situasi itu tidak berubah selama dua hari dan akhirnya Ling Lan menyerah kalah.
Dia perlukan budak kecil itu untuk mengejutkan dia nanti. Dengan perasaan redha, dia memujuk budak kecil itu dengan penuh sabar. Dia berjanji dia tidak akan mengulangi perbuatan ganas seperti itu lagi. Janji itu menyebabkan budak kecil itu kembali menjadi riang semula.
Mereka berdua berbual lagi dan apabila Ling Lan bertanya bagaimana mahu memanggilnya, jawapan budak kecil itu menjengkelkan Ling Lan sekali lagi.
Budak kecil ini mahu digelar sebagai 'Mahaguru Empat? Bulu badan pun belum ada lagi tapi mahu Ling Lan yang berpangkat kakak ini menggelarnya sebagai 'Mahaguru'?
Walaupun Ling Lan sudah berjanji dia tidak akan menggunakan keganasan lagi, dia masih mempunyai helah dalam fikirannya. Berbekalkan hujah logik-tidak logik-rasional-tidak rasionalnya, budak kecil itu akhirnya bersetuju digelar 'Empat Kecil' tanpa sebarang persoalan.
Berjaya! Ling Lan berasa bangga dengan dirinya sendiri.
Tetapi dia terdiam apabila dia mengetahui sebab Empat Kecil pada mulanya ingin digelar sebagai Mahaguru Empat.
Empat Kecil menjelaskan yang dia mendapat tahu gelaran 'Mahaguru' sangat terkenal di dalam buku, TV dan internet di Bumi dulu. Memandangkan namanya mempunyai banyak nombor empat, maka apa lagi gelaran yang sesuai kalau bukan 'Mahaguru Empat'?
Ling Lan merasakan yang dia telah tersilap. Dia tidak seharusnya cuba menyiasat motivasi sebuah mesin kerana berbuat sedemikian merupakan penghinaan untuk kebijaksanaannya.
Setelah Ling Lan berjaya membina hubungan dengan Empat Kecil, dia boleh memasuki persekitaran pembelajaran maya dengan bebas. Selain itu, dalam bulan ini sahaja dia boleh memahami perbualan antara ibunya dan penjaga rumah mereka, Ling Qin. Melalui perbualan itu dia mendapat tahu ayahnya di dunia ini telah mati dalam peperangan. Oleh sebab itulah dia perlu mewarisi keistimewaan ketenteraan milik ayahnya dengan menyamar sebagai lelaki.
Ling Lan tidak dapat berbuat apa-apa selain mengeluh. Nampaknya seksisme masih wujud di mana-mana sahaja. Kesaksamaan jantina menjadi isu semasa di Bumi dahulu, dan masa kini, sepuluh ribu tahun di masa hadapan. Walaupun manusia telah berkembang sehingga ke luar sistem solar, penindasan jantina masih lagi berterusan.
Ling Lan yang sekarang ini tidak tahu menahu tentang keistimewaan ketenteraan yang dikatakan itu. Walaupun dia boleh menyuruh Empat Kecil menyiasat perkara ini, tetapi dia enggan kerana dia mahu mengorak langkah satu demi satu. Banyak lagi perkara yang dia tidak ketahui mengenai era ini dan mungkin lebih baik jika dia perlahan-lahan membesar sambil memahami dunia ini, bukannya dengan mengambil jalan mudah.
Ling Lan seorang yang sabar dan bersikap toleransi. Jika tidak, masakan dia dapat hidup lebih dari dua puluh tahun sambil menderita kesakitan yang teramat. Sifat toleransinya itu lebih kuat berbanding manusia biasa.
Pada mulanya, dia risaukan jangka hayat dua tahun yang disebut oleh Empat Kecil. Namun setelah melakukan kajian, Empat Kecil mendapati senaman Qi yang diamalkan Ling Lan sangat efektif dalam meningkatkan kecergasan fizikal. Menurut anggaran Empat Kecil, walaupun dia tidak melakukan apa-apa tetapi mengamalkan hanya senaman tersebut selama sepuluh jam setiap hari, dia masih boleh menangani bahaya yang dia akan hadapi dalam masa dua tahun lagi.
Setelah mendapat tahu hidupnya tidak dikejar waktu, Ling Lan tidak lagi berniat untuk mempercepatkan hidupnya. Dia masih muda, jadi dia tidak mahu menarik perhatian dengan menjadi seorang genius. Mengambil satu langkah demi satu langkah ialah cara paling selamat untuk hidup. Ling Lan sangat faham, pokok yang tumbuh melebihi hadnya akan jatuh ditiup angin2.
Hidup dengan bebas itu lebih penting!
********
Tidak lama lagi, akan tibalah masanya untuk pihak Persekutuan menyerahkan dokumen perwarisan. Pada hari tersebut, Ling Lan dapat mengesan perasaan sedih dan bimbang dari ibunya. Setelah dokumen itu diserahkan, kematian ayahnya, Ling Xiao, akan diumumkan secara rasmi. Maka ibunya tidak lagi dapat mengelak realiti kematian ini.
Awal pagi itu, Ling Lan merasakan ada gangguan di dalam rumah yang kebiasaannya aman. Walau bagaimanapun, dia berada di dalam bilik tidur jadi dia tidak dapat mengagak apa yang sedang berlaku.
Dia kemudiannya dibawa oleh orang gaji mereka ke bawah. Semasa mereka menuruni tangga, Ling Lan dapat melihat lampu yang indah tergantung di siling. Hujung lampu menyentuh di bahagian tepi beberapa tiang yang tinggi.
Ya, penilaiannya selesai. Ruang tamu ini besar dan mewah. Keluarganya memang berasal daripada golongan atasan.
Sebelum Ling Lan dapat memerhati sepenuhnya, dia diserahkan ke pangkuan ibunya. Angin Lan Luofeng yang suram itu bertambah baik semasa dia memerhatikan Ling Lan serta matanya yang bergerak-gerak ingin tahu itu. Nasib baiklah Ling Xiao meninggalkan bayi comel ini untuk memberikannya kekuatan bagi menghadapi ketamakan semua manusia bedebah ini.
Dia menggenggam tangan kecil anaknya dan mengumumkan dengan tenang, "Inilah anak lelaki Ling Xiao, Ling Lan! Hanya dia dapat mewarisi segala hak milik Ling Xiao."
Pada waktu itu juga, satu suara yang tua tetapi tegas berkata, "Kita harus memastikan pengorbanan Mejar Jeneral tidak sia-sia. Kami tidak menafikan hak Tuan Muda Ling Lan untuk mewarisi tapi kami berharap keluarga Ling dapat memilih waris yang lebih cemerlang untuk mewarisi faedah ketenteraan milik Mejar Jeneral Ling Xiao supaya tugas Mejar Jeneral Ling Xiao yang tertangguh dapat diambil alih oleh calon yang paling layak."
Lan Luofeng memandang tajam ke arah lelaki yang bersuara itu. Berumur mungkin dalam lingkungan tujuh puluh tahun, dia masih berdiri dengan bangga. Dialah Ling Suren yang merupakan orang paling tua dalam keluarga cabang Ling (bukan keluarga utama). Sewaktu Ling Xiao masih hidup juga dia juga harus menyapanya dengan penuh hormat. Dia jugalah orang yang dilantik oleh keluarga cabang Ling untuk membantah perwarisan Ling Lan terhadap harta benda Ling Xiao.
Ling Lan dapat merasakan dada ibunya menggeletar kerana menahan rasa marah terhadap kata-kata Ling Suren.
Secara jujurnya, dia tidak pernah menjumpai manusia yang tidak tahu malu seperti ini. Tengoklah cara orang tua itu memanipulasi kata-katanya untuk menafikan hak perwarisan seorang anak daripada ayah kandungnya. Jikalau kata-katanya boleh dipercayai, apa gunanya para tentera mempertaruhkan nyawa untuk melindungi negara mereka? Apabila mereka meninggal dunia, keluarga mereka yang kehilangan perlindungan akan dibuli?
Ling Lan menarik jari ibunya dan mengagah-agah.
Celaka. Kalaulah dia sudah besar sedikit, sudah tentu dia akan meludah lelaki itu untuk memalukannya atas perbuatan tidak tahu malunya itu.